29/11/18

Review Filem The Possession Of Hannah Grace


Filem:
The Possession Of Hannah Grace

Penilaian:
6 / 10

Pengarah:
Diederik Van Rooijen

Genre:
Seram

Pelakon:
Shay Mitchell, Stana Katic, Grey Damon, Kirby Johnson,
Nick Thune, Louis Herthum, Maximillian McNamara,  & Etc.

Tarikh Tayangan:
29 November 2018

Pengedar:
Sony Pictures Entertainment

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang Megan yang merupakan seorang bekas polis wanita dan baru sahaja keluar dari pusat pemulihan dadah gara-gara satu kejadian yang melibatkan kematian rakannya. Hasil bantuan daripada seorang rakan, akhirnya Megan diterima  bekerja syif malam di sebuah rumah mayat yang terletak di dalam hospital. Pada suatu hari, mayat mangsa pembunuhan kejam telah tiba di rumah mayat tersebut dan Megan mula merasai pelbagai kejadian aneh dan ganas yang berlaku di sekelilingnya. Megan kemudian mendapat tahu bahawa terdapat entiti jahat yang berada di dalam mayat tersebut. Saksikan filem seram ini di pawagam berhampiran anda pada 29 November 2018 akan datang untuk mengetahui kisah selanjutnya.

Ulasan:

Alhamdulillah pada 28 November 2018 yang lepas, aku berpeluang menonton filem The Possession Of Hannah Grace di TGV Cinemas One Utama. Terima kasih kepada Sensasi Selebriti (www.budiey.com) yang memilih Hans sekali lagi sebagai salah seorang pemenang peraduan yang dianjurkan mereka. Filem seram ini nampaknya mempunyai kekuatan yang tersendiri dari segi solekan ngerinya tetapi sebelum aku mengulas lebih jauh tentang ini, apa kata kita lihat dulu tentang plot cerita filem The Possession Of Hannah Grace ini terlebih dahulu.


Filem The Possession Of Hannah Grace ini berjaya menerangkan dengan baik kisah watak utamanya iaitu Megan yang dilakonkan oleh Shay Mitchell. Daripada seorang polis dan kemudian menerima rawatan pemulihan sebelum akhirnya bekerja di rumah mayat. Watak ini berjaya dikembangkan dengan agak baik dan berjaya mengelakkan kelompongan cerita watak yang terlalu banyak. Lakonan yang diberikan oleh Shay Mitchell juga sangat meyakinkan.


Tetapi, berbeza pula tentang perkembangan watak Hannah Grace yang pada permulaan filem ditunjukkan tentang dia dirasuk oleh satu entiti misteri yang sangat kuat dan tidak dapat diubati oleh mana-mana pihak sekali pun sebelum ayahnya mengambil keputusan untuk membunuh anaknya sendiri. Kelemahan disini ialah tentang plot cerita berkenaan kisah entiti misteri itu sendiri yang tidak diberikan jawapan yang menyokong kenapa Hannah Grace yang menjadi pilihan entiti tersebut untuk dirasuk. Untuk menyatakan Hannah mengalami masalah kemurungan dan kemudian perlahan-lahan dikuasai entiti hantu tersebut adalah jalan mudah tetapi sangat lemah apabila melihat dari sudut penceritaan watak ini menjadikan motif utama entiti tersebut wujud adalah kosong.


Namun, satu perkara yang agak menarik dan menyelamatkan filem seram ini ialah babak seram dan kejutan yang diberikan kepada penonton yang tidak keterlaluan jika dikatakan agak menjadi dan bukannya menggunakan cara murahan untuk menakutkan penonton. Faktor pertama yang membantu hal ini ialah teknik solekan ngeri mayat Hannah Grace yang kelihatan sangat realistik dan mengerikan. Anda pasti akan berasa seram melihat kawasan luka besar yang terbuka di sekitar leher dan pinggang mayat tersebut. Serius, aku sangat menyukai hal ini terutama apabila visual pergerakan kamera mendekati dengan dekat kawasan-kawasan luka mayat tersebut.

Aku juga cukup menyukai bagaimana filem ini menakutkan penonton dengan babak seramnya yang banyak bermain dengan pergerakan kamera disamping menggunakan kesan bunyi 'jump scare' yang sangat minima. Jadi, ketakutan yang dapat dirasai saat menonton filem ini setidak-tidaknya datang sendiri dari jiwa penonton dan bukannya dipaksa-paksa untuk merasa takut sepanjang filem ini ditonton. Selain itu juga, kecemerlangan penataan cahaya di dalam filem ini juga sangat membantu membangkitkan unsur seram di dalam kebanyakkan babak filem ini yang banyak bermain dengan lampu. 


Namun, terdapat dua kelemahan ketara yang dapat dikesan di dalam filem The Possession Of Hannah Grace ini seperti:

1) Tentang motif sebenar entiti jahat memilih Hannah Grace sebagai tempat tinggalnya yang tidak disokong oleh plot penceritaan menjadikan perkembangan kisah hantu ini kelihatan begitu lemah seperti yang aku kongsikan di atas. 

2) Walaupun babak entiti jahat yang menggunakan mayat Hannah Grace ini berjaya mengejutkan dan menakutkan penonton namun teknik khas CGI yang digunakan ketika mayat ini merangkak di dinding kelihatan sangat animasi pada pandangan mata aku. Ini menyebabkan rasa keseraman sedikit kurang kerana aku melihat cara merangkaknya telah mengingatkan aku kepada watak Gollum di dalam filem The Lord Of The Rings.

3) Objektif kisah watak utama iaitu Megan ini sebenarnya ingin bebas daripada pengaruh dadah tetapi hal ini telah ditenggelami oleh kisah seram mayat Hannah Grace walaupun pada awal dan akhir filem ini cuba berbicara tentang perkara tersebut kepada penonton.


Walau bagaimana pun aku merasakan agak berbaloi menonton filem ini. Jadi, disini aku senaraikan beberapa sebab kenapa anda wajib menonton filem seram The Possession Of Hannah Grace di pawagam berhampiran anda bermula pada 29 November 2018 ini:

1) Pertama sekali ialah berkaitan babak-babak seram di dalam filem ini yang bagi aku berjaya divisualkan dengan cemerlang. Keseraman serta kejutan di dalam filem ini datang pada masa yang anda tidak jangka. Jadi, ini yang menjadikan filem ini merupakan salah sebuah filem seram yang masih berbaloi untuk ditonton.

2) Sekali lagi aku ingin menyatakan disini bahawa aku sangat menyukai teknik solekan ngeri yang dapat dilihat pada mayat Hannah Grace. Ia seolah-olah seperti aku betul-betul sedang melihat mayat di dalam makmal forensik. Nampak sangat nyata dan memukau mata. Faktor ini juga berjaya menjadikan beberapa di dalam filem ini betul-betul mencemaskan anda saat bertentang mata dengan sepasang mata biru mayat Hannah Grace.

3) Filem seram yang berjaya mengejutkan penonton tanpa penggunaan jump scare yang terlalu banyak boleh dikatakan sebuah filem seram yang agak bagus. Jadi, aku merasakan filem ini hampir berjaya menepati faktor tersebut kerana keseraman yang ditimbulkan dan dicetuskan agak seimbang dimana filem ini memanfaatkan segala sudut daripada lakonan dan emosi pelakon, penataan cahaya, kesan bunyi, teknik solekan serta pergerakan kamera untuk membangkitkan rasa seram dan berjaya menakutkan penonton dengan cara yang bermaruah.


Jadi, selamat menonton filem The Possession Of Hannah Grace dan kongsikan pandangan serta komen anda berkenaan filem ini di ruangan komen di bawahSekian!

P/S : In Sha Allah Akan Cuba Mencuri Masa Menonton Filem 2.0 Lakonan Superstar Rajinikanth. Nantikan Ulasannya!

2 ulasan:

  1. baca review ni mmg terasa keseramannya, bru tgk gambar myt tu pun dh seram...
    akak ni cite seram mmg lah tkt nk tgk hahha... dasar penakut kan

    BalasPadam
    Balasan
    1. hahaha
      mahu menjerit akak kalau tengok filem nih

      Padam