Review Filem 2.0


Filem:
2.0

Penilaian:
7 / 10

Pengarah:
S. Shankar

Genre:
Seram

Pelakon:
 Rajinikanth, Akshay Kumar, Amy Jackson, Adil Hussain, Mayilsamy,
Sudhanshu Pandey, Kalabhavan Shajohn, Ananth Narayan Madevan & Etc.

Tarikh Tayangan:
29 November 2018

Pengedar:
DMY Creation Sdn Bhd

Sinopsis:

Filem ini merupakan sekuel kepada filem Enthiran dimama negara India kembali dilanda sebuah kejadian aneh yang menyebabkan keseluruhan telefon penduduknya lesap tanpa dapat dikesan. Hasil siasatan Dr. Vaseegaran mendapati, ancaman yang dihadapi mereka kini merupakan kuasa deria kelima yanng masih diluar pengetahuan sains pada zaman kini. Disebabkan banyak ahli Parlimen kerjaan mati dibunuh dalam cara yang cukup kejam dan menyeramkan, pihak kerajaan akhirnya meminta bantuan Dr. Vaseegaran untuk menghidupkan kembali robot Chitti dan membenarkan Chitti membantu menyelesaikan masalah ini. Namun, musuh yang perlu dihadapi bukannya sebarangan dan mempunyai kekuatan yang sukar ditentang. Mampukah Chitti dan Dr. Vaseegaran membantu menewaskan musuh dan seterusnya menyelesaikan masalah aneh yang melanda India ini? Saksikan filem lakonan hebat Super Star Rajni di pawagam berhampiran anda bermula 29 November 2018 akan datang untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah, akhirnya filem yang dinanti-nanti sejak sekian lama iaitu filem 2.0 lakonan Superstar Rajni telah pun menyerang pawagam-pawagam tanah air pada 29 November 2018 yang lepas. Aku berkesempatan menonton filem 2.0 ini di Amerin Cineplex dan kebetulan ada tempat duduk kosong kerana setiap panggung sememangnya dipenuhi oleh penonton-penonton India yang amat meminati pelakon RajinikanthUntuk pengetahuan anda, filem 2.0 adalah sekuel kepada Enthiran dimana pada filem pertama menunjukkan watak robot Chitti telah dimatikan dengan kepalanya diletakkan di dalam sebuah muzium sebagai salah satu bahan pameran kepada pengunjung. 


Namun filem kali ini kembali menagih khidmat Chitti untuk membantu Dr. Vaseegaran menentang watak antagonis utama filem ini yang bernama Pakshi Rajan atau dikenali sebagai Bird Man. Jadi, aku suka untuk menyentuh plot dan isi cerita terlebih dahulu untuk filem 2.0 ini. Jika pada filem pertama, antara mesej menarik yang ingin dipaparkan ialah kebergantungan manusia kepada robot serta bahaya sebuah robot apabila disalah guna oleh manusia yang berhati syaitan. Namun, untuk filem 2.0 ini, aku cukup suka melihat bagaimana watak seorang manusia yang asalnya sangat penyayang dan tidak pernah ditunjukkan bersikap ganas boleh berubah menjadi syaitan yang sangat menakutkan dan begitu kejam demi menyelamatkan benda yang disayanginya.


Filem 2.0 ini menarik kerana ia memberi pelbagai sindiran kepada semua golongan manusia yang menonton filem ini. Walaupun watak Pakshi Rajan ini memilih jalan yang salah untuk menyelamatkan perkara yang amat disayanginya tetapi filem ini bijak untuk tetap memberi sokongan dan mengiyakan matlamat dan tujuan watak ini. Melalui dialog Dr. Vaseegaran yang berkata Pakshi Rajan sebenarnya mempunyai niat yang murni dan misi yang bagus untuk menyelamatkan dunia tetapi langkah penyelesaian yang dipilih sahaja yang salah. Bukan sekadar sindiran terhadap satu perkara tetapi filem ini berjaya menyentuh dan menyindir segala-galanya tentang perilaku manusia daripada golongan atasan sehingga bawahan.
 

Filem ini sebenarnya memberi fokus kepada keadaan alam semula jadi dan kesan pencemaran yang dilakukan manusia melalui alat komunikasi utama dan terkenal di seluruh dunia iaitu telefon bimbit. Daripada objektif utama ini, ia kemudian berjaya dipecahkan pula kepada nilai-nilai murni kemanusiaan yang sememangnya bijak untuk membuatkan penonton berasa seperti diperli namun ia diterima dengan baik dan santai kerana penyampaiannya dibuat di dalam bentuk lucu dan menghiburkan. Amanah pemimpin yang seperti biasa dirosakkan oleh rasuah dan pengekalan kuasa memerintah berjaya disampaikan secara lebih santai dan pantas tetapi berjaya membantu pembinaan plot cerita dengan baik. Sikap empati yang hangat-hangat tahi ayam di kalangan masyarakat marhaen terutamanya turut bijak diusik melalui beberapa baris dialog di dalam filem ini yang berkaitan dengan kempen-kempen kesedaran atau kemanusiaan yang hanya dikongsi melalui perkongsian di laman sosial. Aku cukup suka apabila watak Pakshi Rajan ini menyatakan suatu perkara menarik berkenaan hal ini dimana makna dialog yang diungkapnya itu boleh aku samakan dan maksudkan dengan satu ayat dimana dia mengatakan manusia-manusia ini bersifat munafik dimana mereka tidak berbuat apa-apa pun tetapi menganggap mereka telah melaksanakan tanggungjawab dan melepaskan beban kepada orang lain apabila selesai berkongsi sesuatu berita atau petisyen melalui laman sosial. Bagi aku, ini merupakan salah satu 'falsafah' yang agak menarik yang boleh dilihat di dalam filem ini secara tersirat.


Filem 2.0 ini sememangnya penuh dengan pelbagai kesan khas CGI dan ini menyebabkan aku pada asalnya tertarik untuk menonton filem ini di dalam format 3D namun disebabkan tiket wayang sudah habis dijual maka aku tidak dapat mengulas daripada segi pengalaman menonton filem ini di dalam bentuk 3D. Namun, apa yang aku boleh kongsikan pandangan aku tentang bab ini apabila menontonnya di dalam format 2D, aku boleh katakan ada sebahagiannya yang kelihatan cantik dan sebahagian lagi pula kelihatan sedikit animasi. Namun, animasi yang aku maksudkan disini bukannya berada di tahap yang lemah atau membuatkan filem ini kelihatan sangat buruk. Tetapi, ia sebenarnya bersesuaian dengan perjalanan cerita filem 2.0 ini. Inilah agaknya magis S. Shankar serta pasukannya yang mempunyai imaginasi yang agak luar biasa. Babak seperti ruang bilik yang dipenuhi telefon bimbit, jalan raya yang dilimpahi tsunami cahaya biru putih serta bunyi gegara telefon bimbit yang berjaya menimbulkan elemen seram ini bagi aku adalah salah satu perkara baru yang menarik, kreatif dan menghiburkan. Ia menjadikan filem 2.0 kali ini lebih unik disebabkan faktor-faktor seperti ini.


Namun, terdapat beberapa kelemahan yang aku dapat lihat di dalam filem 2.0 ini seperti:

1) Watak Sana yang sebelum ini dilakonkan oleh Aishwarya Rai di dalam filem Enthiran nampaknya hanya membuat kemunculan di dalam filem 2.0 ini melalui suara sahaja. Aku memahami filem ini cuba membawa kesinambungan daripada filem pertama namun pada satu tahap aku merasakan watak Sana ini sangat tidak perlu, kosong dan sepatutnya dimatikan sahaja daripada mencacatkan plot penceritaan.

2) Seperti yang aku katakan tadi, pengalaman menonton beberapa babak kesan khas CGI di dalam format filem 2D pasti kurang memberi impak berbanding jika menonton filem 2.0 ini di dalam 3D. Jadi, aku sarankan mungkin anda semua boleh mencuba menonton filem ini di dalam format 3D untuk merasai pengalaman yang lebih hebat saat menonton babak-babak yang menggunakan kesan khas ini terutamanya sewaktu babak pertempuran di stadium.


Jika menyentuh bab berkaitan logik akal sememangnya filem ini jauh meninggalkan norma kehidupan manusia yang sebenar. Tetapi, menariknya filem ini ialah apabila ia berjaya melawan arus untuk memastikan perkara yang tidak logik yang dibincangkan di dalam filem ini berjaya diterima oleh penonton melalui sokongan fakta-fakta sains sama ada fakta sebenar atau rekaan sehinggakan penonton mampu menerima dan mempercayainya semasa berada di dalam panggung. Percaya yang aku maksudkan disini ialah membuatkan penonton boleh menghabiskan tontonan tanpa perlu mempersoalkan itu dan ini kerana kelompongan cerita berjaya ditutup sehabis baik dengan kemunculan pelbagai babak serta dialog sokongan yang kuat. Jadi, aku menganggap filem 2.0 ini sangat berjaya daripada sudut tersebut.


Pada pandangan peribadi aku, aku melihat kekuatan filem Enthiran dan filem 2.0 adalah seimbang. Masing-masing ada kelebihan dan kekurangan kerana kedua-dua filem memaparkan kisah penceritaan yang berlainan mesej tetapi mempunyai kelebihan tersendiri Jadi, disini aku senaraikan beberapa sebab kenapa anda wajib menonton filem 2.0 di pawagam berhampiran anda bermula pada 29 November 2018 ini:

1) Anda wajib menonton kerana filem ini dilakonkan oleh Superstar Rajinikanth dan turut menampilkan pelbagai gaya pengenalan watak Chitti yang cukup kelakar dan menghiburkan.

2) Sebuah filem yang bukan sekadar menggunakan pengaruh dan kelebihan yang ada pada Rajinikanth atau Akshay Kumar untuk menarik perhatian penonton ke pawagam tetapi mesej-mesej positifnya tentang kemanusian, alam sekitar serta sifat kemanusiaan zaman moden berjaya disampaikan melalui penceritaan dan visual yang sangat kreatif dan berkualiti.

3) Filem ini sebenarnya menyampaikan begitu banyak mesej tetapi anda tidak akan rasa bosan atau berasa disekolahkan walaupun filem ini secara terang-terangan telah memperli anda yang menggunakan telefon bimbit yang menjadi antara subjek utama filem ini. Ini disebabkan momentum penceritaannya bergerak pantas dan sangat membantu untuk membuatkan anda terhibur menonton filem aksi komedi ini.

4) Filem yang penuh dengan aksi yang bertenaga serta mampu menggeletek anda di pawagam dengan beberapa dialog lucu yang mencengkam hati. Paling menarik jika anda adalah penonton Melayu atau Cina, anda pasti akan mendapat pengalaman baru yang begitu mengujakan kerana hanya filem lakonan Rajinikanth yang memberikan anda pengalaman mendengar sorakan dan siulan penonton India saat babak kemunculan atau kebangkitan wataknya di layar perak. Hahaha!


Jadi, selamat menonton filem 2.0 lakonan pelakon lagenda perfileman India iaitu Rajinikanth dan jangan lupa kongsikan pandangan serta komen anda berkenaan filem ini di ruangan komen di bawahSekian!

P/S : Tak Tahu Nak Tonton Filem Apa Dah Sebab Semua Filem Untuk Minggu Ini Yang Perlu Ditonton Sudah Pun Ditonton Lebih Awal Sebelum Ini!

Catat Ulasan

10 Ulasan

  1. Rajnikanth ni walaupun dah banyak umur dia tetap nampak muda. Minat jugak dengan Rajnikanth ni. Semua cerita yang dia berlakon semua best. Jalan cerita ni pun best je bila baca review Hans. Kena tunggu keluar tv la nak tonton ni.

    BalasPadam
    Balasan
    1. tak sama tonton tv
      filem-filem CGI banyak nih layan bila tonton di panggung wayang
      baru lengkap visual dan suara :)

      Padam
  2. Terima kasih di atas review yg ditunggu2. Selepas baca review, semlm saya berjaya layan. Amat tepat apa yg di review oleh Hans. Isu dan mesej yg cuba disampaikan memang menarik... tak terpikir oleh saya isu yg dipaparkan di dlm film ini sebenarnya telah lama berlaku, hanya kurang dieksplotasi di film sebegini. Saya amat enjoy dgn 2.0, yes memang balance... humour, action, mesej... complete. Well done Hans, keep it up...

    BalasPadam
    Balasan
    1. tahniah kerana menonton 2.0
      Hahahaha
      tengok 2D atau 3D?
      yups mesej dia tentang alam sekitar itu walaupun kadang-kadang kita rasa remeh tetapi sebenarnya sangat menarik dan unik
      terima kasih sudi baca dan memberi galakan untuk Hans menulis ulasan-ulasan filem seterusnya selepas ini :)

      Padam
  3. Saya nak tengok 3D seperti direkemen oleh Hans, tapi di TGV Sunway Pyramid main 2D je. Tapi betoi la Hans, kalau tengok dlm 3D lagi feel dan 5x menarik, byk scene CGI nya memang telah dirancang utk 3D. Lepas habis tonton, review dgn isteri, rugi pulak tak layan dlm format 3D, cissss, heheheh

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehehe
      saya sebab 3D punya full house
      so terpaksa lah layan 2D
      nak datang balik dah sibuk dengan aktiviti lain dah

      Padam
  4. Rase nya kalau Hans nak repeat in 3D dah tak sempat dah, minggu2 akan datang ni mcm2 movie yg best, menggigil tengok list, yeehah, heheh

    BalasPadam
    Balasan
    1. Itulah pasal
      Banyak filem best bulan 12 nih
      Nasib banyak promo harga tiket sekarang

      Padam
  5. Celaka, menyirap betul aku tengok filem ni..hahaha

    Dah la dia jer yg paling hebat. Pastu semua muka dia jer. Rasa nak mencarut jer tengok muka Rajni ni sepanjang filem..

    Duration filem 150min, tapi aku rasa lebih 150 kali muka dia keluar..grrrr..

    BalasPadam
    Balasan
    1. hahaaha
      sebab tu dia digelar Superstar
      sekarang dah faham kan? hahaa

      Padam