Review Filem The House With A Clock In Its Walls


Filem:
The House With A Clock In Its Walls

Penilaian:
6 / 10

Pengarah:
Eli Roth

Genre:
Fantasi, Seram & Misteri

Pelakon:
 Owen Vaccaro, Jack Black, Cate Blanchett, Kyle MacLachlan,
Collen Camp, Renee Elise Goldsberry, Sunny Suljic, Lorenza Izzo & Etc.

Tarikh Tayangan:
29 November 2018

Pengedar:
United International Pictures

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan Lewis Barnavelt yang merupakan seorang budak lelaki berumur 10 tahun dan baru kehilangan ibu bapanya yang telah meninggal dunia. Lewis kemudian dihantar ke Michigan untuk tinggal bersama bapa saudaranya, Jonathan Barnavelt yang merupakan seorang ahli sihir. Lewis begitu teruja untuk mempelajari tentang ilmu sihir dan magik daripada bapa saudaranya sehingga tanpa sedar telah menghidupkan kembali seorang ahli sihir jahat yang bernama Isaac Izard. Kini Lewis perlu membantu bapa saudaranya untuk mencari sebuah jam yang dicipta oleh Isaac untuk memusnahkannya dan menghalang ahli sihir jahat tersebut daripada memusnahkan dunia. Berjayakan mereka menjumpai jam sihir tersebut? Saksikan filem fantasi ini di pawagam berhampiran anda bermula 29 November 2018 untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Aku berkesempatan menonton sebuah filem yang agak panjang tajuknya iaitu The House With A Clock In Its Walls di TGV Cinemas Sunway Pyramid pada tanggal 2 Disember 2018 yang lepas. Filem ini menerima pelbagai ulasan daripada penonton dimana ada yang suka dan tidak kurang yang berpandangan bertentangan. Jadi, aku mengambil keputusan untuk menonton sendiri filem ini dan apa yang aku boleh katakan filem ini tidak menawarkan apa-apa pembaharuan yang menarik tetapi masih tetap mampu menghiburkan sesiapa yang menonton filem fantasi yang disulami dengan elemen seram yang minima.


Aku melihat setiap pengenalan watak, perkembangan watak serta hubung kaitnya dengan perjalanan cerita filem ini seperti biasa dilihat di dalam filem-filem beraliran yang sama. Semestinya plot ceritanya sangat mudah diramal dan inilah puncanya aku menyatakan filem ini tiada apa-apa yang kelihatan baru atau membuatkan aku begitu teruja menonton filem ini jika dilihat daripada sudut tersebut. Cuma kelainannya kali ini ialah filem ini berjaya bermain dengan elemen seram yang sedikit sebanyak menjadikannya sedikit menarik. 


Namun, aku tidak pasti adakah filem ini sesuai untuk tontonan kanak-kanak yang masih kecil kerana visual babak-babak seramnya seperti dekorasi rumah, patung yang bergerak serta penataan cahaya filem ini berjaya menggambarkan suasana seram dan berkemungkinan besar boleh membangkitkan rasa takut dan trauma kanak-kanak terhadap sesuatu perkara yang berkaitan dengan babak seram tersebut. Walau bagaimanapun, keseraman yang wujud di dalam filem ini berjaya diredakan dengan dialog-dialog serta pergerakan fizikal yang lucu daripada dua watak utama yang cukup menghiburkan iaitu pelakon komedi Jack Black dan Cate Blanchett.


Plot cerita filem ini bergerak pantas pada permulaannya dan berjaya membuatkan penonton tertarik dan ternanti-nanti tentang kisah sebenar yang cuba disembunyikan daripada pengetahuan watak utamanya Lewis berkenaan dengan misteri yang berlaku di rumah tersebut. Namun, momentum plot cerita pada babak pertengahan agak perlahan sehingga membuatkan aku terasa sedikit bosan kerana penceritaannya yang agak meleret sebelum filem ini kembali berada di landasan sebenar dan berjaya mengekalkan prestasi itu sehingga ke babak akhir filem. Secara ringkasnya, kisah filem ini mudah difahami dan tetap berjaya membuatkan anda terhibur dengan unsur humor yang berlaku walaupun ketika itu babak yang dipertontonkan di dalam suasana yang seram dan misteri.   


Seperti biasa Jack Black sememangnya dimanfaatkan sepenuhnya oleh produksi filem ini sebagai salah satu daya tarikan dan pelaris atas sebab sifat komedinya di dalam lakonan yang sudah diketahui ramai. Tidak dinafikan unsur humor yang ada pada dirinya masih relevan untuk ditonton di dalam filem ini. Cate Blanchett pula seperti biasa tidak ditenggelami oleh Jack Black sebaliknya berjaya mencuri perhatian penonton dengan dialog humor yang pedas tetapi mampu membuatkan anda berdekah menyaksikan babak berlawan sindiran antara dia dan Jack Black. Tetapi, penampilan watak utama iaitu pelakon cilik Owen Vaccaro wajar dipuji kerana langsung tidak ditenggelami oleh dua nama besar tetapi sebaliknya berjaya menghidupkan watak Lewis dengan cukup memukau melalui kawalan emosi dan pergerakan tubuh yang cukup bagus.


Jadi, kelemahan ketara yang dapat lihat di dalam filem The House With A Clock In Its Walls ini bagi aku cuma satu iaitu isi kandungan jalan ceritanya yang terlampau ringan sehingga membuatkan segala-galanya sudah boleh diramal. Namun kelemahan filem ini bagi kaca mata penonton dewasa pastinya baik buat penonton cilik untuk lebih dekat dan memahami filem ini dengan cara mereka. Cuma dari sudut pandang kanak-kanak pula ialah kelemahan filem ini boleh dilihat melalui babak-babak yang mempunyai unsur seram yang agak tinggi daripada tahap sepatutnya untuk tontonan dan penerimaan kanak-kanak. 


Namun seperti yang aku nyatakan sebelum ini, filem The House With A Clock In Its Walls masih tetap menghiburkan dan aku senaraikan beberapa sebab kenapada anda perlu menonton filem ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 29 November 2018 ini:

1) Sebuah filem ringan yang menarik untuk ditonton bersama keluarga kerana ia mempunyai elemen kekeluargaan, persahabatan serta pelbagai jenis emosi yang membuatkan anda ketawa, sedih, takut dan sebagainya sepanjang anda menonton filem ini.

2) Lakonan para pelakonnya yang mantap tidak kira pelakon dewasa mahu pun kanak-kanak. Anda pasti tertarik dengan pesona pelakon kanak-kanak di dalam filem ini yang berjaya memberikan lakonan yang cukup mengagumkan daripada segi emosi, pergerakan tubuh serta lontaran vokal yang baik.

3) Props, pakaian dan solekan di dalam filem ini berjaya menggambarkan latar waktunya pada tahun 1955 dan pastikan membuatkan anda puas menonton kesemua ini sebagai sebuah visual filem yang menarik.


Jadi, selamat menonton filem The House With A Clock In Its Walls dan jangan lupa kongsikan pandangan serta komen anda berkenaan filem ini di ruangan komen di bawahSekian!

P/S : Ulasan Filem Akan Datang Merupakan Sebuah Filem Seram Iaitu Heilstatten. Seram Ker Tidak? Nantikan!

Catat Ulasan

0 Ulasan