Review Filem Heilstatten


Filem:
Heilstatten

Penilaian:
4 / 10

Pengarah:
Michael David Pate

Genre:
Seram & Ngeri

Pelakon:
Nilam Farooq, Tim Oliver Schultz, Sonja Gerhardt, Farina Flebbe,
Maxine Kazis, Lisa-Marie Koroll, Emilio Sakraya, David Schulz, Timmi Trinks & Etc.

Tarikh Tayangan:
6 Disember 2018

Pengedar:
TGV Pictures

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan empat orang vlogger Youtube yang mencabar sesama sendiri untuk tinggal selama 24 jam di sebuah bekas klinik yang dipanggil Heilstatten yang terletak di Berlin. Mereka pada mulanya berasa seronok namun kemudian semuanya bertukar menjadi mimpi ngeri apabila mereka mendapati mereka bakal berdepan seksaan yang menakutkan. Saksikan filem seram ini di pawagam berhampiran anda pada 6 Disember 2018 untuk mengetahui kisah selanjutnya.

Ulasan:

Alhamdulillah pada 3 Disember 2018 yang lepas, aku berpeluang menonton sebuah filem seram dari Jerman yang bertajuk Heilstatten bertempat di TGV Cinemas One Utama. Terima kasih kepada Sensasi Selebriti (www.budiey.com) yang memilih Hans sekali lagi sebagai salah seorang pemenang peraduan yang dianjurkan oleh mereka. Filem seram adalah antara genre yang sukar untuk membuatkan Hans berasa puas kerana filem-filem sebegini lebih mudah dipandang dan dinilai seperti filem kitar semula disebabkan jalan cerita yang berkemungkinan besar seperti biasa ditonton. Tetapi, Heilstatten sebenarnya mempunyai sebuah kisah yang menarik dan unik tetapi sayangnya plot cerita filem ini sangat lemah daripada sudut struktur serta perkembangan kisah watak-wataknya yang mana hampir kesemua watak kelihatan agak menjengkelkan dan mengelirukan.


Filem ini bermula baik dengan cubaan menjentik secara halus sikap serta moraliti para vlogger serta 'influencer' di laman sosial seperti Instagram dan Youtube dimana sebahagiannya sanggup melanggar etika dengan menipu untuk menghasilkan video yang kelihatan sangat luar biasa demi mengejar jumlah pengikut, bilangan tontonan serta populariti. Namun, ia cuma bertahan di dalam lingkungan 15 minit sahaja kerana selepas itu kesemua watak-watak utamanya mula dilihat agak mengjengkelkan disebabkan lakonan yang diberikan kelihatan terlalu berlebihan. Tambahan pula watak-watak utama ini digambarkan seperti golongan manusia yang terlampau berani sehinggakan apabila kejadian-kejadian misteri pada babak awal filem mula berlaku di kawasan Helistatten, tidak ada satu pun daripada watak ini yang berasa takut. Namun, perkara ini berubah 360 darjah apabila watak-watak ini bertukar menjadi lebih mengjengkelkan pada babak seterusnya apabila menyampaikan ketakutan dengan cara yang berlebih-lebihan juga. Tidak ada mana-mana pun watak utamanya yang boleh dikatakan mempunyai kekuatan tersendiri kerana masing-masing tenggelam dek kerana perkembangan kisah watak yang tidak kukuh serta persembahan lakonan masing-masing yang dilihat seperti mahu nampak terlalu sempurna. 


Memandangkan konsep filem ini sama seperti filem Paranormal Activity dan yang seangkatan dengannya dimana filem bergerak melalui lensa kamera yang dirakam oleh watak-watak utama maka hasil kerjanya pasti kelihatan biasa dan bergoyang-goyang. Namun, kelemahan ketara disini apabila tibanya babak-babak yang sepatutnya mempunyai potensi untuk menakutkan penonton gagal berbuat demikian disebabkan kelemahan sinematografi serta durasi masa setiap babak seram yang mengambil masa terlalu lama untuk sampai puncak klimaks menyebabkan ia sudah boleh diramal oleh penonton. Maka hasil kejutan yang diperoleh oleh penonton pun ibarat angin sepoi-sepoi bahasa sahaja. Namun idea perubahan plot cerita di saat-saat akhir filem bagi aku sedikit sebanyak berjaya menyelamatkan filem ini daripada terus dirundung sumpahan penonton di dalam panggung. Aku melihat ia sebagai satu tindakan yang bijak cuma pada masa yang sama aku merasakan babak klimaks tersebut tidak diolah dan perkembangan dengan lebih baik sehingga menjadikan filem ini berakhir tanpa ada satu momen hebat yang boleh dipahat di dalam memori penonton saat mereka keluar daripada panggung seusai tamat menonton filem Heilstatten ini.


Satu perkara yang boleh dipuji di dalam filem ini selain idea penceritaannya ialah tentang persediaan latar tempat serta props yang digunakan dimana ia berjaya membangkitkan suasana misteri dan menyeramkan sepanjang filem Heilstatten ini berlangsung. Memandangkan filem yang aku tonton sebentar tadi dialih bahasa daripada bahasa Jerman kepada bahasa Inggeris, aku berpendapat ini juga merupakan antara punca-punca watak-watak utama yang aku tonton sebentar tadi dirasakan sangat mengjengkelkan terutamanya watak wanita di dalam filem ini. Nada suara serta bunyi kepenatan dan ketakutan yang kedengaran di layar perak sekali lagi jelas kelihatan begitu berlebih-lebihan sehingga adakalanya membuatkan babak-babak genting dan seram menjadi sangat lucu. Ibarat zaman-zaman dulu menonton telenovela bahasa Latin yang diubah suara menjadi suara Melayu. Memang sangat pelik! Aku lebih suka jika filem ini mengekalkan sahaja bahasa asal suara watak-watak ini. Tetapi, kemungkinan juga tindakan ini diambil untuk mengurangkan ruang yang digunakan bagi meletakkan sari kata pelbagai bahasa di skrin. Maklum sahajalah di Malaysia ini kalau boleh semua bahasa pertuturan rakyatnya hendak diletakkan sebagai sari kata.  


Secara jujurnya aku merasakan filem seram Heilstatten ini sebenarnya mempunyai idea yang menarik dan hebat tetapi disebabkan kelemahan-kelemahan yang aku sebutkan di atas tadi menyebabkan filem ini kelihatan biasa sahaja seperti filem-filem seram yang lain sebelum ini. Ibaratnya seperti anda teringin nak tonton dan merasai keseraman hantu Suzanna Sundel Bolong tetapi apa yang anda dapat lihat dan rasa sekadar keseraman Pau Suri yang datang menjual pau di tepi tingkap asrama budak lelaki. Terpulang kepada anda untuk menonton dan menilai sendiri filem yang akan ditayangkan di pawagam berhampiran anda bermula pada 6 Disember 2018 ini.


Jadi, selamat menonton filem Heilstatten dan kongsikan pandangan serta komen anda berkenaan filem ini di ruangan komen di bawahSekian!

P/S : Tak Sabar Pula Nak Tonton Filem Aquaman Untuk Tayangan Media Pada 6 Disember  Nanti!

Catat Ulasan

0 Ulasan