Review Filem Mortal Engines


Filem:
Mortal Engines

Penilaian:
7 / 10

Pengarah:
Christian Rivers

Genre:
Aksi & Pengembaraan

Pelakon:
Hera Hilmar, Robert Sheehan, Hugo Weaving, Jihae, Stephen Lang,
Leila George, Frankie Adams, Caren Pistorius, Andrew Lees & Etc.

Tarikh Tayangan:
6 Disember 2018

Pengedar:
United International Pictures

Sinopsis:

Filem ini berlatar belakang beberapa abad selepas 'Perang 60 Minit' yang berlaku di bumi dan menjejaskan serta hampir memusnahkan kehidupan di keseluruhan muka bumi. Manusia yang terselamat kini mendiami bandar-bandar yang bergorak secara mekanikal menggunakan roda besi yang besar. Disebabkan kekurangan bahan asas serta bahan mentah menyebabkan bandar London yang besar dan kuat menjadi lebih berkuasa dan menindas serta memusnahkan bandar-bandar kecil yang lemah. Rakyat marhaen bandar London, Tom Natsworthy mengetahui satu rahsia besar yang cuba disembunyikan oleh pihak bandar London dan ini menyebabkan dia hampir terbunuh. Pertemuannya dengan Hester Shaw, salah seorang penjenayah yang dikehendaki bandar London telah merubah segala-galanya. Kini harapan terletak kepada mereka berdua untuk menyelamatkan dunia daripada kemusnahan yang bakal dilakukan oleh pemerintah bandar London yang gilakan kuasa untuk memerintah dunia. Saksikan filem semi futuristik yang menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 6 Disember 2018 untuk mengetahui kisah selanjutnya.

Ulasan:

Pada 7 Disember 2018 yang lepas, aku berkesempatan menonton filem Mortal Engines bertempat di TGV Cinemas The Mines. Aku sememangnya teruja untuk menonton filem ini kerana filem ini ditulis oleh sekumpulan manusia yang turut terlibat di dalam trilogi filem kegemaran aku iaitu filem Lord Of The Rings dan The Hobbit. Siapa lagi kalau bukan Peter Jackson, Fran Walsh dan Phillipa Boyens. Walaupun kali ini Peter Jackson tidak mengarahkan filem ini tetapi Christian Rivers merupakan anak didiknya dan diberi peluang untuk mengarahkan filem hasil karya Peter dan rakan-rakannya. Jadi, adakah Christian Rivers mampu membawa fenomena yang sama hebat seperti mahagurunya?



Filem ini bercerita tentang kisah masa hadapan selepas berabad-abad lamanya dimana hampir keseluruhan negara-negara di muka bumi ini musnah disebabkan kesan letupan sebuah teknologi kuantum kuasa yang tidak dapat dikawal oleh manusia. Jadi, antara keunikan filem ini bagi aku apabila ia telah mempotretkan pihak Barat sebagai pihak yang angkuh dan kejam melalui bandar London sejak daripada awal filem lagi. Lebih menarik apabila pihak Asia digambarkan sebagai pihak yang baik melalui bandar Shan Guo yang boleh disimpulkan disini sebagai negara China. Aku melihat hal ini di dalam dua kepercayaan iaitu pertama sememangnya pembikin filem ini mahu memberitahu dunia bahawa negara barat sememangnya negara penindas yang tidak disedari oleh rakyatnya kerana dibutakan dengan kata-kata manis dan 'patriotik' pemimpinnya demi kesejahteraan dan kemakmuran negara mereka. Kedua ialah mereka menjadikan bandar Shan Guo atau pun China secara tersiratnya sebagai pihak yang baik adalah semata-mata untuk menarik perhatian masyarakat negara tembok besar itu untuk menonton filem ini. Aku sangat percayakan teori nombor dua. Hahaha!


Jadi, berbalik pula kepada plot cerita filem ini yang menampilkan sebuah idea kreatif tentang kehidupan masa hadapan yang membuatkan aku berasa teruja melihat bandar-bandar yang boleh digerakkan dengan roda besar. Babak permulaan filem yang menunjukkan bandar London mengejar bandar-bandar kecil yang dikategorikan sebagai bandar haram adalah sangat menarik dan membuatkan aku meletakkan jangkaan serta harapan yang lebih tinggi pada babak-babak seterusnya. Selain itu, aku cukup sukakan bagaimana filem ini memaparkan kisah sejarah serta bahan-bahan antik di muzium pada era tersebut dimana barang-barang pamerannya adalah barang yang kita gunakan pada zaman kini seperti pembakar roti, patung minion dan pelbagai lagi. Aku cukup sukakan babak-babak ini kerana ia berjaya digambarkan dengan baik melalui props yang disediakan serta dikuatkan lagi dengan emosi dan reaksi para pelakonnya yang seakan-akan sama seperti mana kita sendiri apabila melihat barang-barang tinggalan lama di muzium.


Namun, plot cerita seterusnya bergerak terumbang-ambing dimana pada asalnya aku berharap untuk melihat perkembangan kisah yang lebih menarik di dalam Mortal Engines tetapi ia agak sukar untuk direalisasikan disebabkan begitu banyak watak-watak utama serta sampingan yang penting dan perlu diperkenalkan di dalam filem ini. Hal ini biasa terjadi bagi sebuah filem yang diadaptasi daripada novel yang menarik kerana kekangan masa untuk memperkenalkan dan memperkembangkan lagi kisah-kisah ini untuk difahami oleh penonton.


Ada beberapa perkembangan kisah wataknya yang aku rasa terlalu ringkas sehingga sukar difahami dan meninggalkan beberapa persoalan yang tidak terjawab terutamanya watak Shrike yang bagi aku mempunyai peranan yang menarik dan penting di dalam filem ini. Memang filem ini ada menceritakan bagaimana hubungan Shrike dengan Hester Shaw tetapi paling mengelirukan sewaktu babak Shrike membatalkan janji Hester Shaw dan kemudiannya termati dengan sendiri. Sedangkan sebelum ini bukan main hebat lagi watak ini menjejak dan bertempur untuk mendapatkan Hester Shaw semula. Ada juga beberapa watak sampingan lain yang sebenarnya menarik dan berpotensi untuk dikembangkan tetapi seperti yang aku katakan tadi, terlalu banyak watak-watak utama menyebabkan kewujudan mereka hanya sekadar sepintas lalu.  


Daya penarik utama filem Mortal Engines ini ialah reka bentuk unik bandar London yang bergerak, bandar belon terapung yang diluar jangkaan minda serta reka bentuk bandar Shan Guo di lereng bukit yang sangat indah dan cukup mengagumkan. Tidak salah untuk aku katakan filem ini sebenarnya menjual visual yang bijak digarapkan dengan teknik khas CGI ini untuk memancing perhatian penonton dan semestinya umpan yang dilemparkan ini berjaya membuatkan sesiapa yang melihatnya teruja untuk menyaksikan filem ini di dalam panggung wayang. Aku sendiri turut setuju filem ini sangat berjaya daripada sudut ini kerana visual yang dipaparkan di sepanjang filem ialah antara kekuatan utama yang dipertaruhkan di dalam filem yang bercerita tentang masa hadapan. 


Dari segi lakonan, watak Shrike yang dilakonkan oleh Stephen Lang adalah watak yang paling menonjol dan diingati oleh aku walaupun peranannya hanyalah sementara. Walaupun watak ini ialah manusia yang mengubah dirinya menjadi cyborg dan tidak mempunyai mimik muka untuk menyampaikan emosi, namun suara Stephen Lang di dalam menjiwai emosi cyborg yang tidak mempunyai hati tersebut berjaya menyentuh perasaan sesiapa sahaja yang menonton. Serius watak Shrike memang menyinar di dalam filem ini. 


Hera Hilmer yang memegang peranan utama sebagai Hester Shaw juga tidak mengecewakan kerana watak tersebut berjaya berkembang dengan baik. Watak utama seterusnya iaitu Tom Natsworthy yang dilakonkan oleh Robert Sheehan pula sedikit tenggelan dan kurang menonjol berbanding watak Hester. Watak antagonis Thaddeus Valentine yang dibawakan oleh Hugo Weaving pula bagi aku tiada apa-apa keistimewaan melainkan hanya sekadar nampak dan sedar watak tersebut adalah watak jahat. Penyanyi Korea Selatan, Jihae yang membawakan watak Anna Fang pula berjaya menampilkan sebuah karisma yang agak menarik dan menyerlah di dalam beberapa babak kemunculannya di dalam filem ini.


Filem Mortal Engines sememangnya menawarkan pengalaman unik dan menarik bagi anda yang meminati kisah tentang kehidupan manusia pada tahun-tahun mendatang. Jadi, disini aku senaraikan beberapa sebab kenapa anda perlu menonton filem ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 6 Disember 2018 ini:

1) Filem tentang masa depan manusia yang menampilkan reka bentuk dan ciptaan teknologi bandar bergerak serta persenjataan yang sangat unik dan memukau dari segi visualnya. Anda pasti akan terpesona melihatan keunikan dan ketelitian kesan khas yang dipaparkan di dalam filem ini.

2) Sebuah filem yang menampilkan plot cerita yang tidak terlalu kompleks atau pun subjektif. Jadi, ia bersesuaian buat anda yang inginkan hiburan serta menikmati aksi-aksi pertempuran dan peperangan yang cukup mengagumkan.

3) Anda perlu menonton watak Shrike di dalam filem yang hampir tapau habis kesemua watak-watak lain walaupun kemunculannya hanya seketika di dalam filem ini. Nak tahu kenapa aku selalu sebut watak Shrike ini? Silalah tonton filem ini di pawagam berdekatan anda.


Jadi, selamat menonton filem Mortal Engines dan kongsikan pandangan serta komen anda berkenaan filem ini di ruangan komen di bawahSekian!

P/S : Ada Tiga Ulasan Filem Yang Sedang Disiapkan Iaitu 3AM, One Cut Of The Dead Dan Aquaman. Nantikan!

Catat Ulasan

0 Ulasan