Review Filem Aquaman


Filem:
Aquaman

Penilaian:
8/10

Pengarah:
James Wan

Genre:
Aksi & Pengembaraan

Pelakon:
Jason Momoa, Amber Heard, Patrick Wilson, Willem Dafoe,
Nicole Kidman, Dolph Lundgren, Yahya Abdul-Mateen II, Temuera Morrison & Etc.

Tarikh Tayangan:
13 Disember 2018

Pengedar:
Warner Bros. Pictures

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan Arthur Curry mendapat tahu yang dia adalah pewaris kepada kerajaan di bawah lautan, Atlantis. Dengan pengetahuan baru itu, dia bukan sahaja perlu mengetuai orangnya sahaja tetapi turut menjadi wira kepada dunia. Saksikan filem yang cukup menarik ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 12 Disember 2018 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah aku telah dijemput untuk hadir ke tayangan media bagi filem Aquaman yang berlangsung TGV Cinemas One Utama pada 6 Disember 2018 yang lepas. Sejujurnya, apa yang membuatkan aku tertarik untuk menonton filem ini hanya selepas melihat nama James Wan berada di kerusi pengarahnya. Ini kerana filem-filem keluaran DCEU sebelum ini agak mengecewakan dan aku memang berharap James Wan mampu meneruskan kecemerlangannya sebelum ini di dalam filem-filem seram serta aksi kepada filem Aquaman ini. Tetapi, apa yang mengejutkan aku ialah James Wan memang betul-betul berjaya memberikan kejutan yang bukannya sedikit tetapi kejutan yang tersangat besar sehingga aku merasakan DCEU seolah-olah memperoleh sebuah sinar harapan untuk bangkit semula selepas ini bagi memberi saingan kepada filem-filem keluaran Marvel.


Filem Aquaman telah membuktikan bahawa DCEU tidak perlu lagi kekal di dalam kepompongnya untuk menghasilkan filem-filem superhero yang mengikut formula acah-acah kisah berat dan gelap dari segi jalan cerita dan perkembangan wataknya yang menyebabkan filem-filem mereka sebelum ini kelihatan terlalu serius dan berat untuk dihadap. Aquaman berjaya tampil dengan gaya tersendiri yang dilihat seimbang daripada segi plot penceritaan, perkembangan semua wataknya, nilai imaginasi dan fantasi penulis layarnya, nilai humor yang bijak dibentuk serta kehebatan grafik dan kesan khas CGI yang menjadikan filem ini sebagai sebuah filem superhero yang sangat epik dan begitu layak untuk diiktiraf sebagai filem penutup di tahun 2018 yang sangat menghiburkan.


Satu perkara yang membuatkan aku jatuh cinta dengan naskhah filem ini ialah visual filemnya yang memaparkan nilai estetika serta fantasi yang sangat memukau, indah dan begitu teliti di dalam penghasilannya walaupun ada sesetengah babak itu dipertontonkan tidak sampai lima minit seperti pengenalan awal tentang kisah sejarah Kerajaan Atlantis yang memerintah dunia di daratan sebelum tenggelam di dasar laut. Selain itu, filem ini turut berjaya menceritakan tentang kisah tujuh kerajaan pemerintah lautan ini dengan baik menyebabkan aku sebagai penonton begitu mudah memahami setiap kelebihan, kekurangan serta hubung kait antara kesemua kisah-kisah ini dengan sempurna. Sebagai penonton semestinya aku berasa cukup gembira kerana mata aku sentiasa dijamu oleh latar tempat, karakter serta visual berkenaan kisah kesemua tujuh-tujuh kerajaan ini melalui bantuan visual serta kesan khas yang berjaya memukau minda aku gara-gara fantasi mereka yang begitu indah. Nampaknya produksi filem ini betul-betul bangkit dengan menawarkan pengalaman indah menonton perjalanan fantasi di laut dalam dan kerajinan mereka di dalam menghasilkan setiap latar tempat melalui bantuan teknik kesan khas, props, skor bunyi serta pakaian para pelakonnya sewajarnya diberikan pujian yang menggunung.


Perjalanan plot cerita filem ini tidak lah terlalu kompleks. Aku boleh katakan jalan ceritanya amat mudah difahami kerana ia bergerak sehala. Tetapi, menariknya disini walaupun perjalanan ceritanya bergerak lurus ke hadapan tetapi konflik-konflik yang dicetuskan di dalam filem ini melalui kesemua watak-wataknya yang berjaya menjadikan filem ini betul-betul menarik untuk ditonton daripada permulaan sehingga kepada babak akhirnya. Anda sebagai penonton akan tertanya-tanya kemana menghilangnya Ratu Atlana? Bagaimana kaum manusia boleh menyerang kerajaan lautan dalam? Bagaimana si lanun Manta boleh memperoleh senjata berteknologi hebat? Kenapa King Orm begitu bencikan Arthur? Apakah benar tentang kisah mitos trisula yang diceritakan? Bagaimana kisah dan siapakah watak-wataka kerajaan lautan dalam yang lain yang dipertontonkan dalam pelbagai jenis dan bentuk? Bagaimana perjalanan Arthur di dalam menjadi pemerintah agung lautan dalam? Semua persoalan serta konflik ini yang membuatkan anda sebagai penonton sentiasa berasa teruja untuk mendapatkan jawapannya dan membuatkan anda langsung tidak berasa bosan saat menonton filem hebat yang berdurasi 2 jam 23 minit ini.


Filem ini menawarkan segala perkara yang anda sebagai penonton ingin lihat di layar perak. Kisah mengenai keluarga, cinta, tanggungjawab, keamanan dunia, kuasa sehingga lah kepada mesej alam sekitar yang bijak disampaikan berkenaan sampah-sarap yang dilakukan manusia di daratan yang mencemar lautan sehinggakan anda tidak merasakan mesej yang anda terima tersebut seperti anda sedang berada di dalam bilik kuliah. Pada permulaan lagi aku tertarik dengan kisah keluarga Arthur dimana ibunya terpaksa membuat keputusan untuk meninggalkan Arthur dan bapanya demi keselamatan mereka. Kemudian, babak pertemuan diantara Arthur (Aquaman) serta Manta dimana mereka berbicara tentang nilai nyawa dan kematian juga bagi aku berjaya meletakkan filem ini di tahap yang tersendiri sejak awal lagi. Aku juga agak tertarik dengan sebuah dialog perbualan di dalam filem ini berkenaan air mata dimana salah satu watak yang tinggal di laut yang berbicara tentang kesedihan menyatakan "Di dalam sana, air laut membawa air mata kami." tetapi di balas pula dengan sebuah dialog yang agak cantik iaitu,"Namun disini lain kerana anda dapat merasakan kehadirannya." Boleh dikatakan hampir keseluruhan plot filem ini yang dihidangkan mempunyai kesinambungan yang menarik, bermakna dan tidak kosong.


Jason Momoa telah berjaya menghidupkan watak Arthur @ Aquaman dengan cukup baik. Unsur humor yang dicetuskan oleh watak ini juga berjaya ditimbul dengan cara tersendiri yang tidak kelihatan seperti terlalu mencuba untuk membuatkan penonton ketawa. Keserasiannya dengan pelakon Amber Heard yang memegang peranan sebagai Mera juga turut memberikan kekuatan kepada filem ini untuk bergerak jauh memikat hati para penonton. Pelakon-pelakon lain seperti Patrick Wilson dan Yahya Abdul Mateen yang memegang peranan antagonis juga turut dilihat berjaya memberi warna yang positif kepada watak masing-masing untuk menyinar sama hebat seperti pelakon utamanya yang lain.


Sinematografi di dalam ini sangat berjaya menonjolkan keindahan setiap kerajaan lautan dalam. Keindahan yang dipertontonkan ini bukan sekadar pemandangan indah dan menawan seperti mana yang dapat dilihat pada bandar pemerintahan kerajaan Atlantis sahaja tetapi juga keindahan di dalam memaparkan dunia gelap kerajaan Trench yang begitu menyeramkan terutama apabila babak kejar mengejar yang melibatkan ribuan makhluk menyeramkan tersebut. Seterusnya sewaktu babak peperangan di laut dalam yang melibatkan kerajaan-kerajaan pemerintah laut yang turut berjaya dipertontonkan dalam keadaan yang menarik dan agak kemas.


Filem Aquaman sememangnya merupakan sebuah filem keluaran DCEU yang wajar diraikan oleh semua penonton. Jadi, disini aku senaraikan beberapa sebab kenapa anda perlu menonton filem ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 7 Disember 2018 ini:

1) Filem ini pasti akan memberikan anda sebuah pengalaman yang terbaik apabila anda menontonnya pada skrin IMAX. Serius hasil yang anda peroleh pasti membuatkan anda sangat berpuas hati.  

2) Kisahnya ringkas tetapi disulami dengan pelbagai plot cerita yang bermacam konflik menjadikan ia sebuah karya yang tidak membosankan tetapi mempunyai cerita yang menarik dan menghiburkan untuk ditonton.

3) Dunia lautan dalam Atlantis serta kerajaan laut dalam yang lain berjaya dihasilkan dengan begitu teliti dan menarik. Dibantu pula oleh set kostum, props serta teknik khas CGI yang membanggakan ini menjadikan tontonan anda terhadap dunia lautan dalam ini seakan-akan nyata dan bukan fantasi.

4) Para pelakonnya berjaya memberikan lakonan yang menarik serta elemen komedi yang terhasil juga bukannya disebabkan faktor-faktor lawak slaptik tetapi ia berjaya dipertonton dalam keadaan yang kelihatan seperti tidak disengajakan.


Jadi, selamat menonton filem Aquaman dan jangan lupa kongsikan pandangan anda melalui komen di ruangan komen di bawahSekian!

P/S : Ulasan Filem Seram Korea Wrath Akan Dikongsikan Dalam Waktu Terdekat!

Catat Ulasan

12 Ulasan

  1. Betul, ni antara filem DC yg plg cemerlang setakat ni.

    BalasPadam
    Balasan
    1. yups
      memang kejutan yang mengejutkan
      puas hati tonton
      heheehe

      Padam
  2. Menarik juga filem ni. Tapi otomen byk gak la filem yg tak gi tonton lagi. Adeh!

    BalasPadam
  3. 2 film superhero dlm bulan ni, SpiderMan dan Aquaman dpt review hebat 8/10 dr Hans, tetapi antara 2 film tu... mana satu pilihan Hans? Yg lagi best, memberi impak & kepuasan maksimum?

    BalasPadam
    Balasan
    1. dua-dua best tetapi untuk Hans setakat nih jika pengalaman menonton di wayang....

      lebih berpihak kepada Aquaman sebab Hans menonton di panggung IMAX TGV

      jadi kepuasannya berganda berbanding Spider-Man yang mana Hans tonton di panggung biasa sahaja

      Padam
  4. Aquaman IMAX TGV Sunway it is... terima kasih Hans

    BalasPadam
  5. Seperti di rekemen oleh Hans, saya berjaya tonton Aquaman 16 Dis (Ahad) di IMAX Sunway... peeerrggghhh... hebat betoi hasil garapan James Wan kali ni. Saya tak pernah tengok trailer nya utk mengelak dr spolier dgn itu bila pertama kali saksikan film ni dan ditambah pula dlm IMAX, amat amat hebat sekali kesan nya. Underwater scene nya berjaya di visualisasikan oleh J.Wan bersama hero nya badass... Yeesss, wajib ditonton di IMAX, TQ Hans

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehehe
      memang puas hati kan?
      sangat berbeza tonton yang biasa dengan version imax
      yang Imax sangat puas hati

      Padam
  6. Citer ni best cume satu babak tu yng saye x faham.waktu pertarungan akhir tu sebelum aquaman sampai smpai.Kenape tentera orm berperang dengan tentera brine.Dan sape brine tu?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Orm tu kerajaan Atlantis....untuk menyerang daratan dia perlukan persetujuan daripada 4 kerajaan. Jadi, dia dah dapat sokongan daripada dua kerajaan...termasuk atlantis kira dah tiga kerajaan. Jadi, dia perlukan sokongan kerajaan Brine sebab kerajaan Brine antara yang mempunyai tentera dan kelengkapan yang canggih dan besar.

      Tetapi, ketua kerajaan Brine tak nak tunduk kepada Orm dan sebab itu mereka berperang. Kiranya kalau Orm berjaya tewaskan Brine, jadi kerajaan Brine kena tunduk dan patuh kepada arahan dia selepas itu.

      Lebih kurang macam tu lah kisahnya. Hehehe!

      Padam