Review Filem Instant Family


Filem:
Instant Family

Penilaian:
9/10

Pengarah:
Sean Anders

Genre:
Komedi & Keluarga

Pelakon:
Mark Wahlberg, Rose Byrne, Isabela Moner, Gustavo Quiroz,
Julianna Gamiz, Tig Notaro, Octavia Spencer, Tom Segura & Etc.

Tarikh Tayangan:
10 Januari 2019

Pengedar:
United International Pictures

Sinopsis:
Filem ini diinspirasikan daripada sebuah kisah benar yang mengisahkan sepasang suami isteri iaitu Pete dan Ellie yang mengambil keputusan untuk mengambil anak angkat bagi membentuk sebuah keluarga yang lengkap. Sewaktu mereka menyertai sebuah program latihan untuk menjadi sebagai ibu bapa kepada anak angkat, mereka berdua berhajat hanya untuk mengambil seorang sahaja. Namun, akhirnya mereka terpaksa mengambil tiga orang anak angkat yang merupakan adik beradik iaitu Lizzy, Juan dan Lita di dalam program percubaan sebelum mereka berdua layak untuk menjadi ibu bapa kepada tiga orang adik beradik ini. Namun, sikap liar yang ditunjukkan Lizzy ditambah pula dengan sikap nakal Lita serta sikap kelam-kabut Juan menyebabkan Pete dan Ellie mula berasa menyesal mengambil mereka sebagai anak angkat. Namun, pada masa yang sama mereka berdua tidak mahu berpatah balik atau gagal di dalam percubaan mereka untuk menjadi sebagai ibu bapa yang menjadi idaman anak-anak di luar sana. Adakah mereka akan meneruskan impian mereka untuk menjadi ibu bapa yang baik buat Lizzy, Juan dan Lita? Atau adakah mereka akan melakukan keputusan terburuk di dalam hidup mereka dengan menyerahkan kembali ketiga-tiga adik beradik tersebut ke rumah anak-anak yatim? Saksikan filem yang cukup menarik ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 10 Januari 2019 untuk mengetahui kisah selanjutnya.

Ulasan:

Aku berkesempatan menonton filem Instant Family bertempat di TGV Cinemas Sunway Pyramid pada 5 Januari 2019 yang lepas. Membaca sinopsis awal serta menonton treler filem ini sememang telah berjaya menarik perhatian aku yang amat gemarkan filem-filem bergenre kekeluargaan. Jangkaan awal aku ialah filem ini hanya sekadar sebuah filem ringan yang menghiburkan sahaja. Namun telah terbukti jangkaan aku tersasar jauh kerana filem ini bukan sekadar sebuah karya cukup menarik tetapi turut berjiwa besar dan berjaya membawa mesej kekeluargaan yang pada asalnya berat ke tahap yang mudah difahami dan memberi kesan buat sesiapa yang menonton perjalanan membentuk sebuah keluarga idaman mengikut fahaman pasangan suami isteri bernama Pete dan Ellie.


Bertepatan dengan judul filem ini iaitu 'Keluarga Segera', hati dan jiwa anda pasti akan segera terkesan dengan plot ceritanya yang bagi aku hebat hasil inspirasi daripada sebuah kisah benar yang telah diolah dengan cantik. Secara tidak langsung, aku melihat plot cerita filem ini telah melalui hasil penyelidikan yang betul-betul teliti sebelum kisahnya ditulis dan difilemkan. Ditambah lagi dengan persembahan serta penjiwaan para pelakonnya yang cukup luar biasa yang bijak bermain dengan emosi serta mewujudkan unsur humor menjadikan filem ini sangat cukup adunan bahan-bahannya untuk berdiri sebagai sebuah filem 'segera' yang mengenyangkan jiwa sang penonton.


Aku suka untuk melihat perkembangan kisah pasangan suami isteri bernama Pete dan Ellie ini yang diperkembangkan dengan cukup pantas tetapi penceritaan tentang watak dan sejarah mereka dapat disampaikan dengan cukup bijak melalui beberapa dialog sahaja sehingga menggelakkan daripada terjadinya kelompongan cerita yang mencacatkan sesebuah penceritaan filem tersebut. Sebab musabab kenapa mereka berminat untuk mengambil anak angkat telah dipertontonkan dengan cukup menarik kerana hal ini sebenarnya turut membawa jawapan ramai lagi ibu bapa di luar sana tentang kenapa mereka mahu mengambil anak angkat. Filem ini menjadi lebih luar biasa pada pandangan aku apabila pasangan Pete dan Ellie ini ditunjukkan di dalam beberapa babak bersama-sama ibu bapa lain yang turut terlibat di dalam program mengambil anak angkat ini. Aku sukakan babak-babak tersebut kerana ia berjaya menyampaikan sesuatu perkara yang cukup berat berkenaan situasi, tangggapan dan impian setiap ibu bapa yang berlainan latar belakang, cita-cita, pilihan dan impian tentang anak yang mereka ingin miliki tetapi dengan gaya humor yang cukup santai dan nampak semula jadi. Babak-babak ini bersambung-sambung untuk menunjukkan tahap kemajuan setiap keluarga angkat ini dan secara tidak langsung sesiapa sahaja yang menonton bukan sahaja dapat melihat dan mempelajari masalah-masalah yang melanda pasangan Pete dan Ellie sahaja di dalam menguruskan kerenah anak-anak angkat mereka tetapi tentang permasalahan dan pengalaman keluarga angkat yang lain merangkumi pelbagai etnik, seksualiti dan juga jantina. Satu pendekatan yang bagi aku sangat bijak telah digunakan di dalam filem Instant Family ini.


Satu perkara positif juga yang aku ingin kupaskan disini ialah aku melihat filem ini berjaya menyentuh dan memaparkan semua perspektif setiap pihak berkenaan pasangan suami isteri yang mengambil anak angkat. Segala-galanya telah disebut disini seperti masalah kemandulan, ujian tabung uji, anak orang tidak sama dengan yang lain dan pelbagai lagi. Itu dari satu sudut biasa yang dapat dilihat. Namun, apabila aku melihat kepada sudut kedalaman seterusnya lagi, aku nampak perspektif yang cukup menarik telah disampaikan oleh pasangan Pete dan Ellie tentang nilai kebahagiaan sebuah keluarga yang mereka percaya dan pegang tetapi ia bertembung dengan perbezaan perspektif yang cukup ketara daripada Lizzy yang percaya keluarga sebenar ialah apabila berada di sisi ibu kandung dan stigmanya berkenaan keluarga angkat hanya sekadar satu terma popular serta mengangkat imej yang baik hanya untuk pasangan suami isteri itu adalah satu kejutan bagi aku yang cukup untuk menikam hati ibu bapa angkat di luar sana. Aku sangat cintakan filem ini kerana ia telah berjaya menunjukkan realiti perjuangan serta usaha yang dilakukan oleh pasangan suami isteri yang betul-betul ikhlas untuk mengambil anak angkat dan topik yang diangkat ini walaupun sukar tetapi aku sangat yakin untuk menyatakan ia memberi kesan emosi yang cukup hebat kepada sesiapa sahaja yang menonton filem ini jika anda merupakan seorang yang mementingkan keharmonian keluarga.


Bagi aku filem sebegini sememangnya berjaya memberi kesan yang bukan calang-calang buat anak-anak mahu pun para dewasa yang menonton. Ia sememangnya merupakan sebuah filem yang bagus untuk tontonan seisi keluarga namun disebabkan beberapa babak yang mempunyai bahasa dialog yang sangat kesat, kasar dan bahasa tersebut diungkapkan oleh anak-anak kecil maka aku boleh nyatakan filem ini tidak sesuai untuk tontonan kanak-kanak. Aku memahami filem ini cuba memaparkan realiti hasil daripada kisah benar yang dipilih dan dijadikan sebagai inspirasi untuk filem ini. Namun, buat kanak-kanak yang masih belum mengerti tentang apa itu realiti, inspirasi dan fantasi mungkin akan terpengaruh dengan faktor tidak sihat ini. Hanya ini lah masalah yang aku lihat wujud di dalam filem ini dimana masalah ini tidak memberi kesan kepada kita yang dewasa namun akan memberi impak buat sekumpulan keluarga yang menonton dengan anak-anak kecil mereka. Jadi, bertindak bijak apabila membuat keputusan jika ingin menonton filem ini dengan anak-anak anda yang masih kecil.


Jadi, disini aku senaraikan beberapa sebab kenapa anda wajib menonton filem Instant Family ini di pawagam berhampiran bermula pada 10 Januari 2019:

1) Sebuah filem kekeluargaan yang bukan membawa elemen hiburan yang kosong tetapi menimbulkan satu peringatan penting tentang kasih sayang daripada kedua-dua belah pihak iaitu ibu bapa dan anak-anak dengan persoalan tentang nilai kasih sayang, kepentingannya dan betapa hebatnya kuasa kasih sayang sewaktu berhadapan dengan perkara-perkara yang menyakitkan hati ibu bapa mahu pun si anak. 

2) Filem yang berjaya menimbulkan dan memberi satu kesedaran baru tentang kepentingan mengambil anak angkat. Ia bukan sekadar untuk membentuk sebuah keluarga yang lengkap atau sebagai penyelesaian kepada pasangan suami isteri yang tidak mempunyai anak tetapi filem ini telah menyampaikan suara hati anak-anak yatim piatu ini pada tahu tahap yang sangat realistik dan diolah dengan cukup versatil.

3) Filem ini bukan sekadar mengisahkan tentang ibu bapa dan anak angkat tetapi ia pasti berjaya menggeletek hati anda untuk ketawa dengan unsur humor yang kreatif melalui dialog-dialog yang kelihatan sangat jujur. Filem ini juga pasti membuatkan anda mengimbau kembali pengalaman-pengalaman manis dan menarik tentang ibu bapa dan adik beradik anda. Selain itu, filem ini pasti mengusik emosi dan jiwa anda apabila ia membawa anda menyelami unsur-unsur berat tentang hubungan ibu bapa dan anak. Lebih menarik apabila filem ini sebenarnya telah berjaya menceritakan tentang maksud sebenar cinta sejati pasangan suami isteri yang betul-betul realistik melalui watak Pete dan Ellie ini. 


Jadi, aku memang menyarankan anda semua untuk menonton filem Instant Family ini kerana ia merupakan sebuah filem yang membawa mesej kekeluargaan dengan gaya penceritaan yang cukup menarik disebalik kekerasan jiwa yang dipaparkan. Kongsikan pandangan anda berkenaan filem ini di ruangan komen di bawah selepas menonton. Semoga terhibur dan terkesan selepas selesai menonton filem ini!

P/S : Antara Filem-Filem Pada Minggu Kedua Bulan Januari 2019 Yang Menarik Perhatian Aku Untuk Ditonton Selain Instant Family Ialah Take Point, Petta, Swing Kids Dan Viswasam. Nantikan Ulasan Filem-Filem Ini Jika Aku Sempat Menonton! Hahaha!

Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. PH baru tonton filem ni Jumaat lepas. Pada PH ok lah boleh tahan. Kepada soalan Hans sebelum ni, PH berada di Damansara. So pawagam terdekat ialah GSC 1 Utama atau MBO Starling. PH ni kira kaki wayang jugaklah hee..hee...

    BalasPadam