Review Filem K.G.F: Chapter 1


Filem:
K.G.F: Chapter 1

Penilaian:
8/10

Pengarah:
Prashanth Neel

Genre:
Drama & Ngeri

Pelakon:
Yash, Srinidhi Shetty, Achyuth Kumar, Malavika Avinash & Etc.

Tarikh Tayangan:
28 Disember 2018

Pengedar:
Malik Streams Corporation

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang lelaki bernama Raja Krishnappa Bairya atau lebih dikenali dengan gelaran Rocky yang dilahirkan di dalam sebuah kawasan miskin. Selepas kematian ibunya, Rocky telah merantau ke Bombay untuk menunaikan janji kepada ibunya iaitu untuk menjadi seorang lelaki kaya. Untuk mencapai cita-cita tersebut, Rocky sentiasa berani berhadapan dan menyahut pelbagai cabaran sehingga akhirnya dia terlibat dengan sebuah kumpulan mafia yang berniaga emas di India. Kehebatan Rocky amat digeruni sehingga dia diberi tugasan oleh beberapa kumpulan mafia untuk membunuh Garuda yang merupakan bakal waris lombong emas Kolar Gold Fields yang penuh misteri. Adakah Rocky berjaya di dalam misinya? Atau adakah buat pertama kalinya Rocky akan kecundang di tangan Garuda yang penuh dengan tipu muslihat? Saksikan filem aksi yang cukup menarik ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 28 Disember 2018 untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:
Aku berkesempatan menonton filem K.G.F: Chapter 1 bertempat di Amerin Cineplex pada 3 Januari 2019 yang lepas. Filem ini dikatakan menggunakan kos yang besar dan menjadi kebanggaan kebanyakan peminat filem Tamil di negara India yang menyatakan filem ini bakal meneruskan legasi yang dicetuskan oleh filem Baahubali dari segi kejayaan dan dikenali di seluruh dunia. Aku pula tertarik untuk menonton filem ini kerana mendambakan babak-babak aksi yang hebat dimana agak sukar untuk ditonton di dalam kebanyakan filem Tamil pada zaman sekarang. 


Filem K.G.F: Chapter 1 ini dimulakan dengan sebuah penceritaan menarik melalui babak seorang perdana menteri India yang memberi arahan dan peringatan kepada semua media cetak dan elektronik dimana mereka diharamkan dan tidak sesekali dibenarkan untuk menulis sebarang kisah atau membukukan kisah berkaitan seorang lelaki yang didakwa penjenayah terbesar di India. Kemudian, wujud seorang wartawan yang berani mengambil risiko membukukan kisah tersebut namun buku-bukunya telah diharamkan untuk dijual dan kesemuanya telah dirampas dan dibakar. Tetapi, sebuah buku telah terselamat dan diperoleh oleh sebuah syarikat media dan menyebabkan wartawan tersebut dipanggil oleh mereka untuk ditemuramah.


Babak ini berjaya disampaikan dengan menarik kerana ia bergerak pantas dan berjaya menceritakan kembali tentang seorang lelaki bernama Rocky yang sangat bercita-cita tinggi untuk menjadi manusia terkaya, berkuasa dan diingati oleh semua orang dengan mengambil konsep penjenamaan barangan mewah yang popular dan sering disebut oleh ramai orang. Lebih menarik apabila kisah Rocky ini menggunakan gambaran tentang sejarah perlombongan emas dan hubung kaitnya dengan kumpulan mafia yang mempunyai pelbagai rangkaian menjadikan ia sebuah filem yang cukup menarik. Disamping itu, ia diselangi dengan kisah pendek berkenaan hubungan Rocky dan ibunya yang merupakan seorang ibu muda dan hidup merempat di kawasan perlombongan. Diakui, elemen kekeluargaan berjaya disampaikan secara menarik dan berjaya membantu perkembangan watak Rocky secara positif untuk diyakini oleh para penonton.


Berlatar belakangkan tiga era yang berlainan tetapi diceritakan secara serentak, dapat dilihat set filem yang memaparkan kawasan perlombongan berjaya direka dengan cukup baik dan secara tidak langsung berjaya menggambarkan latar belakang filem yang berlaku pada era tahun 60-an, 70-an dan 80-an dengan begitu realistik. Menariknya juga apabila kekuatan sinematografi filem ini turut membantu mencantikkan lagi visual yang dihidangkan untuk dijamah oleh setiap pasang anak mata penonton..


Penceritaan filem ini bagi aku menarik apabila ia menyingkap dan menelusuri kehidupan zaman kanak-kanak Rocky yang cukup menyedihkan dan penuh dengan cabaran. Babak dimana Rocky memilih untuk menyahut seruan ketua jagaannya dengan memukul polis dan membiarkan dirinya untuk ditangkap gara-gara mahu namanya diingati oleh pihak polis adalah satu babak yang betul-betul menarik dan gah. Yash yang memegang peranan sebagai watak utama sangat berjaya memberi sentuhan dan prestasi yang begitu mengagumkan kepada watak Rocky. Tetapi, aku melihat pelakon kanak-kanak yang memainkan peranan Yash sewaktu muda lebih berjaya memberi penampilan yang jauh lebih gah dan menonjol melalui gerak geri tubuh, lontaran suara serta reaksi wajahnya yang begitu realistik dan bertenaga sehingga menjadikan watak Rocky ini berjaya berkembang dengan begitu cantik sekali. Terima kasih kepada lakonan bertenaga dan hebat kanak-kanak tersebut yang aku tidak tahu namanya tetapi ia telah mengangkat watak Rocky ini untuk menjadi satu watak yang sangat menarik dan ada kelas yang tersendiri.


Jika dilihat daripada sudut aksi, filem ini sememangnya berjaya menyajikan babak-babak dipenuhi dengan pelbagai aksi pergaduhan dan perlawanan yang menarik dan juga kejam. Disebabkan itu filem ini diberi klasifikasi 18 tahun ke atas kerana ia sangat tidak sesuai untuk ditonton oleh kanak-kanak. Apabila dilihat pula daripada elemen romantik yang diwujudkan di dalam penceritaan ini secara kecil-kecilan, aku boleh katakan terdapat sedikit permasalahan kerana babak-babak romantik tersebut gagal diterjemahkan dengan baik. Ia dapat dilihat kepada watak Reena yang jatuh cinta pada Rocky hanya melalui satu babak yang menunjukkan Rocky mengambil roti di jalanan dan memberinya kepada seorang ibu muda yang sedang mengendong anak. Rocky kemudiannya dilihat memberi syarahan berfalsafah namun hal ini sahaja sangat tidak meyakinkan untuk membuat penonton percaya dan menerima watak Reena boleh terus jatuh cinta dengan Rocky. Ini kerana watak ini tidak pernah mengalami kesempitan hidup seperti mana yang dialami oleh Rocky dan insiden tersebut sebenarnya tidak cukup untuk menutup kebencian Reena yang meluap-luap kepada Rocky dan ditukarkan kepada perasaan cinta. Ini antara perkara yang sedikit mencacatkan perjalanan cerita filem ini yang gah dengan babak aksi yang hebat dan ganas serta ditambah baik dengan elemen komedi gelap yang menghiburkan.


Filem Tamil selalunya menampilkan muzik atau lagu latar yang sangat berlainan impaknya berbanding filem Bollywood yang lebih diminati penonton terutama dari segi lirik yang mudah disebut serta melodinya yang lebih menangkap halwa telinga. Namun, berlainan dengan filem K.G.F: Chapter 1 ini dimana muzik yang disusun oleh Ravi Basrur berjaya menarik perhatian aku untuk menikmati melodinya yang agak menarik dan lirik lagunya yang juga kedengaran sedap untuk dinikmati.


Jadi, disini aku senaraikan beberapa sebab kenapa anda wajib menonton filem K.G.F: Chapter 1 ini di pawagam berhampiran bermula pada 28 Disember 2018:

1) Sebuah filem aksi yang sesuai ditonton oleh kaki wayang yang menggilai babak aksi kerana keseluruhan filem ini sangat padat dengan aksi pergaduhan yang cukup hebat, menarik dan dipertontonkan dalam visual yang tidak bersifat hiperbola.  

2) Elemen keluarga, komedi gelap dan permasalahan manusia yang begitu cantik digabungkan menjadikan filem ini punya jiwa dan harga diri yang tinggi dimata aku sebagai penonton.

3) Sinematografi filem ini memang cantik dan membantu menyerlahkan lagi rekaan set yang boleh dikatakan hebat dan menepati penceritaan filem.

4) Penamat filem yang sangat cantik dan membuatkan anda pasti tidak sabar-sabar untuk menantikan sambungan kisah filem ini yang seterusnya di dalam filem K.G.F: Chapter 2.


Jadi, kepada sesiapa yang berminat untuk menonton filem K.G.F: Chapter 1 ini, anda boleh menontonnya dan berkongsikan pandangan anda berkenaan filem ini di ruangan komen di bawah. Selamat menonton!

P/S : Minggu Depan Akan Cuba Mencari Masa Terluang Untuk Menonton Filem Petta Lakonan Superstar Rajinikanth. Nantikan!

Catat Ulasan

7 Ulasan

  1. OK for whoever wrote this review. This is not Tamil Movie, This is not Telugu Movie, This is not Malayalam Movie. This is Kannada Movie.

    BalasPadam
  2. Thanks so much for the review Hans. Baru la confident nak ke pawagam. Confirm akan ditonton dlm minggu ini, heheh

    BalasPadam
  3. Yeeesss... berjaya tonton last show mlm tadi. Benar sekali review Hans, sinematografi dan aksinya memang hebat dan cantek. Scene slow mo nya menggiurkan... ala2 film Zack Snyder. Hero nya pon dah mcm Aquaman pon ada, heheh. Overall, tak sabo nak tengok Chapter 2... Rock Rock Rocky!!

    BalasPadam
    Balasan
    1. haha...
      kena dengan tagline : Ulasan Filem Yang Boleh Dipercayai

      Padam
  4. Heheheh... yeah Hans, memang bold dan amat benar tagline tu. Saya perasan pd banner baru kat atas page ni. Kena maintain tu

    BalasPadam
    Balasan
    1. hahahaah
      yups
      harap disukai dan dipersetujui ramai

      Padam