Review Filem Viswasam


Filem:
Viswasam

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Siva

Genre:
Aksi

Pelakon:
Ajith Kumar, Nayanthara, Jagapati Babu, Robo Shankar,
Thambi Ramaiah, Yogi Babu, Ramesh Tilak, Kovai Sarala & Etc
.

Tarikh Tayangan:
10 Januari 2019

Pengedar:
DMY Creation Sdn Bhd

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan tentang penduduk di perkampungan Koduvilarpatti di daerah Theni. Thookudurai dan keluarganya menguruskan kilang beras di kampung itu, sementara Doktor Niranjana datang dari Mumbai untuk menguruskan kem perubatan untuk penduduk kampung. Pada mulanya Thookudurai dan Niranjana tidak bersependapat, namun mereka akhirnya jatuh cinta. Namun, disebabkan latar belakang Thookudurai yang selalu terlibat di dalam pergaduhan dengan samseng menyebabkan Niranjana meninggalkannya kerana risaukan keselamatan anak. Selepas 10 tahun, anak mereka berdua berada di dalam situasi bahaya kerana diburu oleh kumpulan samseng yang diupah untuk membunuh anak mereka. Apa sebenarnya yang berlaku? Saksikan filem aksi yang cukup menarik ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 10 Januari 2019 untuk mengetahui jawapannya

Ulasan:

Selepas filem Petta ditonton, aku mengambil keputusan untuk menonton filem Tamil yang seterusnya berjudul Viswasam bertempat di GSC IOI Mall Puchong pada 10 Januari 2019 yang lepas. Filem ini pada awalnya memaparkan percintaan antara dua darjat iaitu Niranjana yang merupakan seorang doktor yang berasal daripada keluarga berada di bandar serta Thookudurai yang merupakan pemilik kilang beras yang berasal dari sebuah kampung kecil yang terpencil. Namun, bagaimana plot cerita ini memaparkan percintaan antara Niranjana dan Thookudurai ini nampaknya tidak berfungsi dengan baik dan momentum ceritanya bergerak dengan agak perlahan dan sedikit membosankan. Nasib filem ini diselamatkan oleh beberapa babak humor serta babak aksi yang walaupun biasa-biasa sahaja tetapi berjaya menghilangkan rasa kebosanan dengan plot cerita yang mendatar. 


Namun, impak kisah ini mula kelihatan apabila tibanya kepada penceritaan selepas Thookudurai dan Niranjana berkahwin dimana terdapat sebuah permasalahan yang menyebabkan mereka berpisah dan Niranjana meninggalkan Thookudurai dengan membawa anak perempuannya yang masih kecil ikut bersama. Babak ini disokong dengan cantik oleh dialog hebat yang disampaikan oleh seorang wanita tua yang merupakan nenek kepada Thookudurai yang menyatakan dia mengenali kesenyuman yang dipaparkan di wajah itu bukannya kegembiraan. Penceritaan filem semakin menarik pada pertengahan cerita kerana ia memaparkan tentang hubungan seorang ayah dan anak dimana kekuatan emosi dan persembahan lakonan yang mantap telah berjaya diberikan oleh Swetha lakonan Anikha yang merupakan anak kepada Thookudurai. Aku menyukai satu babak sewaktu Swetha memberitahu tentang betapa benci dan marahnya dia kepada ayahnya tanpa menyedari bahawa Thookudurai ialah ayah kandungnya dan permainan emosi melalui reaksi wajah yang disampaikan oleh pelakon Ajith Kumar adalah sangat meyakinkan. Kemudian, filem ini ditambah dengan sebuah konflik apabila Swetha tiba-tiba diburu oleh sekumpulan samseng dan pada awalnya penonton disogokkan kejadian ini berlakukan disebabkan persaingan dan ugutan dalam dunia perniagaan korporat yang dihadapi oleh Niranjana. Namun, misteri plot yang diberikan yang dirungkaikan di dalam filem bagi aku menarik kerana ia memaparkan tentang watak ahli perniagaan yang pentingkan diri lakonan Jagapathu Babu yang cuba membalas dendam untuk anak perempuannya. Aku sangat sukakan isu ini kerana ia memaparkan konflik yang agak unik dan bertentangan buat dua orang bapa mengenai cara mereka menunjukkan kasih sayang kepada anak masing-masing.


Keserasian antara kedua-dua pelakon utamanya iaitu Thala Ajith dan Nayanthara dapat dilihat apabila berjaya memainkan elemen drama serta kekeluarga melalui lakonan mereka dengan cukup baik. Aku melihat karakter Niranjana yang dilakonkan Nayanthara mempunyai personaliti yang cukup menakjubkan dan keperibadian watak itu berjaya dijiwai dan dipersembahan dengan cukup baik melalui naik turun emosi yang menggembirakan dan menyakitkan pada waktu yang serentak. Walaupun karakter pelakon utama Thala Ajith bagi aku tidak lah memberikan sesuatu aura yang terlalu gah namun dia beruntung kerana selain Nayanthara, pelakon kanak-kanak iaitu Anikha juga berjaya membantu menjadikan watak Thookudurai yang dilakonnya berkembang dengan baik dan berjaya memberikan kesan emosi buat para penonton.


Filem Viswasam ini walau bagaimanapun mempunyai beberapa kelemahan tertentu terutama dari segi plot ceritanya dimana filem ini tidak bercita-cita untuk menyampaikan sebuah jalan cerita yang unik atau ekslusif buat penontonnya. Kisahnya boleh diramal dan sering kita lihat sebelum ini di dalam filem-filem yang lain. Walaupun pada asasnya, filem ini memaparkan kisah cinta yang penuh konflik dan disusuli dengan kejayaan pada penghujung kisah, namun ia kelihatan terlalu tidak realistik. Sebuah filem yang tidak mampu memberi kejutan sehingga kepada penamat cerita. Sedikit menyedihkan dan seolah-olah seperti membazirkan kekuatan yang telah pun diperoleh dan disampaikan dengan cukup baik melalui lakonan hebat pelakon-pelakon filem ini.


Jadi, disini aku senaraikan beberapa sebab kenapa anda wajib menonton filem Viswasam ini di pawagam berhampiran bermula pada 10 Januari 2019:

1) Filem yang penuh dengan elemen kekeluargaan dimana ia berjaya membawa beberapa mesej menarik tentang kepentingan pendidikan ibu bapa di dalam keluarga serta berjaya menelusuri jiwa seorang remaja yang inginkan keluarga yang bahagia.  

2) Filem ini turut menampilkan babak aksi yang cukup menarik dan padu yang membuatkan penonton yang meminati filem aksi pasti akan menyukainya. Disamping itu elemen komedi yang bijak digunakan tanpa keterlaluan juga menjadikan filem ini tidak membosankan.

3) Sinematografi filem ini memang cantik dan memukau seperti pemandangan awal filem ini yang memaparkan sawah padi yang seakan-akan seperti melihat pemandangan di negara sendiri. Selain itu, paparan di kawasan bandar yang memaparkan bangunan bersejarah juga seakan-akan menggamit penonton untuk pergi melancong ke kawasan tersebut kerana keindahan yang berjaya dipaparkan.


Jadi, kepada sesiapa yang berminat untuk menonton filem Viswasam ini, anda boleh menontonnya dan berkongsikan pandangan anda berkenaan filem ini di ruangan komen di bawah. Selamat menonton!

P/S : Tak Sabar Pula Nak Tonton Filem XXRAY 3 Sewaktu Tayangan Media Nanti!

Catat Ulasan

0 Ulasan