Review Filem Swing Kids


Filem:
Swing Kids

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Kang Hyung-Chul

Genre:
Drama & Muzikal

Pelakon:
Do Kyung-Soo, Park Hye-Soo, Oh Jung-Se, Jared Grimes & Etc.

Tarikh Tayangan:
10 Januari 2019

Pengedar:
GSC Movies

Sinopsis:
Filem ini berlatarkan di kem penjara Geoje ketika Perang Korea 1951, seorang askar muda Korea Utara, Ro Ki-soo, telah jatuh cinta dengan tarian tap selepas bertemu dengan Jackson, seorang pegawai dari Broadway. Dia kemudian menyertai kumpulan tarian yang ditubuhkan oleh Jakson. Ahli kumpulan itu terdiri daripada Kang Byung-sam yang menari dengan harapan dapat mencari isterinya, Xiao Fang seorang askar China yang dilahirkan dengan bakat dalam tarian tetapi tidak boleh menari lebih daripada seminit kerana Angina, dan Yang Pan-rae yang mennyara hidup menerusi tarian. Saksikan filem yang cukup menarik ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 10 Januari 2019 untuk mengetahui jawapannya

Ulasan:


Alhamdulillah aku sempat mencuri masa untuk menonton filem seterusnya untuk bulan Januari ini iaitu sebuah naskhahdari Korea Selatan berjudul Swing Kids bertempat di TGV Cinemas Sunway Pyramid pada 15 Januari 2019 yang lepas. Filem ini dimulakan dengan penceritaan info ringkas menggunakan visual lama serta animasi tentang sejarah peperangan antara Korea Selatan dan Korea Utara serta penglibatan kuasa-kuasa besar di sebalik letusan perang tersebut iaitu Amerika Syarikat dan China. Walaupun pengenalan ini agak lama tetapi memandangkan aku meminati sejarah maka ia ada sesuatu perkara yang menyeronokkan bagi. Tambahan pula penceritaandan visualnya berlaku dalam suasana yang pantas dan tidak terlalu perlahan.


Filem ini mengisahkan tentang lima watak yang berlainan latar belakang, matlamat dan ideologi pada awalnya. Roh Gi-Soo yang merupakan seorang lelaki Korea Utara yang memperjuangkan ideologi komunis. Jackson merupakan seorang askar Amerika berkulit hitam yang menghadapi suasana persekitaran yang rasis oleh tentera kulit putih terhadap bangsa kulit hitam. Yan Pan-Rae pula merupakan seorang gadis yatim piatu yang bijak mencari peluang pekerjaan untuk mendapatkan wang bagi menyara kehidupan. Kemudian, terdapat seorang lelaki yang merupakan rakyat China yang ini menjaga saiz badannya serta seorang lelaki yang terpisah dengan isteri akibat dimasukkan ke dalam penjara tanpa melakukan sebarang kesalahan disebabkan masalah teknikal. Kelima-lima watak ini mempunyai warna yang menarik dan mereka bertemu kerana satu perkara iaitu tarian tap.


Tarian tap telah dijadikan sebagai satu faktor untuk menghilangkan semua rasa sangsi, prejudis atau stereotaip terhadap bangsa, ideologi dan segala-galanya yang bersifat negatif di dalam filem ini. Menariknya apabila filem ini berjaya menunjukkan kehebatan dan mengangkat dua bangsa yang selalunya diperkotak-katikkan oleh pihak kulit putih iaitu Asia dan Afrika. Hebatnya tarian tap ini sehingga berjaya merapatkan kelima-lima orang watak ini walaupun kelima-limanya mempunyai sebab dan tujuan berlainan sewaktu menyertai kumpulan tarian tap yang mereka namakan sebagai Swing Kids.


Aku juga agak tertarik dengan babak-babak yang melibatkan wanita-wanita muda Korea yang digambarkan sebagai golongan yang terlalu ingin untuk menjadi bangsa Amerika. Tidak perlu untuk bercerita tentang kesusahan atau penderitaan sewaktu dijajah seperti mana yang sering di amalkan di dalam karya-karya tempatan kita. Cukup dengan hanya memaparkan perkara asas berkaitan pakaian, bahasa, pertukaran nama Korea kepada nama Amerika serta jati diri. Aku yang bukannya rakyat Korea pun rasa terkesan dengan babak-babak ini dan aku percaya pasti masyarakat Korea yang menyayanginegara mereka akan terjentik dan lebih bersikap patriotik terhadap negara mereka sendiri melalui babak-babak yang mempunyai subteks hebat sebegini.


Filem ini sebenarnya sangat menghiburkan disebabkan beberapa perkara. Pertama ialah dari segi lakonan dimana kesemua pelakonnya berjaya menjiwai dan memberi roh terhadap perkembangan watak mereka dengan sangat cantik. Seperti mana pelakon dan juga bintang Kpop iaitu Kyung-Soo Do yang memegang watak utama sebagai Roh G-Soo, aku melihat watak ini penuh dengan pelbagai emosi dan diperkuatkan lagi denagn stamina yang cukup tinggi serta mampu mempersembahkan tarian tap melalui gerak kaki yang sangat meyakinkan. Hye-Soo Park yang memegang watak sebagai Yan Pan-Rae juga berjaya mempersembahkan wataknya yang kelihatan naif tetapi bijak dengan menawarkan satu tarikan positif untuk penonton sentiasa setia menonton kelibatnya di layar. Ditambah pula dengan watak lelaki China yang gempal dan kelihatan lembut yang memaparkan wajah yang tiada ekspresi sememang telah berjaya mencetuskan keriuhan panggung dengan gelak tawa daripada penonton.



Perkara kedua yang membuatkan filem Swing Kids ini kelihatan unik dan menghiburkan ialah penggunaan pelbagai lagu latar untuk babak-babak yang melibatkan tarian tap. Walaupun aku tidak pernah mendengar hampir keseluruhan lagu latar yang digunakan di dalam filem ini, namun iramanya yang sedap dan rancak berjaya menyemarakkan emosi para penonton untuk turut sama menari dengan gerakan kaki atau goyangan badan tanpa sedar mengikut irama yang telah terhidang cantik di hadapan mata. Bagi aku pemilihan lagu-lagu latar di dalam filem ini adalah sangat cemerlang dan membantu menghilangkan sedikit kelemahan tentang plot penceritaan yang adakala terlalu terlompat atau terkejar-kejar pada pertengahan cerita.


Walaupun filem ini menarik untuk ditonton, namun terdapat beberapa elemen yang membuatkannya tidak sesuai untuk ditonton oleh kanak-kanak terutamanya dari segi penggunaan bahasa yang kesat serta aksi lucah yang dipertontonkan di dalam beberapa babak yang penting. Namun, babak akhir filem ini amat aku gemari kerana selain berjaya memecahkan tradisi lapuk filem-filem yang gemarkan dengan pengakhiran yang menggembirakan, ia juga berjaya memberi tamparan hebat buat kuasa-kuasa utama dunia melalui babak di bahagian akhir. Pengenalan kumpulan Swing Kids oleh watak Jackson dengan sebuah dialog yang cukup menarik dan tajam sangat menghiburkan kerana telah berjaya mempersetankan faham ideologi yang dipegang negara-negara kuasa besar dengan sebaris ayat,"Pergi Jahanam Ideologi!"


Jadi, disini aku senaraikan beberapa sebab kenapa anda wajib menonton filem Swing Kids ini di pawagam berhampiran bermula pada 10 Januari 2019:

1) Sebuah filem yang sebenarnya memaparkan subteks tentang nilai patriotik yang harus dipegang oleh rakyat Korea agar mereka bersatu dan tidak lagi terpedaya dengan permainan negara kuasa-kuasa besar. Aku melihat filem ini cukup berani menyentuh perkara tersebut secara terbuka tanpa perlu berkias-kias dan ini membuatkan filem ini unik dan sangat bermaruah daripada aspek tersebut.  

2) Lakonan para pelakonnya sangat mantap bukan sahaja dari segi fizikal tetapi juga dari segi penjiwaan. Babak-babak yang memaparkan tarian tap oleh kelima-lima ahli kumpulan Swing Kids ini sahaja sudah berjaya menyatakan mereka telah melakukan persiapan dengan cukup rapi untuk memastikan babak-babak tersebut kelihatan cukup mahal dan berjaya.

3) Pemilihan dan penggunaan lagu-lagu latar filem yang cukup menarik dan kena dengan situasi setiap babak yang dipaparkan. Ia menjadikan filem Swing Kids sebagai sebuah filem muzikal Korea yang boleh dianggap berjaya dan menghiburkan.

4) Filem ini sebenarnya merupakan sebuah filem yang bukannya tergolong di dalam filem berat yang memerlukan anda untuk terlalu berfikir. Namun, penggunaannya dialog ringan tetapi bijak membawakan subteks yang tersendiri membuatkan filem ini bukannya sebuah filem kosong tetapi jauh melangkaui pelbagai aspek, mesej dan emosi. Tidak rugi melaburkan wang untuk menonton filem menarik ini.


Jadi, cepat-cepat lah pergi menonton filem Swing Kids di pawagam berhampiran anda sebelum terlambat. Seperti biasa jangan lupa kongsikan pandangan anda berkenaan filem ini di ruangan komen di bawah. Semoga terhibur!

P/S : Filem Seterusnya Yang Akan Diulas Ialah Sebuah Lagi Filem Korea Berjudul Take Point! Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

4 Ulasan

  1. Balasan
    1. yes
      suka tengok tarian tap disokong dengan lagu latar yang sedap-sedap belaka

      Padam
  2. Saya tunggu juga review dari Hans utk film Take Point ni, ingatkan takde rupanya coming soon. Sudahnya saya memberanikan diri tonton minggu lepas, nasib baik la OK. Tak sabo nak baca pendapat Hans pula, heheh

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehehe
      Sudah tulis cuma secara peribadi saya kurang seronok sangat dengan hasil filem Take Point
      Menghiburkan untuk ditonton tetapi jalan cerita macam kurang sikit bagi saya

      Padam