Review Filem The Lego Movie 2: The Second Part


Filem:
The Lego Movie 2: The Second Part

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Mike Mitchell

Genre:
Aksi, Pengembaraan & Animasi

Pelakon:
Chris Pratt, Elizabeth Banks, Will Arnett, Tiffany Haddish, Stephanie Beatriz, Alison Brie & Etc.

Tarikh Tayangan:
7 Februari 2019

Pengedar:
Warner Bros. Pictures

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan lima tahun selepas kejadian Taco Tuesday, penceroboh Duplo telah menukar Bricksburg menjadi tanah tandus tetapi Emmet masih lagi berpura-pura yang semuanya masih hebat. Bagaimanapun, apabila rakannya, termasuk Wyldstyle, diculik oleh penceroboh baru yang dipanggil Sweet Mayhem, Emmet kini dalam misi ke angkasa lepas untuk menyelamatkan mereka. Saksikan filem animasi yang sangat menghiburkan ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 7 Februari 2019 untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula mendapat jemputan istimewa daripada pihak 20th Century Fox untuk menghadiri tayangan istimewa filem The Lego Movie 2: The Second Part bertempat di TGV Cinemas One Utama pada 30 Januari 2019 yang lepas. Terima kasih tidak terhingga kami ucapkan buat Puan Wati Jamil atas jemputan kerana ternyata filem animasi ini bukan sahaja sangat menghiburkan tetapi masa yang dihabiskan untuk menonton filem yang berdurasi selama 1 jam 47 minit ini dirasakan sangat berbaloi.


Permulaan filem ini menceritakan tentang keindahan dan kebahagiaan dunia Lego sebelum penceroboh yang bernama DUPLO yang datang daripada Sistem Sistar telah memusnahkannya dan mengubah dunia Lego yang berwarna-warni kepada dunia yang gersang dan suram yang diberi nama Apocalypseberg. Konflik mula tercetus apabila ketibaan General Mayhem yang datang ke sana untuk mencari lima pahlawan terhebat untuk dipersembahkan kepada Ratu Watevra Wa'Nabi dan disinilah Emmet terpaksa menyelamatkan wanita yang disukainya iaitu Lucy serta rakan-rakan yang lain seperti Wyldstyle, Batman dan UnikittyKebanyakkan pengkritik menyatakan filem The Lego Movie 2: The Second Part ini tidak dapat menandingi kehebatan dan kejujuran seperti mana filem pertamanya iaitu The Lego Movie. Memandangkan aku tidak pernah menonton yang pertama jadi aku tidak dapat membanding-bandingkan antara kedua-dua naskhah ini. Tetapi, secara jujurnya aku sangat terhibur dengan filem ini.


Filem The Lego Movie 2: The Second Part ini adalah lambang kepada kebimbangan serta kerisauan dua kanak-kanak yang mempunyai citarasa permainan yang berbeza dan imaginasi mereka inilah yang menggerakkan watak-watak lego di dalam filem ini. Filem ini menyampaikan imaginasi seorang remaja lelaki bernama Finn yang menggunakan Lego untuk mengganggu dan menggagalkan minat adik perempuannya bernama Bianca yang ingin bermain permainannya bersama-sama dengannya. Jadi, Finn mengambil keputusan untuk cuba memusnahkan dengan memecahkan Lego yang dihasilkan oleh adiknya. Daripada sinilah filem ini membawa imaginasi Finn ini di dalam bentuk dunia fantasi Lego dan setiap watak-watak utama penghuni dunia Lego ini seperti Emmet, Lucy, Batman, Rex Dangervest dan Ratu Watevra Wa'Nabi ini mewakili imaginasi yang terhasil daripada sikap, emosi serta pertembungan minat kedua-dua adik beradik ini. Jelas ia memaparkan sebuah idea yang menarik melalui penceritaannya yang melucukan. Tetapi, ia kelihatan tidak konsisten kerana aku melihat kelemahan filem ini di dalam menghubungkan karakter-karakter Lego ini di dalam perhubungan dua orang adik beradik Finn dan Bianca. Apabila babak bertukar kepada dunia nyata dan ia dirasakan tidak berkesan seperti mana yang aku tonton dan rasaikan di dalam dunia Lego sejak awal sehingga ke akhir penceritaan.


Plot cerita filem ini sebenarnya tidaklah berat. Hasil rekaan dan grafik animasi di dalam filem ini juga sangat cantik dan menakjubkan. Anda pasti terhibur dengan jenaka-jenaka yang datang daripada watak-watak utamanya serta watak sampingan yang lain. Namun, ada beberapa mesej menarik yang menyegarkan dan membina jati diri kanak-kanak mahu pun si dewasa melalui kemunculan watak Rex yang sebenarnya merupakan diri Emmet yang datang pada masa depan. Jika watak Emmet dilihat penuh dengan kelembutan namun watak Rex pula penuh dengan sikap kasar yang tidak berkesudahan. Penceritaan tentang watak Rex ini juga menarik dan menyedarkan kita bahawa watak-watak seperti Emmet ini juga boleh berubah menjadi negatif jika dikelilingi dengan persekitaran negatif dan dikuasai oleh sifat dendam yang tidak berkesudahan. Dibantu pula oleh nilai-nilai murni yang wujud di dalam diri Emmet dan Lucy menjadikan filem The Lego Movie 2: The Second Part ini sangat bersesuaian dengan kanak-kanak mahu pun dewasa.


Jika kanak-kanak akan menyukai dunia animasi Lego ini yang penuh dengan imaginasi dan warna yang memukau, para penonton dewasa pula pasti akan jatuh cinta dengan dialog-dialog berunsur parodi dan 'roast' yang wujud di dalam karakter watak-watak Lego terutamanya watak Batman. Ini yang membuatkan filem ini cukup menghiburkan bagi sesiapa yang menyukai elemen-elemen sebegini. Menyentuh tentang susunan lagu di dalam filem The Lego Movie 2: The Second Part ini pula, aku secara peribadi agak menyukai lagu This Song's Gonna Get Stuck Inside Your Head kerana muziknya yang 'catchy' walaupun lirik lagunya berulang. 


Walaupun filem The Lego Movie 2: The Second Part ini dikatakan tidak sehebat filemnya yang pertama namun aku percaya ia masih menghiburkan dan hebat sebagai sebuah sekuel kepada filem yang sudah diketahui hebat dan dipuji ramai sebelum ini. Lebih menarik ialah apabila filem ini berakhir dengan babak nyanyian nama-nama pihak di belakang tabir melalui kredit akhir yang cukup menghiburkan dan seolah-olah lebih menarik daripada isi naskhah itu sendiri. Jadi, jangan keluar daripada panggung sebaliknya anda perlu tonton sehingga kepada penamat kredit akhir filem ini. 


Jadi, selamat menonton filem The Lego Movie 2: The Second Part yang pasti akan membuatkan anda ketawa geli hati dan terhibur dengan kerenah dan karakter watak-watak di dalam filem ini. Jangan lupa kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Akan Diulas Ialah Sebuah Filem Yang Dinanti-Nantikan Oleh Ramai Peminat Karya James Cameron Iaitu Filem Alita: Battle Angle. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan