Review Filem Bella & Jamie


Filem:
Bella & Jamie

Penilaian:
5/10

Pengarah:
Fairul Nizam Ablah & Ghaz Abu Bakar

Genre:
Drama & Komedi

Pelakon:
Liyana Jasmay, Juliana Evans, Izzue Islam, Khir Rahman, Sharifah Nadia, Dynas Mokhtar & Bell Ngasri.

Tarikh Tayangan:
31 Januari 2019

Pengedar:
United Studios Sdn Bhd

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan tentang dua sahabat baik iaitu Bella dan Jamie yang berpisah selama 2 tahun kerana Jamie menyambung pelajarannya di luar negara. Apabila Jamie pulang ke Malaysia, dia telah dikejutkan dengan satu berita menggembirakan apabila ayahnya, Badrul akan berkahwin dengan Maryam yang merupakan ibu kepada sahabat baiknya iaitu Bella. Berita ini merupakan satu mimpi indah buat kedua-dua mereka yang sememangnya rapat. Namun kegembiraan tersebut tidak berpanjangan apabila rahsia yang disembunyikan oleh Bella daripada pengetahuan Jamie terbongkar. Jamie mendapat tahu Bella kini mempunyai hubungan dengan Reza yang merupakan bekas kekasihnya sebelum dia menyambung pelajaran ke luar negara. Terasa ditipu dan dikhianati, Jamie memutuskan hubungan persahabatannya dengan Bella dan turut merancang untuk memutuskan dan menggagalkan hubungan bapanya, Badrul dengan Maryam yang merupakan ibu kepada Bella. Tetapi, untuk menjayakan rancangan ini, Jamie perlu bekerjasama dengan Bella dan Reza buat kali terakhir. Adakah mereka bertiga berjaya memisahkan Badrul dan Maryam? Bagaimana pula hubungan persahabatan antara Bella dan Jamie selepas kejadian tersebut? Jangan lupa saksikan filem ini di pawagam seluruh Malaysia pada 31 Januari 2019 ini untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan untuk menghadiri majlis Pra-Tonton Khas Media Filem Bella & Jamie yang telah berlangsung di GSC Pavilion pada 28 Januari 2019 yang lepas. Filem ini pernah diwar-warkan di dada-dada media cetak sekitar tahun 2015 yang lepas dan akhirnya filem ini berjaya direalisasikan dan bakal penemui para penonton pada 31 Januari 2019 ini.


Bella & Jamie merupakan sebuah filem feminin berkisarkan dunia remaja dua anak gadis yang bersahabat baik. Pihak produksi menyasarkan golongan remaja dan dewasa berumur di bawah 27 tahun sebagai penonton utama yang akan datang menonton dan memberikan sokongan kepada filem Bella & Jamie ini. Memandangkan aku tergolong di dalam kategori remaja purba yang masih wujud di Malaysia ini menyebabkan pada awalnya aku agak skeptikal dan tertanya-tanya adakah filem ini masih mampu memberikan satu daya tarikan supaya aku tetap setia menonton filem ini sehingga kepada babak penamat? Kerisauan aku ini sangat wajar kerana pertama ialah filem ini ialah filem tentang wanita seperti mana filem Gol & Gincu. Kedua ialah kerana filem ini sudah memulakan penggambaran sejak tahun 2015 dan jarak yang agak lama berkemungkinan mampu membuatkan jalan cerita filem ini tidak relevan di tahun 2019. Namun, filem ini memberikan dua kejutan buat aku sepanjang tontonan. Aku bukan sekadar terkejut dengan hasil naskhah filem ini yang agak menghiburkan tetapi pada masa yang sama aku dapat menerima dan menikmati karya ini dengan sebaik mungkin.

Aku sentuh dahulu tentang perkara positif berkaitan filem Bella & Jamie ini. Aku melihat kekuatan utama filem ini sebenarnya datang daripada para pelakon utama serta pembantu yang berjumlah tujuh orang kesemuanya. Aku akui pemilihan pelakon untuk setiap watak dilihat sangat bersesuaian dengan karakter watak yang tanggungjawabnya perlu digalas masing-masing sebaik mungkin. Walaupun terdapat juga beberapa adegan yang kurang mendapat sentuhan sepatutnya daripada segelintir pelakon filem ini namun aku melihat setiap watak berjaya dipersembahkan dengan baik sehingga kelihatan dapat berdiri sendiri tetapi masih kelihatan saling membantu untuk menampakkan pembinaan karakter berjalan lancar daripada permulan filem sehingga kepada penamat.


Watak utama Jamie berjaya diberikan sentuhan serta diisi roh remaja dengan cukup baik oleh Liyana Jasmay. Struktur serta frasa ayat yang diungkapkan watak Jamie ini yang bersifat hirisan, pedas dan panas tetapi bijak disampaikan secara bersahaja sangat membantu memberikan kekuatan kepada plot cerita ini untuk berkembang daripada satu kisah kepada kisah seterusnya dengan baik. Aku melihat kekuatan ini sedikit sebanyak telah menenggelamkan watak Bella yang dilakonkan oleh Che Puan Juliana Evans yang turut dilihat sedikit lemah daripada segi penjiwaan rasa dan emosi. Manakala Izzue Islam yang melakukan watak Reza pula dilihat mempunyai daya tarikan tersendiri melalui karakter watak Reza itu yang kelihatan sentiasa berubah-ubah. Apabila ketiga-tiga watak ini digabungkan bersama-sama di dalam beberapa babak dan aku melihat ia merupakan antara hasil formula gabungan yang menarik dan menjadi. 


Tetapi, aku secara peribadi lebih tertarik dengan lakonan Khir Rahman yang memainkan peranan sebagai Badrul dan Maryam. Percintaan manusia dewasa ini lebih menarik perhatian dan dekat dengan golongan-golongan remaja purba seperti aku. Jujurnya, aku sangat suka dengan keputusan Liyana Jasmay memberi peluang kepada Khir Rahman untuk muncul di dalam filem Bella & Jamie ini kerana ia adalah satu tindakan yang bijak. Khir Rahman mungkin tidak menonjol daripada segi rupa paras kerana ia mudah dilihat melalui filem ini yang begitu suka memberikan fokus lensa kamera kepada lubang-lubang di wajah Khir Rahman. Namun, kehebatan Khir Rahman di dalam menyampaikan emosinya melalui lontaran suara yang berintonasi menarik serta permainan wajahnya yang kena dengan setiap situasi babak yang dipaparkan betul-betul membantu memberi kekuatan kepada momentum positif perjalanan filem ini. 


Satu lagi watak yang berjaya memberi warna-warni kepada filem Bella & Jamie ini ialah watak Jay yang dilakonkan oleh pelakon berbakat Bell Ngasri. Pujian wajar diberikan kepada beliau kerana berjaya menambah perisa humor seterusnya memberikan sedikit keseimbangan terhadap unsur feminin yang terlalu tinggi di dalam filem ini. Setiap babak yang melibatkan Jay pasti akan mencetuskan hilai tawa penonton dengan dialog serta mimik muka selamba seperti mana yang anda semua boleh lihat di dalam video-video parodi lakonan Bell Ngasri.

Secara dasarkan, filem ini menampilkan jalan cerita filem yang sangat ringkas dan santai yang aku boleh kateorikan sebagai sebuah filem popcorn yang menghiburkan untuk ditonton. Walaupun filem Bella & Jamie ini cuba membawakan mesej-mesej berkaitan persahabatan dan keluargaan melalui penggunaan elemen drama yang disadurkan dengan limpahan humor yang berskala sederhana namun ia masih belum cukup untuk membuatkan filem ini kelihatan unik dan lain daripada filem yang sealiran dengannya. Aku tidak mengatakan filem ini bosan kerana pada aku filem ini sebenarnya sangat menghiburkan dan ia dibuktikan dengan hilai tawa penonton di dalam panggung yang terhibur dengan jalan cerita filem ini. Cuma aku melihat dari sudut kelainan yang lain dan mendapati filem ini tidak menjanjikan mahu pun memberikan sebarang keunikan tersendiri yang mampu membuatkan aku teruja kerana segala-galanya sudah boleh dijangka dan diramal dengan mudah.


Penggunaan animasi 2D berwajah Liyana Jasmay pula bagi aku ada kelebihan dan kekurangannya. Dari satu sudut, ia kelihatan begitu catchy dan membantu penonton merasai dan menikmati warna-warni babak-babak yang menggunakan animasi tersebut. Tetapi, penggunaan yang berlebihan adakala membunuh sesetengah adegan yang aku rasakan adalah lebih baik jika tidak menggunakan animasi 2D tersebut. Walau bagaimanapun, aku akui penggunaan animasi 2D di dalam filem ini menjadikan filem ini lebih menarik dan komikal.

Tetapi, salah satu faktor yang sangat mengganggu tontonan aku ialah tentang kualiti bunyi audio filem ini. Kualiti audio suara di dalam beberapa babak kedengaran sangat bingit sehingga tidak jelas pengucapan suara watak-watak yang sedang bercakap. Aku melihat permasalahan ini sering kali terjadi di dalam filem-filem keluaran produksi Malaysia yang berkos rendah dan sebenarnya hal ini bukan sekadar mengganggu tontonan tetapi memberi sedikit kecacatan kepada filem ini.


Menyentuh tentang jalan cerita, ada satu babak yang sangat mengelirukan aku iaitu satu babak yang memaparkan Reza sedang bermesra dengan seorang wanita yang merupakan isteri Izzue Islam di dunia nyata iaitu Awin. Aku pada mulanya berpendapat itu sekadar cameo watak Izzue Islam di dalam filem ini untuk menghiburkan penonton kerana Izzue Islam sudah ada wataknya sendiri iaitu Reza. Tetapi, selepas dipaparkan tentang perpisahan Reza dengan salah satu watak utama filem ini menyebabkan aku bertambah keliru sehingga akhirnya aku mengandaikan watak yang aku sangkakan cameo Izzue Islam itu sebenarnya ialah watak Reza yang bermain kayu tiga. Adakah aku terlepas pandang dan kurang jelas tentang babak tersebut. Aku pun tidak pasti! Hahaha! Seperti biasa kesudahan filem ini pasti menghiburkan ramai pihak dengan menggunakan formula selamat dan disukai penonton tetapi aku merasakan ia terlalu klise dan ditenggelami oleh babak-babak awal dan pertengahan filem ini.


Satu lagi perkara yang aku lihat sangat jelas di dalam filem Bella & Jamie ini ialah tentang 'eksploitasi' susuk tubuh pelakon wanitanya melalui watak Bella serta Mastura yang masing-masing dilakonkan oleh Juliana Evans serta Dynas Moktar. Filem ini cuba menampilkan susuk-susuk yang menikmati gaya hidup urban remaja masa kini dan untuk sebuah filem tempatan, aku berani untuk nyatakan pemilihan busana atau pakaian yang dikenakan oleh kedua-dua pelakon adalah terlalu berani. Ia bakal memberi kelebihan kepada filem ini tetapi turut sama bakal mengundang kontroversi kepada sesiapa yang lebih mementingkan kesederhanaan di dalam berfesyen.

Secara luarannya, filem ini sememangnya bertepatan dengan jiwa remaja. Unsur-unsur nasihat yang diterapkan di dalam persahabatan watak Bella dan Jamie ini berjaya divisualkan dengan baik melalui bantuan dialog-dialog yang menarik sewaktu Bella dan Jamie masih rapat dan juga sewaktu bermusuh. Mesej kekeluargaan juga turut berjaya diadun dengan cantik melalui perkongsian ilmu kekeluargaan ibu bapa yang dilihat berjaya memberi satu sindiran menarik tentang sikap ibu bapa itu sendiri di dalam mendidik anak masing-masing. Ditambah dengan elemen komedi menjadikan filem ini sebagai sebuah filem ringan yang menghiburkan dengan mesej-mesej positif yang disampaikan dengan skala sederhana.

Walaupun ada beberapa masalah atau faktor negatif yang aku lihat wujud di dalam filem ini seperti yang aku kongsikan pada perenggan-perenggan di atas namun aku menyedari kekuatan frasa ayat yang digunakan di dalam dialog setiap wataknya yang membuatkan filem ini berjaya menghiburkan aku sepanjang tontonan. Jadi, kepada semua kaki wayang sekalian! Silalah beramai-ramai menyerbu panggung wayang sekitar anda untuk menonton filem Bella & Jamie ini pada 31 Januari 2019 untuk memberi sokongan kepada Liyana Jasmay yang menyasarkan kutipan RM1 juta untuk filem ini. Jangan lupa kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen serta pandangan berkenaan filem Bella & Jamie ini di ruangan komen seperti yang tertera dibawah. Semoga terhibur menonton filem ini nanti!

P/S : Minggu Ini Portal Filem Rollo De Pelicula Menerima Tiga Jemputan Untuk Menonton Filem Namun Hanya Filem The Lego Movie 2 Serta Alita Battle Angle Sahaja Yang Dapat Ditonton Pada Minggu Ini Atas Kekangan Waktu. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

6 Ulasan

  1. Ape lagi satu jemputan tu.. Macam rugi je.. Eh, baru perasan.. Hans selalu tengok wayang kat tempat berlainan.. Memang sengaja nak rasa kelainan ke..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Filem Cina tetapi waktu malam tu bekerja
      Jadi terlepas lah peluang nak tonton

      Padam
  2. akak ni jarang layan filem, kadang baru tahu ada filem ni bila baca kt blog hans nih...

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehehe
      selalu lah usha blog dan facebook page saya
      senang tahu pasal filem-filem baru

      Padam
  3. Memang menarik juga jalan penceritaannya. Sayang tak dapat ikut serta hari tuh sebab kekangan masa.. Hee..

    BalasPadam