Tayangan Khas Media Filem Bella & Jamie

Portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan untuk menghadiri majlis Pra-Tonton Khas Media Filem Bella & Jamie yang telah berlangsung dengan kehadiran ramai media di GSC Pavilion pada 28 Januari 2019 yang lepas. 

Filem ini mengisahkan tentang dua sahabat baik iaitu Bella dan Jamie yang berpisah selama 2 tahun kerana Jamie menyambung pelajarannya di luar negara. Apabila Jamie pulang ke Malaysia, dia telah dikejutkan dengan satu berita menggembirakan apabila ayahnya, Badrul akan berkahwin dengan Maryam yang merupakan ibu kepada sahabat baiknya iaitu Bella. Berita ini merupakan satu mimpi indah buat kedua-dua mereka yang sememangnya rapat. Namun kegembiraan tersebut tidak berpanjangan apabila rahsia yang disembunyikan oleh Bella daripada pengetahuan Jamie terbongkar. Jamie mendapat tahu Bella kini mempunyai hubungan dengan Reza yang merupakan bekas kekasihnya sebelum dia menyambung pelajaran ke luar negara. Terasa ditipu dan dikhianati, Jamie memutuskan hubungan persahabatannya dengan Bella dan turut merancang untuk memutuskan dan menggagalkan hubungan bapanya, Badrul dengan Maryam yang merupakan ibu kepada Bella. Tetapi, untuk menjayakan rancangan ini, Jamie perlu bekerjasama dengan Bella dan Reza buat kali terakhir. Adakah mereka bertiga berjaya memisahkan Badrul dan Maryam? Bagaimana pula hubungan persahabatan antara Bella dan Jamie selepas kejadian tersebut? Jangan lupa saksikan filem ini di pawagam seluruh Malaysia pada 31 Januari 2019 ini untuk mengetahui jawapannya.


Tanpa disangka Rollo De Pelicula menjadi pihak media yang pertama sekali tiba dan mendaftar di kaunter. Nampak tak betapa bersemangatnya pihak kami untuk menonton filem Bella & Jamie ini. Jadi, pasti ramai yang mungkin tidak mengetahui tentang kewujudan filem ini. Jadi, dibawah ini kami kongsikan beberapa info menarik berkaitan dengan filem Bella & Jamie:

1) Filem Bella & Jamie merupakan filem pertama terbitan Mermaid Studios Sdn Bhd yang merupakan sebuah syarikat produksi milik Liyana Jasmay dan kakaknya, Adriana Jasmay.

2) Kos pembikinan filem Bella & Jamie adalah sekitar RM600,000 Ringgit Malaysia.

3) Filem Bella & Jamie mengambil masa selama tiga tahun untuk disiapkan dan penggambaran telah bermula sejak bulan April 2015 dan selesai sepenuhnya pada bulan Jun 2018.

4) Filem ini turut menggunakan animasi 2D di dalam penceritaannya supaya kelihatan lebih catchy dan berwarna-warni untuk menarik minat penonton remaja.

5) Filem Bella & Jamie menyasarkan kelompok penonton yang terdiri daripada remaja berumur 13 hingga 24 tahun untuk menonton filem ini di pawagam.


Berdasarkan maklumat yang diperoleh, pihak portal filem Rollo De Pelicula juga turut berminat untuk berkongsi beberapa trivia menarik untuk anda semua berkenaan filem Bella & Jamie ini:

1) Liyana Jasmay dan Juliana Evans pertama kali digandingkan bersama dalam filem dan siri KAMI pada sepuluh tahun yang lepas. Sejak itu mereka benar-benar menjadi sahabat baik di luar penggambaran.

2) Izzue Islam dipilih untuk memegang watak Reza kerana Liyana Jasmay percaya dengan kebolehan Izzue yang mampu memegang apa-apa sahaja watak sehinggakan digelar sebagai pelakon chameleon.

3) Juliana Evans pula sentiasa menjadi pilihan Liyana Jasmay untuk terlibat di dalam projek terbitan produksinya kerana bakatnya yang besar.

4) Kemunculan Khir Rahman yang memegang watak sebagai bapa di dalam filem Bella & Jamie ini merupakan satu penghargaan besar buat Liyana Jasmay yang menganggap Khir seperti mentornya.

5) Liyana Jasmay menerbitkan filem Bella & Jamie kerana dia beranggapan tidak ada filem di Malaysia yang mewakili suara dan jiwa para remaja. Inilah juga yang merupakan penyebab filem ini diterbitkan yang turut membawakan mesej tentang rakan baik, keluarga dan persahabatan.


Filem
Bella & Jamie 

Tarikh Tayangan:
31 Januari 2019

Penerbit
 Adriana Jasmay 

Pengarah
Fairul Nizam Ablah & Ghaz Abu Bakar 

Penulis
Fairul Nizam Ablah 

Idea Asal
 Liyana Jasmay & Fairul Nizam Ablah 

Terbitan
Mermaid Studios Sdn Bhd 

Pengedar
 United Studios 

Barisan Pelakon 
Liyana Jasmay 
Che Puan Juliana Evans 
Izzue Islam 
Khir Rahman 
Sharifah Nadia 
Dynas Mokhtar 
Bell Ngasri 

P/S : Ulasan Filem Bella & Jamie Akan Menemui Para Pembaca Dalam Waktu Terdekat! Nantikan Ulasannya! 

Catat Ulasan

0 Ulasan