29/01/19

Review Filem Manikarnika: The Queen Of Jhansi


Filem:
Manikarnika: The Queen Of Jhansi

Penilaian:
8/10

Pengarah:
Radha Krishna Jagarlamudi

Genre:
Aksi, Biografi & Drama

Pelakon:
Kangana Ranaut, Atul Kulkarni, Jisshu Sengupta, Suresh Oberoi,
Ankita Lokhande, Danny Denzongpa, Edward Sonnenblick, Prajakta Mali & Etc.

Tarikh Tayangan:
25 Januari 2019

Pengedar:
MSK Film Production Sdn Bhd

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan tentang Ratu Jhansi di India Utara iaitu Rani Lakshmibai yang enggan menyerahkan Jhansi kepada British dan memulakan perang pertama untuk mencapai kemerdekaan dengan menentang Syarikat Hindia Timur Inggeris. Dia akhirnya menjadi wanita pertama dalam sejarah memulakan perang terhadap British dalam perang Pemberontakan India 1857. Saksikan filem yang penuh dengan nilai feminis dan patriotik ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 25 Januari 2019 untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton filem Manikarnika: The Queen Of Jhansi di TGV Cinemas Jaya Centre pada hari pertama tayangannya di pawagam seluruh Malaysia pada 25 Januari 2019 yang lepas. Filem ini memberi fokus terhadap tiga perkara iaitu kehebatan, kekuatan serta kepintaran seorang wanita yang diterjemahkan kepada tiga pembangunan watak yang sangat penting iaitu sebagai seorang pemerintah, seorang ibu dan ketua pemimpin tentera untuk sebuah negara yang paling kaya sumbernya di India pada era lampau. Filem yang kisahnya ditulis oleh penulis yang turut sama-sama terlibat di dalam penghasilan filem hebat epik fantasi Baahubali semestinya telah menjanjikan suatu harapan yang tinggi buat para peminat filem Bollywood untuk sekali lagi dapat menonton dan menikmati karya agung yang cukup epik dan hebat seperti karya tersebut. Terbukti filem aksi biografi ini bukan sekadar berjaya menawarkan penceritaan yang kaya dengan nilai patriotisme tetapi turut berjaya memberikan pengalaman visual yang lebih realistik kepada penonton.


Filem Manikarnika: The Queen Of Jhansi sememangnya secara terang-terangan  bercerita tentang kemegahan wanita melalui nilai feminism yang diserap masuk ke dalam plot cerita dengan kadar yang sangat tinggi. Secara tidak langsung, golongan lelaki di dalam filem ini telah berjaya dibentuk di dalam sebuah acuan boneka yang melenyapkan peranan mereka sebagai pembuat keputusan yang dominan. Namun, menariknya filem ini ialah bagaimana ia mengangkat kehebatan kaum wanita melalui watak Manikarnika dengan mempersoalkan tahap patriarki sebuah sistem sosial yang dimonopoli kaum Adam adalah sangat bijak, teratur dan tidak terlalu berlebihan tetapi untuk untuk menjadikan watak Manikarnika ini bukan sahaja mengagumkan tetapi turut menerima penghormatan yang tinggi daripada kaum lelaki yang menonton.



Filem Manikarnika: The Queen Of Jhansi dimulakan dengan pengenalan karakter Manikarnika yang mempunyai sifat keberanian yang tinggi dan kemahiran bermain dan menggunakan senjata dengan cukup hebat dan pantas melalui adegannya memanah singa serta pertempurannya dengan tiga orang lelaki di istana. Manikarnika digambarkan membesar dengan penuh kasih sayang, diberi didikan yang sangat tinggi melalui gambaran buku-buku yang disebutkan watak ini serta turut diberi kebebasan sama seperti lelaki dimana Manikarnika tidak termaktub di dalam batas-batas sekatan seperti mana yang dilalui oleh gadis-gadis di wilayah India yang lain pada era tersebut. Ini menyebabkan bagaimana cara pemikiran serta pandangan Manikarnika terhadap sesuatu perkara adalah lebih terbuka, matang dan menyeluruh. Satu perkara yang berjaya menarik perhatian aku tentang filem ini ialah walaupun penceritaannya mengangkat maruah, kehebatan dan kebanggaan kaum wanita kepada satu tahap lain yang sangat tinggi melalui nilai feminin yang dimasukkan di dalam watak utama serta watak-watak pembantu wanita yang lain namun setiap babak yang melibatkan Manikarnika ini sanagt mengagumkan aku kerana ia dibentuk untuk sentiasa sedar tentnag batas-batas serta penghormatannya kepada watak si suami, bapa dan watak-watak lelaki yang lain. Ini yang menjadikan watak Manikarnika ini bukan sebarang watak tetapi satu watak yang penuh dengan penerimaan nilai penghormatan daripada kaum lelaki.



Elemen pertentangan wanita moden yang menerima pendidikan dengan wanita tradisional yang terperangkap di dalam struktur budaya dan kepercayaan lama turut memberikan satu definisi penceritaan yang menarik kepada filem Manikarnika: The Queen Of Jhansi ini. Ia dapat dilihat kepada babak yang memaparkan pertembungan fahaman yang berbeza antara Manikarnika dan ibu maharaja melalui beberapa babak menarik yang bermula dengan babak pengenalan awal Manikarnika menunggang kuda liar istana dan kemuncaknya apabila Manikarnika menolak keras amalan mandi dan mencukur rambut selepas kematian suaminya. Babak tersebut sangat kuat sehingga memacu watak Manikarnika ini untuk ke peringkat seterusnya.



Selain itu, simbol patriotisme yang digunakan oleh filem Manikarnika: The Queen Of Jhansi ini juga sangat mudah tetapi memberi kesan yang cukup mendalam. Jika filem-filem tempatan kita lebih kepada memaparkan kekejaman Jepun untuk menaikkan semangat patriotik di kalangan masyarakat namun filem ini sangat bijak memanfaatkan budaya menunduk kepala sebagai simbol hormat atau patuh untuk memberi kekuatan kepada jalan ceritanya untuk menjelaskan tentang isu maruah sesebuah negara boleh terjerumus ke lembah paling hina hanya dengan satu tindakan mudah. Apabila Manikarnika mula menyedari bahawa suaminya selaku pemerintah utama Jhansi tetapi langsung tidak mempunyai kuasa mutlak kepada negara serta rakyatnya dan kelihatan lebih sebagai pak turut dan boneka kepada pihak penjajah menyebabkan ia bertindak berani untuk menyuarakan pendapatnya. Dan bagaimana cara ia dipertontonkan kepada khalayak amat mudah iaitu dengan sokongan kuat emosi dalaman serta renungan mata tanpa tundukan kepala sahaja yang berjaya menunjukkan betapa hebatnya maruah watak ini untuk tidak tunduk kepada bangsa penjajah. Simbol berkaitan menunduk kepala ini sekali lagi dipaparkan pada babak terhadapan saat Manikarnika dihalau keluar daripada istananya sendiri oleh Kapten Gordon dan ia sekali lagi berakhir dengan satu perasaan yang cukup mengagumkan terhadap watak wanita besi ini.



Sikap cintakan negara yang cukup hebat ini turut dapat dilihat pada babak dimana Manikarnika menunggang kuda berjumpa dengan tentera bawahan Syarikat Inggeris. Babak ini bagi aku sangat mempesonakan kerana ia telah memperjelaskan dengan baik dua perkara kepada penonton. Perkara pertama ialah watak Manikarnika ini telah berjaya memalukan pihak penjajah dengan menyedarkan ruang serta status sebenar mereka di wilayah kerajaan Jhansi. Perkara kedua yang turut mengagumkan ialah Manikarnika memberi penekanan yang ringkas tetapi padat tentang kepentingan dan keutamaan untuk mempunyai rasa bangga terhadap bahasa kebangsaan sehinggakan babak ini berjaya mencarik-carikkan keegoan dan kebanggan bangsa Inggeris terhadap penggunaan bahasa yang sering diagung-agungkan sehingga kini.



Nilai patriotisme serta elemen feminin ini turut digabungkan dan seterusnya berjaya diterjemahkan di dalam penceritaan filem ini. Antara yang menarik perhatian aku ialah tentang satu situasi dimana Manikarnika bertindak sebagai seorang ibu yang mengalami masalah kemurungan atau meroyan selepas kematian anak sulungnya akibat diracun oleh pekerja istana yang diupah oleh orang dalam sendiri. Kisah sejarah di dalam filem ini dapat dilihat menyamai mana-mana empayar kerajaan lain di dunia pada zaman tersebut dimana punca kekalahan mereka kepada pihak penjajah bukan kerana kelemahan atau kebodohan mereka tetapi disebabkan pengkhianatan yang berlaku di kalangan masyarakat mereka sendiri terutama yang terlalu dahagakan kekayaan dan kuasa. Ini dapat dilihat dengan sangat jelas di dalam filem ini dimana ia bukan sekadar memaparkan babak pekerja istana yang diupah untuk membunuh serta penglibatan adik kandung maharaja yang tamakkan gelaran sebagai pemerintah Jhansi tetapi turut menyindir negara-negara bersebelahan wilayah Jhansi yang sanggup diperkudakan oleh pihak penjajah demi kuasa dan pangkat tanpa memikirkan tentang nasib rakyat yang teraniaya.


Elemen feminisme kelihatan semakin terserlah apabila Manikarnika terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai pemangku mahajara termuda selepas kematian suaminya dan menghadapi detik-detik sukar di dalam mempertahankan takhta serta kedaulatan wilayah Jhansi daripada cengkaman Syarikat Inggeris. Hal ini menyebabkan Manikarnika telah memberontak terhadap Syarikat Inggeris tersebut dan bertindak melatih dan memperkasakan kaum wanita menjadi tentera untuk bersama-sama berganding bahu dengan kaum lelaki bagi menentang pihak British. Dua perkara menarik telah berlaku disini dimana elemen feminis ini jelas kelihatan melalui seruan Manikarnika kepada para wanita tentang kekuatan ibu melahirkan anak yang merupakan kekuatan paling hebat di muka bumi ini. Hal ini kemudiannya dibantu oleh satu watak wanita yang sedang mengandung tetapi sanggup berkorban dengan meletupkan diri di dalam kelompok tentera British. Ungkapan dialognya berkaitan nasib wanita dan bayi mereka jelas memaparkan elemen feminisme yang diterapkan di dalam filem ini dan ianya mudah diterima tanpa sebarang paksaan disebabkan struktur plot dan kekuatan susunan dialognya yang kukuh.


Filem Manikarnika: The Queen Of Jhansi ini juga dapat dilihat berjaya dari sudut sinematografi serta rekaan latar tempat istananya yang sangat cantik. Dibantu dengan ketelitian daripada segi penggunaan alatan props serta pemakaian busana yang menepati zaman dan juga penuh dengan warna-warni berjaya membantu membangkitkan suasana zaman silam dengan begitu menyeluruh.



Namun, masih ada beberapa perkara yang boleh dikatakan sebagai kelemahan atau kekurangan yang dapat dilihat wujud di dalam filem Manikarnika: The Queen Of Jhansi ini. Antaranya:

1) Filem ini dipenuhi oleh babak-babak yang dialunkan dengan lagu latar dan tarian. Walaupun ianya di dalam jangka masa yang sangat singkat tetapi limpahan babak-babak berlagu sebenarnya tidak membantu kepada momentum atau pembentukan plot cerita yang kebanyakannya berjaya dijelaskan dengan baik melalui ungkapan dialog watak-watak utamanya.

2) Watak Manikarnika lakonan Kangana Ranaut sememangnya baik dan penuh karisma namun disebabkan watak ini dicipta terlalu sempurna tanpa sebarang kecacatan dan memenuhi keseluruhan filem dan menyebabkan watak-watak sokongan yang lain kelihatan berkembang terlalu ringkas dan tidak kuat untuk menyokong watak yang terlalu sempurna ini.

3) Babak-babak pegawai Inggeris yang berkomunikasi menggunakan bahasa Hindi juga kelihatan agak janggal dan adakalanya agak mengganggu momentum filem yang sedang bergerak cantik pada plot sebelumnya.

4) Babak peperangan di dalam filem ini sebenarnya agak menarik cuma ada beberapa adegan pertempuran di luar kubu melalui fasa-fasa yang agak perlahan dan adakalanya sedikit membosankan. Ditambah dengan beberapa babak seperti kuda melompat dari atas puncak istana kebawah yang sangat tidak realistik sedikit mencacatkan babak peperangan tersebut yang pada asalnya sudah menarik.

5) Terdapat juga beberapa babak yang melibatkan penggunaan imej janaan komputer atau CGI yang sedikit lemah tetapi masih lagi mampu membuatkan penonton terpesona dengan penceritaan serta elemen aksi yang dipaparkan di dalam filem ini.


Kesimpulannya, filem Manikarnika: The Queen Of Jhansi ini berjaya memaparkan nilai-nilai sayang dan cinta pada negara dengan plot cerita yang cukup bertenaga disamping berjaya mengangkat nilai martabat dan maruah sesebuah negara melalui pemilihan simbol hormat yang cukup mudah tetapi menarik iaitu tentang perbuatan menunduk kepala yang membawa dua maksud sama ada sekadar memberi penghormatan kepada tetamu atau terpaksa patuh kepada kehendak penjajak. Ditambah dengan kekuatan elemen feminisme yang berjaya mengangkat status wanita di dalam filem ini sudah cukup untuk membuatkan rakyat India berbangga dengan filem yang sangat hebat ini. Jangan lupa kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen serta pandangan anda terhadap filem ini di ruangan bawah. Semoga terhibur menontonnya nanti!

P/S : Filem Seterusnya Yang Akan Diulas Ialah Sebuah Filem Tempatan Berjudul Bella & Jamie. Nantikan Ulasannya!

2 ulasan: