Review Filem Escape Room


Filem:
Escape Room

Penilaian:
5/10

Pengarah:
Adam Robitel

Genre:
Seram, Thriller & Misteri

Pelakon:
Logan Miller, Deborah Ann Woll, Taylor Russell, Tyler Labine, Jay Ellis, Nik Dodani & Etc.

Tarikh Tayangan:
24 Januari 2019

Pengedar:
Sony Pictures Entertainment

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan tentang enam orang yang terpilih untuk menyertai satu pertandingan yang menawarkan hadiah wang tunai berjumlah 10,000 ribu dolar. Mereka perlu menggunakan kekuatan dan kelebihan diri masing-masing untuk menyelamatkan diri apabila mereka terperangkap di dalam situasi yang mereka tidak jangkakan. Tanpa mereka sedari, nyawa mereka sebenarnya sedang terancam dan terdapat pihak yang mahu membunuh keenam-enam peserta ini. Siapakah dalang disebalik permainan kejam ini? Kenapa mereka berenam yang dipilih sebagai peserta? Adakah mereka berenam akan selamat atau sebaliknya? Saksikan filem menarik dan mendebarkan ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 24 Januari 2019 untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula berkesempatan  menonton filem Escape Room di TGV Cinemas The Mines pada 23 Januari 2019 yang lepas. Mengisahkan tentang enam orang asing yang tidak mengenali antara satu sama lain dikumpul di sebuah lokasi misteri dan dijanjikan wang tunai 10,000 dolar bagi sesiapa yang berjaya menyelesaikan permainan tersebut. Namun, pada awal lagi mereka sendiri mendapati bahawa mereka sebenarnya telah terperangkap dan perlu bertarung dengan cabaran-cabaran yang disediakan pada setiap bilik misteri untuk menyelamatkan diri.


Walaupun filem ini tidak memaparkan babak-babak gore yang  ganas dan berdarah seperti yang dapat kita lihat di dalam filem-filem yang membawakan konsep seakan-akan sama antranya filem Exam, Cube atau Saw seperti yang dikatakan ramai pihak. Beberapa adegan di dalam beberapa bilik terkunci berjaya menimbulkan rasa kagum dan debaran yang agak menarik buat penonton. Ia dimulakan dengan kawasan ruang tamu yang mewah dan kemudiannya bertukar fungsinya sebagai sebuah ketuhar yang besar. Disusuli pula dengan sebuah kawasan bersalji dan kolam ais. Kemudian penonton di bawa pula melihat cabaran bilik ketiga yang merupakan antara bilik yang paling memberi kesan di dalam filem ini iaitu ruang kawasan bar yang terbalik. Kemudian disusuli pula dengan bilik seterusnya yang berkonsepkan wad hospital yang kurang memberi impak kepada penceritaan. Cabaran seterusnya ialah bilik yang kelihatan agak futuristik sebelum penonton dibawa melihart cabaran bilik terakhir yang telah pun didedahkan pada permulaan filem yang menghilangkan rasa teruja anda kerana anda telah melihat kisah itu dengan jelasnya tadi.


Menyentuh tentang enam watak penting di dalam filem ini yang memainkan peranan sebagai peserta untuk cabaran yang disediakan di Escape Room, aku melihat ada satu watak yang menarik dan mengagumkan iaitu watak Amanda Harper lakonan Deborah Ann Woll namun sayang bukan sahaja watak ini tetapi watak-watak lain juga tidak berjaya memberikan sebuah kesan yang maksimum kepada tontonan anda disebabkan skrip ceritanya yang tidak membantu watak-watak ini berkembang dengan baik. Watak-watak lain pula bagi aku tidak ada keistimewaan kerana rahsia yang disimpan kebanyakan watak ini tidak terlalu gelap atau unik pun untuk membuatkan aku merasakan ianya satu keunikan atau keistimewaan buat watak itu untuk terpilih bermain di dalam cabaran bilik-bilik yang gila ini. Perkembangan watak-watak utama ini sangat tidak meyakinkan dan ada yang berubah terlalu drastik seperti watak Zoey yang pemalu serta sopan dan tiba-tiba berubah menjadi terlalu lantang. Watak Ben Miller juga bagi aku langsung tidak meyakinkan atau mempunyai sesuatu yang menarik untuk dijadikan sebagai watak utama yang terselamat. Watak Mike Nolan juga tidak memberi impak kepada penonton sewaktu watak ini masih hidup mahu pun sewaktu telah mati. Dapat dilihat disini bahawa kelemahan ketara filem ini ialah pembinaan plot wataknya yang kelihatan sangat lemah dan tidak berjaya menangkap simpati penonton untuk mengasihani watak-watak utama yang wujud sepanjang filem ini berjalan. Watak Danny Khan lakonan Nik Dodani adalah satu watak yang jika diikutkan pada pandangan mata kasar adalah watak yang sangat unik dan menarik tetapi filem ini bukan sekadar tidak memanfaatkan watak ini sebaik mungkin tetapi mematikannya pada awal filem menjadikan pada akhirnya filem ini tidak mempunyai sesuatu yang gah untuk diingati atau dikagumi.



Walaupun kelemahan ketara dapat dilihat dengan jelas melalui perkembangan karakter wataknya tetapi aku mengakui filem ini masih menghiburkan untuk ditonton. Menariknya tentang filem ini ialah rekaan set setiap bilik serta kehebatan sinematografinya yang menjadikan visual babak setiap bilik itu kelihatan sangat hebat dan memberi daya tarikan yang menarik buat penonton. Cuma, harus diingat bahawa filem tidak menawarkan apa-apa perkara yang baru kepada penonton. Sebaliknya ia lebih kelihatan sebagai gabungan beberapa idea daripada filem-filem terdahulu yang sealiran dengannya dan kemudian diolah dengan memberi nafas baru untuk memberi satu kesegaran kepada filem yang bergenre thriller seperti ini.  .



Tetapi, kesilapan besar filem ini sebenarnya yang telah menghilangkan aura kejutan terhadap perjalanan ceritanya sendiri apabila pada babak pembukaan awal filem ini lagi yang telah memaparkan watak Ben Miller yang keseorangan untuk menyelesaikan misteri dan ujian di dalam sebuah bilik terakhir. Disini aku sebagai penonton merasakan babak ini telah menghisap nikmat gembira di dalam jiwa penonton yang semestinya sudah mengetahui bahawa watak Ben Miller ini ialah watak utama yang akan terselamat sehingga ke babak akhir filem. Secara keseluruhan filem Escape Room merupakan sebuah filem popcorn yang menarik ditonton pada hujung minggu tetapi gagal di dalam menimbulkan unsur kejutan di dalam plot ceritanya atau menipu penonton dengan memanipulasikan pemikiran, persoalan atau tekaan penonton daripada awal sehingga ke akhir cerita.


Jadi, selamat menonton filem Escape Room yang penuh dengan babak-babak yang mendebarkan dan semoga anda terhibur dengannya. Jangan lupa kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Akan Diulas Ialah Sebuah Filem Bollywood Yang Sangat Hebat Berjudul Manikarnika: The Queen Of Jhansi. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan