Filem:
I Want To Eat Your Pancreas
Penilaian:
6/10
Pengarah:
Shinichiro Ushijima
Genre:
Animasi, Drama & Romantik
Pelakon:
Pelakon:
Lynn, Mahiro Takasugi, Yukiyo Fuji, Yuma Uchida, Jun Fukushima & Etc.
Tarikh Tayangan:
24 Januari 2019
Pengedar:
TGV Pictures
Sinopsis:
Filem ini mengisahkan tentang seorang pelajar sekolah tinggi iaitu Haruki Shiga yang menjumpai sebuah diari milik rakan sekelasnya Sakura Yamauchi. Dalam diari tersebut, Sakura menjelaskan bahawa dirinya mengidap penyakit kanser pankreas dan tidak mempunyai masa yang lama untuk hidup. Selepas mendapat tahu rahsia Sakura, pelajar itu terpaksa berjanji dengan Sakura untuk bersama-sama menempuh beberapa bulan terakhir hidup Sakura dan memastikan dia sentiasa gembira. Namun, banyak perkara menarik dan mengejutkan berlaku sepanjang pelajar tersebut bersama Sakura. Apa sebenarnya yang terjadi? Saksikan filem animasi yang menarik dan penuh emosi ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 24 Januari 2019 untuk mengetahui jawapannya.
Ulasan:
Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah bekerjasama dengan pihak TGV Pictures untuk menganjurkan peraduan buat pengikut dan pembaca blog serta facebook kami untuk memenangi 10 keping tiket filem I Want To Eat Your Pancreas yang telah berlangsung dengan jayanya di TGV Cinemas Sunway Pyramid pada 22 Januari 2019 yang lepas. Filem ini pernah ditayangkan pada tahun 2017 di dalam versi live action namun aku tidak berkesempatan menontonnya. Akhirnya pada tahun 2019, aku berpeluang menonton filem ini dan sememangnya sangat berbaloi menonton filem yang bukan sahaja mempunyai tajuk filem yang unik tetapi juga jalan penceritaan yang mencengkam jiwa.
Filem animasi ini diadaptasi daripada sebuah novel karya Yoru Sumino dengan judul yang sama dan diterbitkan pada tahun 2015. Judul filemnya sangat menarik perhatian kerana jika dilihat sekali imbas kelihatan seperti sebuah filem yang bercirikan kisah tentang zombi. Hakikatnya, filem ini bukannya memaparkan babak-babak ganas serangan zombi yang dipenuhi elemen gore. Sebaliknya filem ini memaparkan sebuah kisah menarik yang kreatif berkenaan seorang gadis bernama Sakura Yamauchi yang menghidap penyakit kanser pankreas dan cuba menyembunyikan hal tersebut daripada diketahui rakan-rakannya. Lebih menarik apabila Sakura memilih Haruki Shiga yang merupakan rakan sekelasnya yang anti sosial dan tidak mempunyai rakan sebagai teman untuk dia berkongsi tentang rahsia hidupnya dan memaksa Haruki untuk membuatnya gembira sebelum dia menemui ajal.
Istimewanya filem ini kerana walaupun ia berbentuk animasi namun filem ini berjaya menyampaikan sebuah kisah yang indah yang bukan sahaja bijak bermain dengan emosi penonton namun menawarkan struktur plot cerita serta hasil animasi yang sangat cantik dan kreatif. Kaedah penggunaan elemen melodrama serta diselangi sedikit unsur humor di dalam penceritaan watak-watak utama ini juga sangat membantu di dalam mengekalkan momentum jalan cerita disamping membawa penonton meneroka beberapa mesej menarik tentang kehidupan dan persahabatan melalui sudut pandang dua watak yang berbeza karakter dan pegangan hidup. Setiap ungkapan yang diungkapkan oleh watak Sakura dan Haruki ini sebenarnya yang memberi kekuatan buat filem ini untuk berdiri sebagai sebuah filem animasi yang penuh dengan jiwa kemanusiaan di alam realiti.
Perbezaan karakter watak utamanya iaitu Haruki Shiga dan Sakura Yamauchi yang mempunyai personaliti yang bertentangan telah berjaya membawa penonton untuk terbuai dengan kisah-kisah manis berkaitan nilai persahabatan, cinta dan keluarga tetapi pada masa yang sama dapat menyelami kemajuan watak-watak ini di dalam memberi rasa emosi sehingga membuatkan penonton terlupa kepada babak awal yang telah pun memberitahu bahawa watak Sakura ini telah mati. Filem ini berjaya memberikan kefahaman kepada penonton tentang watak pasif Haruki yang lebih menyukai buku pada awalnya dan bagaimana Sakura berjaya mengubah Haruki untuk bersosial. Pada masa yang sama, elemen kejutan perubahan plot pada akhir filem juga kelihatan sangat berjaya di dalam memacu penceritaan filem animasi ini untuk mudah diterima oleh penonton walaupun ada beberapa perkara yang memang sudah boleh diramal daripada awal.
Jadi, disini aku senaraikan beberapa sebab kenapa anda perlu menonton filem animasi I Want To Eat Your Pancreas ini di pawagam berhampiran bermula pada 24 Januari 2019:
1) Sebuah filem animasi Jepun yang membawakan satu penceritaan yang sangat menarik tentang penghidap kanser pankreas dimana plot ceritanya memberikan fokus tentang cara sesuatu nilai kehidupan dilihat melalui sudut pandang yang berlainan tetapi masih berjaya mengekalkan nilai logik filem di dalam penceritaannya yang mudah.
2) Filem animasi yang berjaya meletakkan emosi manusia dengan jayanya di dalam 'roh' watak-watak utama animasi filem ini sehingga berjaya membuat ramai penonton terpesona dan turut sama terbuai dengan rasa gembira, sedih dan ceria yang wujud di dalam keseluruhan filem ini.
3) Penggunaan serta gred warna filem ini yang lebih ke arah warna-warna pastel berjaya dimaanfaatkan dengan baik di dalam membantu penonton untuk menyelami setiap babak-babak filem ini dengan emosi yang tepat.
Jadi, selamat menonton dan pasti anda akan tersentuh dengan filem animasi I Want To Eat Your Pancreas yang penuh dengan elemen emosi dan kejutan. Semoga terhibur!
P/S : Filem Seterusnya Yang Akan Diulas Ialah Filem Berjudul Escape Room. Nantikan Ulasannya!
2 Ulasan
Wahhh.... Dah lama juga tak tengok Anime... Menarik juga dari bacaan ulasan ni... Hmmm... dah ada pemenang ke tiket wayang filem ni? Nak jugaakkk... Hahaha..
BalasPadamdah ada...kan dah mention dekat perenggan awal tu
Padamnext time ada contest lain boleh join lagi