Review Filem Why Cheat India


Filem:
Why Cheat India

Penilaian:
8/10

Pengarah:
Soumik Sen

Genre:
Drama

Pelakon:
Emraan Hashmi, Shreya Dhanwanthary, Snighadeep Chatterjee, Samiksha Gaur & Etc.

Tarikh Tayangan:
18 Januari 2019

Pengedar:
Antenna Entertainments

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan tentang kaki penipu yang mengambil kesempatan ke atas sistem pendidikan India yang lemah dan mempunyai pelbagai masalah untuk memancing pelajar-pelajar bijak bagi tujuan melakukan penipuan peperiksaan bersamanya. Dia meminta mereka menulis mengenai kejuruteraan dan pengurusan untuk peperiksaan kemasukan universiti. Dengan cara ini mereka akan mendapat bayaran lumayan daripada calon-calon peperiksaan yang mengupah mereka. Saksikan filem yang cukup menarik ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 18 Januari 2019 untuk mengetahui jawapannya

Ulasan:

Filem Why Cheat India tidak dinafikan mempunyai subjek serta jalan cerita yang sangat baik. Berjaya memberi gambaran tentang bagaimana sistem pendidikan disana berjalan serta mendedahkan kepada penonton tentang kelemahan dan kekurangan sistem yang diamalkan disana. Melalui kitaran masalah ini, ia memberi peluang kepada penonton untuk melihat siapa yang terkesan dengan bencana yang terhasil dan siapa pula yang bijak menangguk di air keruh untuk mengambil peluang di atas kelemahan serta kenaifan pihak lain. Menonton filem Bollywood ini di TGV Cinemas Jaya Shopping Centre pada 20 Januari 2019 yang lepas sememangnya adalah satu keputusan yang tepat kerana filem ini bukan sahaja berani bermain dengan persoalan dan fakta yang berat tentang sistem pendidikan di negara tersebut. Tetapi, ia sebenarnya mendidik penonton untuk lebih mengenali tentang bagaimana golongan penipu atau lebih dikenali sebagai scammer ini menjalankan modus operandi dengan bermodalkan air liur melalui penyelewengan kata-kata dimana mereka mereka menghalalkan segala-galanya demi wang, pangkat dan kuasa.



Permulaan awal filem ini sangat menarik kerana mesej pertamanya telah disampaikan dengan cukup keras sekali kepada majoriti ibu bapa yang berada di golongan pertengahan. Satu ayat yang cukup menarik diselitkan yang memberi makna dua perkara iaitu 'Ibu Bapa Yang Berimpian Tinggi Tetapi Anak-Anak Yang Perlu Menunaikannya' serta 'Anak-Anak Bukannya Dilahirkan Untuk Disayangi Dan Dibentuk Dengan Nilai Berdikari Tetapi Sebagai Pelaburan Untuk Membantu Ibu Bapa Pada Hari Tua Nanti'. Satu permasalahan yang cukup menarik kerana ia memaparkan bagaimana obses sikap ibu bapa golongan pertengahan ini di dalam menentukan kerjaya pilihan mereka yang perlu ditunaikan si anak tanpa memikirkan tentang tekanan yang dihadapi anak mereka.



Babak seterusnya pula memaparkan satu adegan yang menarik tentang pelajar pintar bernama Sattu dimana akibat sikap bapanya yang terlalu obses untuk memastikan anaknya lulus dengan cemerlang di dalam peperiksaan maka hubungan dan tindakan anaknya di dalam bersosial dengan dunia luar adalah sangat minima. Bayangkan satu dialog narator yang menyatakan bahawa Sattu tidak dibenarkan membeli barang mandi di kedai kerana ayahnya percaya dengan masa satu minit boleh membuatkan Sattu mengulangkaji dan menyelesaikan tiga soalan. Jadi, dipaparkan keputusan Sattu adalah sangat cemerlang namun disebabkan kekurangan dari segi pergaulan dan hubungan dengan dunia luar telah membentuk satu pemikiran yang cukup naif buat Sattu dan hal ini telah memberi peluang kepada watak kaki penipu iaitu Rocky untuk mengambil kesempatan memperalatkan kepintaran Sattu untuk menjana wang yang cukup banyak buatnya dan pada masa yang sama menyebabkan Sattu mengalami kejutan budaya apabila menerima wang yang banyak dan terlibat di dalam masalah sosial yang negatif seperti penyalahgunaan dadah dan seks bebas.



Perkara ini menjadi lebih menarik apabila watak Rocky ini berjaya memanfaatkan kelemahan sistem pendidikan India dan kelemahan undang-undang disana untuk melakukan satu penipuan berprofil tinggi yang tidak dapat diganggu sesiapa. Matlamat tidak menghalalkan cara untuk watak ini dipandang sebagai wira walaupun watak Rocky ini cuba beranggapan sedemikian. Kebijaksanaannya di dalam memperalatkan puluhan pelajar pintar telah menyebabkan masa depan banyak anak-anak muda terancam namun Rocky menghalalkan dosa tersebut dengan kepercayaannya sendiri yang secara logiknya jika difikirkan ada juga kebenaran yang nyata. Ini yang aku suka tentang filem ini kerana nilai realistiknya sangat tinggi dimana ia menyindir seluruh golongan tidak kira golongan atasan, pertengahan, pasukan keselamatan mahu pun anggota politik sendiri. Filem ini memberitahu penonton segala yang berlaku ini disebabkan kesalahan masyarakatnya sendiri yang mengambil jalan mudah atau pun yang terdesak untuk hidup senang. 



Aku cukup tertarik dengan watak Rocky yang menyatakan bahawa dia membantu orang-orang seperti Sattu yang walaupun bijak tetapi belum tentu mampu menjawat jawatan besar dan memperoleh gaji yang setimpal dengan kebijaksanaannya. Hal ini kerana jawatan-jawatan besar yang bergaji tinggi ini telah dimonopoli oleh anak-anak golongan kaya yang berpangkat. Disini dapat dilihat watak Rocky ini bijak memanipulasi pemikiran Sattu dengan mengeksploitasikan kitaran jawatan pekerjaan yang terjadi sejak sekian lama, walau sebijak mana pun watak Rocky namun jika tidak ada bantuan daripada 'orang dalam' maka susah untuknya mendapat pekerjaan dan secara tidak langsung terbeban dengan hutang yang tinggi. Watak kaki penipu ini diangkat lagi ke satu tahap untuk membuatkan penonton lebih mengenali tentang bagaimana mereka bertindak dengan memaparkan tujuan dan muslihat kenapa Rocky menyasarkan bantuan kepada anak-anak golongan kaya, ahli politik mahu pun pihak berkuasa dimana anak-anak muda ini sebenarnya sangat pemalas, bodoh di dalam akademik kerana tidak minat belajar dan hanya suka berhibur. Satu ayat Rocky yang menarik ialah dia menyatakan selepas sepuluh tahun, golongan-golongan ini pasti akan membantu aku semula. Disini dapat dilihat kebijaksanaan Rocky di dalam mempergunakan pengaruh golongan ini untuk memastikan Rocky akan kebal daripada sebarang dakwaan kerana penipuan yang dilakukan oleh golongan ibu bapa serta anak mereka berada di tangannya dan pada bila-bila masa sahaja ia boleh menggunakannnya sebagai ugutan dalam memastikan perniagaannya yang berlandaskan penipuan itu sentiasa berkembang tanpa diganggu mana-mana pihak.



Filem Why Cheat India ini juga sebenarnya mengambil beberapa kisah tentang kehidupan sebenar para pelajar yang mengalami penipuan sebegini yang dikatakan begitu berleluasa di India. Hal ini yang menjadikan jalan cerita filem ini sangat menarik kerana kitaran yang berlaku atas kelemahan sistem pendidikan dan undang-undang India ini telah menyebabkan mereka kehilangan banyak pelajar yang berbakat besar kerana filem ini juga turut memaparkan babak Sattu membunuh diri kerana tekanan yang terlalu tinggi untuk memberi gambarkan kepada masalah besar disana berkaitan kecenderungan pelajar untuk membunuh diri disebabkan tekanan yang tinggi daripada ibu bapa untuk mendapatkan nilai gred markah yang tinggi serta pekerjaan yang bergaji lumayan. Filem ini dilihat cuba membuat golongan penonton disana memahami sesuatu dimana golongan ibu bapa pertengahan disana sangat terdesak untuk memastikan anak-anak mereka menjadi sebahagian daripada golongan ekonomi yang berjaya disana sehingga terlupa tentang kelemahan anak-anak mereka yang rajin dan berbakat ini bukan lah seorang manusia yang sempurna dari segala perkara.



Menyentuh mengenai pelakon, Emraan Haashmi sangat berjaya mencuri tumpuan penonton di dalam filem Why Cheat India ini melalui watak utamanya sebagai Rocky yang merupakan seorang kaki penipu. Persembahan lakonannya sangat baik dan susunan dialog-dialog yang dilontarkannya berjaya membuatkan penonton keliru atau terpesong untuk menyatakan adakah watak ini telah melakukan perkara yang betul atau salah di dalam tindakannya walaupun hakikat sebenar ialah watak ini adalah watak antagonis yang sangat kejam di sebalik wajah dan tutur kata yang sopan. Watak Sattu lakonan Snighadeep pula bagi aku turut dipersembahan dengan cemerlang kerana transformasi watak ini berjaya dipertontonkan dengan cukup baik bermula dengan karakter yang naif dan lucu sebelum karakternya bertukar menjadi terlalu bernafsu dengan wang sehingga kepada permainan emosi pada tahap akhir dimana watak ini mengalami tahap kemurungan yang begitu teruk. Pelakon Shreya Dhanwanthary pula yang berperanan sebagai kakak kepada Sattu dan pada masa yang sama menyintai Rocky juga telah berjaya menghidupkan watak tersebut dan memberi kejutan pada peringkat klimaks penceritaan.


Walaupun filem ini mempunyai sedikit kekurangan pada pertengahan filem dimana ada beberapa babak yang terlalu meleret tetapi babak tersebut sebenarnya membantu untuk kita lebih mengenali tentang punca sebenar tindakan yang diambil Rocky di dalam membina sebuah perniagaan yang berasaskan penipuan yang keji. Aku sangat sukakan babak akhir filem ini yang sebenarnya berakhir dengan satu jalur kebenaran yang amat perit untuk kita terima tetapi itulah sebenarnya realiti yang kita sendiri dapat lihat di Malaysia tentang nasib-nasib penipu atau kaki scammer yang pada penghujungnya masih mampu bergelak ketawa di atas penderitaan orang ramai tanpa ada rasa kekesalan sedikit pun di dalam hati mereka yang telah hitam. 


Jadi, selamat menonton dan semoga anda memperoleh sesuatu melalui filem Why Cheat India yang berani mempersoalkan tentang kelemahan sistem pendidikan di negara India ini.

P/S : Filem Seterusnya Yang Akan Diulas Ialah Sebuah Filem Anime Dari Jepun Berjudul I Want To Eat Your Pancreas. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan