12/04/19

Filem Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal Cipta Sejarah Kutipan Luar Biasa

Baru-baru ini pihak portal filem Rollo De Pelicula dijemput oleh syarikat produksi animasi terkenal tanah air iaitu Les’ Copaque Production  untuk hadir pada sidang media pengumuman nilai kutipan terkini filem animasi Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal yang berlangsung di dengan meriahnya di Hotel Aloft KL Sentral.


Filem animasi Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal yang merupakan filem animasi kedua terbitan Les’ Copaque Production telah mencipta kejutan luar biasa apabila meraih kutipan sebanyak RM25 juta hanya selepas 3 minggu tayangan. Lebih membanggakan lagi apabila jumlah penonton tempatan yang menonton filem ini di pawagam seluruh Malaysia telah mencecah 2 juta orang. Ia sekaligus telah mengangkat filem animasi ini di satu tahap yang cukup tinggi apabila naskhah ini telah mencatat rekod kutipan tertinggi sepanjang zaman bagi kategori filem animasi di pawagam Malaysia. Lebih mengagumkan apabila filem Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal telah berjaya mengalahkan filem antarabangsa Incredibles 2 yang memegang rekod kutipan tertinggi untuk filem animasi yang ditayangkan di Malaysia sebelum ini.


Untuk rekod, jumlah penonton filem animasi Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal yang mencecah 2 juta orang ini sebenarnya tidak pernah dicapai lagi sebelum ini dan ia sekali gus menjadi penanda aras baru bagi filem-filem tempatan khususnya filem animasi untuk lebih berdaya saing selepas ini. Jumlah penonton untuk filem animasi ini dijangkakan akan terus meningkat pada hari minggu yang akan datang.


Kami melihat kejayaan filem animasi ini adalah hasil daripada penulisan cerita yang luar biasa pada karya kali ini dimana penceritaan berjaya menggabungkan serta mengaitkan watak Upin dan Ipin dengan watak-watak hikayat dongeng melayu lama seperti Mat Jenin, Raja Bersiong, Nakhoda Ragam, Tanggang, Bawang Merah, Bawang Putih, Nujum Pak Belalang dan banyak lagi yang berjaya menarik perhatian seluruh lapisan masyarakat untuk menonton filem ini di pawagam seluruh Malaysia.


Selain itu, filem animasi Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal ini turut menerima pujian ramai penonton serta netizen Malaysia yang amat menyukai lagu tema dan animasi yang cantik sekali gus berjaya meletakkan filem ini setanding dengan filem-filem animasi antarabangsa yang lain. Untuk makluman semua, filem Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal ini sesuai ditonton oleh seisi keluarga daripada kanak-kanak sehingga lah kepada warga emas.


Kos penerbitan filem ini menelan belanja hampir RM 20 juta dan menjadikan ia sebagai filem termahal Malaysia dengan menggunakan sepenuhnya kepakaran anak-anak tempatan. Ia dilihat sebagai satu penanda aras baru terhadap mutu industri animasi tempatan dalam semua aspek setanding dengan karya-karya antarabangsa. 


Kami di portal filem Rollo De Pelicuka mengharapkan agar filem animasi Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal ini dapat meneruskan lagi momentum positif ini dengan menambahkan lagi hasil kutipan supaya jumlahnya nanti akan membuatkan lebih ramai rakyat Malaysia berasa bangga dan datang semula untuk menonton lagi filem ini bersama anak-anak atau keluarga.


Filem Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal adalah filem terbitan Les' Copaque Production Sdn. Bhd., penaja utama Citrex Gummy dari Millennium Pharmacon International (MPI), penaja bersama iNEST, edaran GSC Movies, Astro sebagai rakan media, FunNow sebagai rakan digital, dan disokong oleh Perbadanan Kemajuan Multimedia (MDEC) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS). 


Kepada yang masih belum menonton filem Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal maka segera lah ke pawagam berdekatan anda kerana filem ini masih rancak ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh Malaysia. Marilah kita memberi sokongan dengan pergi menonton filem yang cukup berkualiti dan berjaya mengangkat martabak negara Malaysia ke satu tahap yang lebih dinamik di dalam industri animasi ini. Selamat menonton daripada kami di portal filem Rollo De Pelicula.

2 ulasan:

  1. Lari topik jap..

    Watchman best weh..recommended..

    BalasPadam
    Balasan
    1. filem Tamil pasal anjing dengan lelaki pecah masuk banglo nak mencuri tu ker?
      baru habis tengok tadi. hahaha!

      Padam