15/04/19

Review Filem Hellboy


Filem:
Hellboy

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Neil Marshall

Genre:
Aksi, Pengembaraan & Fantasi

Pelakon:
David Harbour, Milla Jovovich, Ian McShane, Sasha Lane, Daniel Dae Kim & Etc.

Tarikh Tayangan:
11 April 2019

Pengedar:
TGV Pictures

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan tentang Hellboy yang perlu mempersiapkan diri bagi menentang ahli sihir purba yang mahu membalas dendam dan menghancurkan dunia. Berjayakah Hellboy menggagalkan cubaan ahli sihir tersebut dan seterusnya membantu menyelamatkan manusia daripada kemusnahan? Saksikan filem ini di pawagam berdekatan anda bermula 11 April 2019 ini untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah dijemput oleh pihak TGV Pictures untuk menghadiri tayangan istimewa buat para media untuk menonton filem Hellboy di TGV Central i-City, Shah Alam pada 10 April 2019 yang lepas. Apa yang menariknya kami dapat menonton filem ini di pawagam Onyx pertama di rantau Asia yang direka dengan bentuk melengkung dan memberikan kami satu pengalaman menonton yang cukup menyeronokkan.


Filem ini dimulakan dengan satu prolog pembukaan yang sedikit lusuh dan longgar berkaitan tentang watak antagonis utama filem ini iaitu ratu sihir Nimue yang dikhianati oleh pengikutnya dan kemudian berjaya ditewaskan oleh King Arthur yang memenggal kepalanya sebelum kemudian dipaparkan setiap anggota badannya dipotong dan dipisah-pisahkan dengan dimasukkan ke dalam kotak dan disimpan di lokasi-lokasi rahsia yang berjauhan antara satu sama lain untuk mengelakkan Nimue kembali merosakkan bumi. Kemudian watak Hellboy dan bermacam-macam lagi watak baru yang sangat ramai mulai keluar menemui penonton yang memberikan seribu satu rasa sewaktu menonton filem ini. Kekeliruan mulai timbul melihatkan terlalu banyak watak-watak yang setengah daripadanya tidak menonjol langsung. Ada waktunya filem ini cuba menampilkan satu kisah yang santai tetapi tiba-tiba ia boleh berubah kepada sebuah filem berat tanpa kita jangka. Hal ini sedikit sebanyak agak memberi kesan kepada keseluruhan filem ini walaupun secara keseluruhan filem ini masih menarik untuk ditonton.


Filem Hellboy versi Neil Marshall ini gemar bermain dengan eleman gore dan cuba lari jauh daripada dua filem Hellboy versi terdahulu arahan Guillermo del Toro. Walaupun kami menyukai adegan-adegan gore yang menampilkan visual keganasan serta percikan darah yang bersesuaian dengan fizikal serta penampilan karakter Hellboy kali ini yang lebih gagah dan garang namun kami akui elemen humor yang cuba disuntik untuk menjadikan filem ini kelihatan lebih ringan untuk ditonton tampak gagal. Bukannya filem ini langsung tidak mengundang jenaka untuk membuat penonton tertawa tetapi konsep komedi yang cuba disampaikan ini seolah-olah seperti terlalu memaksa penonton untuk menerima lawak yang cuba diterapkan di dalam beberapa babak tertentu dan akhirnya ia menemui jalan buntu pada penghujungnya.


Menyentuh tentang para pelakon yang membintangi filem Hellboy versi tahun2019 ini, kami melihat kebanyakkan para pelakonnya berjaya memberikan sehabis baik di dalam watak yang dilakonkan mereka. David Harbour selaku pemain utama filem ini dengan memegang watak sebagai Hellboy dilihat berjaya menghidupkan watak ini mengikut acuan sendiri. Begitu juga pelakon-pelakon lain seperti Sasha Lane, Ian McShane dan juga Daniel Dae Kim yang berjaya memberikan yang terbaik tetapi sayang kerana jalan ceritanya kurang membantu untuk ketiga-tiga watak ini lebih menonjol tetapi sebaliknya sekadar cukup untuk melengkapkan penceritaan filem ini. Namun, watak antagonis lakonan Milla Jovovich pula kelihatan sangat canggung dimana watak jahat ini kelihatan lebih buruk daripada watak-watak antagonis filem kanak-kanak Disney yang terlalu klise dan membosankan.


Namun, satu faktor menarik yang berjaya menyelamatkan filem Hellboy daripada menjadi sekadar satu naskhah yang terlalu biasa disebabkan naratif jalan ceritanya yang perlahan adalah kehebatan visual filem ini yang berjaya dibantu oleh sinematografi yang mantap serta kesan khas CGI yang agak menarik untuk sebuah filem yang penuh dengan babak-babak aksi gore. Bagaimana babak gambaran roh yang keluar daripada mulut pelakon Sasha Lane dipaparkan juga kelihatan unik dan menyeronokkan untuk dilihat. Kami juga menyukai babak-babak aksi yang bagi kami masih boleh dipuji serta teknik solekan ngeri di dalam filem ini yang pada kami sangat mengagumkan. 


Mendengar satu berita bahawa filem Hellboy ini menerima potongan yang terlalu banyak di negara seberang Indonesia menjadikan kami bersyukur kerana walaupun filem Hellboy masih mempunyai beberapa potongan namun ia tidak terlampau banyak dan masih tidak mencacatkan jalan cerita. Namun, kami merasakan filem ini kurang sesuai untuk ditonton oleh kanak-kanak disebabkan banyak babak-babak yang kurang sesuai terutamanya berkaitan dengan pembunuhan yang agak ngeri dan menakutkan untuk peringkat kanak-kanak yang sedang membesar. Satu lagi info tambahan yang ingin kami kongsikan kepada anda yang ingin menonton agar tetap setiap menonton sehingga kepada penamat kredit kerana terdapat dua adegan menarik menanti anda pada bahagian tengah dan akhir kredit filem ini nanti.


Jadi, selamat menonton filem Hellboy dan sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Akan Diulas Ialah Sebuah Filem Seram Indonesia Berjudul Arwah Tumbal Nyai: Part Nyai Yang Bakal Dikongsikan Dalam Waktu Terdekat. Nantikan Ulasannya!

4 ulasan:

  1. Adeh, terlambat baca review ni.. Dah tertengok.. Berbelah bagi antara filem flight by night.. Erm, tak berape nak menarik la seperti yang dijangka.. Lawak yg kurang menjadi.. Nasib baik rating 18.. Takde kanak-kanak boleh tengok.. Agak2 ade sekuel ke?.. Terlepas kredit scene lak..

    BalasPadam
    Balasan
    1. ikut pada kredit scene tu menampakkan ada sekuel

      Padam
  2. Pada saya... ini lah versi Hellboy yg ditunggu2. Brutal, Gore dan Violent. Melihat Hellboy berlawan dgn hantu, monster dan giant amat menerujakan. Versi G.D.Toro pd saya hebat dan kemas tapi utk kanak2. Versi 2019 ni baru la nampak keganasan dan dgn attitude "No Mercy" si Hellboy ni. Scene Hellboy dgn ayah nya pon best, terasa bonding nya. Soundtrack Heavy Metal dr Scorpions hingga Motley Crue memang sesuai dan menaikkan lagi mood film ni. Tapi tu la, masing2 punya pendapat dan citarasa kan Hans, heheh...

    BalasPadam
    Balasan
    1. bab brutal gore dan violent tu memang okay...saya pun suka...

      tetapi jalan cerita dan lawak-lawak dia kurang menyengat

      setakat ini terhibur tonton tetapi setakat terhibur sahaja lah untuk saya :)

      Padam