Review Filem Arwah Tumbal Nyai: Part Nyai


Filem:
Arwah Tumbal Nyai: Part Nyai

Penilaian:
5/10

Pengarah:
Arie Azis

Genre:
Seram

Pelakon:
Ayu Ting Ting, Aqila Herby, Dewi Perssik, Zaskia Gotik, Raffi Ahmad& Etc.

Tarikh Tayangan:
11 April 2019

Pengedar:
Antenna Entertainments

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Rosma yang sering pulang lewat ke rumah kerana dia bekerja di pawagam. Pada suatu hari, dia perlu segera pulang rumah berikutan neneknya nazak dan selepas dia bertemu neneknya maka neneknya terus meninggal dunia dalam dakapannya. Selepas kematian neneknya, Rosma perasan yang anaknya Nayla mula bermain dengan rakan halimunan yang dipanggil Nyai. Rosma terkejut apabila mendapat tahu yang Nyai adalah entiti jahat yang dipuja oleh neneknya. Kini Rosma perlu meneruskan janji neneknya kepada Nyai tetapi dia enggan berbuat demikian. Apakah yang akan berlaku kepada Rosma dan Nayla? Mampukah Rosma membatalkan janji yang telah dibuat oleh neneknya kepada Nyai? Saksikan filem seram ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 11 April 2019 untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah dijemput oleh pihak Antenna Entertainments untuk menonton filem seram dari Indonesia berjudul Arwah Tumbal Nyai: Part Nyai di MMcineplex E Curve pada 9 April 2019 yang lepas. Filem ini merupakan filem kedua untuk trilogi Arwah Tumbal Nyai. Walaupun kami tidak pernah menonton filem pertamanya sebelum ini namun jalan cerita filem ini mudah difahami dan tidak pula kelihatan bersangkut paut dengan jalan cerita filem pertamanya. Jadi, tiada masalah jika anda ingin menonton filem ini walaupun terlepas menonton filem pertamanya sebelum ini.


Jalan cerita filem Arwah Tumbal Nyai: Part Nyai ini sebenarnya mudah dan bergerak sehala dimana ia memberi fokus kepada watak Rosma dan anaknya Nayla yang diganggu oleh makhluk halus bernama Nyai. Namun, kelemahan ketara dapat dilihat terutamanya pada bahagian skrip filem ini dimana frasa dialog yang bermain di sepanjang permukaan filem ini tidak kelihatan betul-betul kuat dan adakalanya menjadikan filem ini kelihatan 'lucu' secara tiba-tiba. Walau bagaimanapun, filem ini berjaya diselamatkan oleh kebanyakan babaknya yang memaparkan elemen seram yang digarap dengan agak cantik hasil bantuan sinematografi yang berjaya mewujudkan suasana gelap yang kemas serta suntikan teknik jump scare yang berjaya membangkitkan rasa seram di dalam panggung. Kami agak terhibur dengan perkara ini dan kami akui walaupun ia tidak berjaya menakutkan kami sewaktu menonton tetapi majoriti penonton di dalam panggung agak terkejut dan tidak senang duduk apabila munculnya babak-babak yang menguji keberanian mereka saat kemunculan hantu Nyai di layar kaca.


Menyentuh tentang aspek lakonan, kami ingin memberikan pujian kepada Ayu Ting Ting kerana berjaya mempersembahkan mutu lakonan yang mantap walaupun sebenarnya wanita ini merupakan seorang penyanyi. Bagaimana Ayu Ting Ting memberi sepenuh rasa kepada watak Rosma ini sama ada dari segi emosi, reaksi wajah hatta pergerakan tubuh badan berjaya membantu penonton untuk merasai sendiri emosi watak ini yang keliru, ketakutan dan kerisauan. Dibantu pula dengan lakonan mantap oleh pelakon cilik Aqila Herby sebagai anak perempuan Rosma menjadikan gabungan kedua-dua watak ini berjaya menyatu dengan baik. Namun, kami melihat kemunculan Raffi Ahmad seperti satu beban kepada perjalanan filem ini dimana lakonan yang diberikannya tidak langsung menampakkan bahawa dia sedang berada di dalam sebuah naskhah filem seram. Babak-babak yang melibatkannya kelihatan sangat canggung ditambah pula dengan wajahnya yang serambai yang seakan-akan tidak kena langsung tidak wataknya sebagai seorang lelaki kaya. Lebih mengecewakan apabila hasil kerja sudut kamera yang terlalu gemar mengambil gambar logo kereta mewah sewaktu babak memandu di dalam beberapa babak yang sangat meleret dan terlalu menampakkan sangat produk 'placement'


Ada beberapa permasalahan kecil namun memberi impak yang besar terhadap filem ini. Selain daripada motif jalan cerita yang kurang jelas terutamanya berkaitan Nyai serta punca kepada penyebab perjanjian yang terungkap antara nenek Rosma dan Nyai, kami turut ingin menegur beberapa babak serta permainan dialog yang sangat lah mengecewakan di dalam filem ini. Salah satu perkara yang sehingga kini bermain-main di kepala kami tentang kelibat Rosma yang pulang daripada kerja pada lewat malam dimana bagaimana permainan cahaya untuk setiap adegan-adegan ini terlalu berlebihan-lebihan di dalam cubaan mewujudkan suasana seram. Kegelapan wujud dimana-mana yang sangat sukar untuk diterima. Kemudian bagaimana ditunjukkan watak Rosma ini melalui kawasan tempat letak kereta seolah-olah wanita ini mempunyai kereta untuk dipandu pulang ke rumah tetapi hakikat sebenar ialah dia hanya berjalan kaki melalui jejantan dan sebagainya selepas itu. Kami melihat pengarah filem ini seperti kehabisan idea di dalam cubaan untuk memperbanyakkan babak-babak seram sehinggakan terpaksa mewujudkan adegan-adegan yang tidak perlu seperti itu. Seterusnya ialah penggunaan dialog yang berulang-ulang terutamanya daripada watak lakonan Raffi Ahmad yang akhirnya mencetuskan tawa penonton kerana ketawa dengan kejanggalan dialog yang diungkapkannya. Walaupun hal-hal ini remeh tetapi ia sebenarnya memberikan impak yang terlalu besar kepada filem ini yang sedang dalam usaha untuk menarik kepercayaan penonton untuk sama-sama memasuki dan merasai dunia Rosma dan Nayla yang diganggu oleh makhluk Nyai tersebut. Belum lagi kami sentuh tentang watak Rosma yang setiap waktu sentiasa ingin kelihatan cantik dengan solekan walaupun baru bangun daripada tidur. Memang aspek-aspek ini seperti tidak dititikberatkan langsung di dalam filem ini.


Kami akui walaupun filem Arwah Tumbal Nyai: Part Nyai ini gagal menepati selera kami yang cukup tinggi untuk sebuah filem seram namun ia bukannya bermaksud filem ini merupakan sebuah filem yang gagal. Ia masih sebuah premis yang berada di dalam kategori sederhana untuk mana-mana penonton yang meminati filem seram dan ia masih berbaloi untuk ditonton di pawagam kerana kejutan-kejutan yang wujud sepanjang filem ini masih mampu membuatkan anda terkejut, berdebar atau menutup mata.


Jadi, selamat menonton filem Arwah Tumbal Nyai: Part Nyai dan sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Akan Diulas Ialah Sebuah Lagi Filem Seram Terbitan Kuman Pictures Yang Diarahkan Oleh James Lee Berjudul Two Sisters. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan