Review Filem Bu


Filem:
Bu

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Jeany Amir

Genre:
Drama & Keluarga

Pelakon:
Remy Ishak, Nadiya Nissa, Dian P. Ramlee, Iedil Putra,
Nadia Brian, Rashidi Ishak, Mawar Rashid, Wan Hanafi Su & Etc.

Tarikh Tayangan:
11 April 2019

Pengedar:
MM2 Entertainment Sdn Bhd

Sinopsis:
Filem ini menggabung tiga kisah yang berkaitan dengan tiga orang wanita yang bergelar ibu. Kisah pertama berkaitan pasangan suami isteri iaitu Diana dan Zack yang mana Diana mengambil keputusan untuk menangguhkan niatnya untuk hamil demi memberi fokus kepada kerjayanya dan ini mengecewakan ibu mertuanya Norimah yang terlalu inginkan cucu. Pada waktu yang sama, Zack pula menyembunyikan rahsia besar tentang keadaan syarikat arkiteknya daripada pengetahuan isterinyanya Diana serta ibunya sendiri iaitu Norimah. Kisah kedua pula mengenai Aishah yang merupakan seorang suri rumah yang terasa asing dengan layanan daripada suami serta anak perempuannya sendiri namun tetap bersikap sabar dan positif di dalam menghadapi elemen negatif yang mencengkam kehidupan dua orang insan yang disayanginya. Manakala kisah ketiga pula memberi fokus kepada seorang wanita bernama Nora yang sebelum ini keguguran dan kini sedang mengandung. Suaminya yang sebelum ini bekerja sebagai Chef telah dibuang kerja disebabkan rasa tidak puas hati terhadap majikan. Minat suaminya kepada penulisan menyebabkan Nora memberi sokongan kepada suaminya itu. Pada suatu hari, ketiga-tiga wanita ini akhirnya bertembung di dalam satu kejadian kemalangan yang menyebabkan salah seorang daripada mereka dilanggar oleh sebuah kereta yang dipandu oleh Zack. Siapakah wanita yang dilanggar? Adakah wanita tersebut akan selamat? Apa pula kaitanya dua wanita lain dengan wanita yang dilanggar tersebut? Saksikan filem yang menarik ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 11 April 2019 ini untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula mendapat jemputan daripada pihak MM2 Entertainment Sdn Bhd untuk menghadiri tayangan media filem Bu bertempat di MMcineplex, E-Curve Damansara pada 3 April 2019 yang lepas. Secara jujurnya, kami langsung tidak mengetahui tentang kewujudan filem Bu ini sehingga mendapat info berkaitan tayangan filem ini. Jadi, kami tidak lah meletakkan harapan terlalu tinggi terhadap filem ini kerana pada jangkaan kami filem ini pasti sekadar asal boleh sahaja untuk tayangan. Namun, kami silap kerana filem Bu ini sememangnya dibuat dengan teliti dimana bukan sahaja mempunyai jalan cerita yang menarik tetapi juga visual filemnya kelihatan sangat cantik hasil permaianan serta kerja kamera yang cantik dibantu pula oleh sinematografi yang mantap.


Menonton filem ini mengingatkan kami kepada sebuah filem tempatan berjudul Cinta arahan Khabir Bhatia dimana gabungan kisah-kisah dan watak-watak di dalam filem ini pada akhirnya akan bertemu pada penghujung atau klimaks cerita. Cuma bezanya filem Bu ini jika ingin dibandingkan dengan filem Cinta ialah watak-watak di dalam filem Bu ini akhirnya bertemu dan mengenali antara satu sama lain selepas kejadian pertemuan tersebut. Namun ia berbeza jika dibandingkan dengan watak-watak yang bermain di dalam penceritaan filem Cinta yang tidak mengenali antara satu sama lain sehingga kepada penamat cerita walaupun sudah bertembung. Ada juga beberapa rakan media yang ditemui selepas menonton menyatakan filem Bu merupakan sebuah filem yang berat kerana membawakan tema atau mesej yang dikatakan sukar untuk diterima oleh penonton yang lebih meminati filem ringan. Kami sendiri agak terkejut dengan kenyataan ini kerana sebagai seorang peminat filem-filem yang membawakan tema berat dan serius, kami merasakan filem Bu masih merupakan sebuah naskhah ringan walaupun ia membawakan tema yang besar iaitu tentang manusia bernama ibu serta kekuatan wanita. Kami menyatakan naskhah ini masih ringan kerana nilai feminism yang dipaparkan tidak terlalu berlebihan walaupun ia berkaitan dengan wanita. Manakala ideologi patriarki pula kelihatan hampir tidak ada di dalam filem ini sepanjang tontonan kami. Apa yang kami pasti, pemilihan tiga kisah wanita bergelar ibu di dalam filem Bu ini adalah berlainan antara satu sama lain dan ia berjaya disampaikan secara visual dengan baik. Tiga kisah wanita ini juga menjadikan filem ini begitu padat dengan pelbagai konflik dan persoalan yang membuatkan penonton tidak sabar untuk menanti jawapannya.


Plot penceritaan filem Bu ini disusun secara bukan kronologi atau non-linear dimana teknik imbas kembali dan imbas muka sering digunakan di dalam menimbulkan unsur saspens yang menyeluruh di dalam filem ini. Teknik ini berjaya membantu mencantikkan kisah  keluarga Norman (Rashidi Ishak) dan Aishah (Nadiya Nisaa) serta kisah keluarga Kak Mah (Dian P.Ramlee) serta anaknya Zack (Iedil Putra) dan menantunya Diana (Mawar Rashid). Namun, kisah penceritaan suami isteri iaitu Hafiz (Remy Ishak) dan Nora (Nadia Brian) pula kelihatan kurang kemas dan sangat mengelirukan penonton terutamanya berkaitan dengan garis masa kisah pasangan ini sewaktu menantikan kelahiran cahaya mata serta saat sudah mempunyai cahaya mata. Susunan adegan yang tidak kemas membuatkan penceritaan kisah Hafiz dan Nora ini agak terganggu buat seketika.


Tidak dinafikan nama-nama besar yang dipertaruhkan di dalam filem ini seperti Remy Ishak, Dian P.Ramlee, Nadiya Nisaa, Iedil Putra, Rashidi Ishak, Wan Hanafi Su dan ramai lagi berjaya membantu menguatkan lagi filem ini dari sudut persembahan serta penjiwaan lakonan yang mantap. Namun, ada sedikit kekurangan yang kami dapat lihat melalui lakonan pendatang baru di dalam industri filem tempatan iaitu Tia Sarah yang memegang watak sebagai Julie. Lakonan gadis ini bukan terlampau lemah cuma perlu diperbaiki terutama daripadad segi reaksi wajah di dalam meyakinkan penonton dengan emosi yang sedang dialami oleh watak tersebut. Sebagai contoh di dalam satu adegan, intonasi suara watak Julie ini sudah berjaya membuatkan penonton faham bahawa gadis tersebut sedang marah namun emosi pada raut wajahnya pula gagal melambangkan rasa tersebut dengan sebaik mungkin. Walau bagaimanapun, ia satu peluang yang baik buat pelakon Tia Sarah untuk pergi lebih jauh kerana berlakon di dalam filem yang dpenuhi ramai bintang ternama.  


Memandangkan pengarah Jeany Amir terkenal sebagai pengarah komersial sebelum ini jadi tidak dinafikan sinematografi filem ini berada di dalam kelasnya tersendiri. Walaupun bukan semua adegan filem ini berjaya memaparkan keindahan sinematografi seperti filem-filem Khabir Bhatia yang terkenal dengan kehebatannya di dalam sudut tersebut namun kami akui beberapa babak di dalam filem ini berjaya membuatkan kami terpesona dengan keindahan yang dipaparkan. Sehingga hari ini, kami masih kagum dengan babak kedai buku lama dimana sinematografinya berjaya menggabungkan setiap sudut untuk bercerita dengan para penonton terutamanya sewaktu  adegan Aishah membuka helaian buku lama sambil menghidu aroma buku tersebut. Serius babak di kedai buku ini sangat cantik dan kelihatan begitu mahal yang membuktikan filem Bu sememangnya dihasilkan secara bersungguh-sungguh dan bukan sekadar melepaskan batuk di tangga.


Secara keseluruhannya, plot penceritaan filem ini bergerak dengan sangat baik namun kami menyedari terdapat dua adegan yang walaupun kelihatan remeh tetapi agak mencacatkan momentum tontonan kami. Babak pertama ialah di hospital dimana adegan seorang doktor wanita yang bercakap dengan Hafiz tentang masalah komplikasi isterinya Nora. Kelakarnya disini ialah doktor tersebut bercakap di hadapan Nora sebelum Hafiz mengajak doktor tersebut untuk berbual di luar tetapi masih dapat didengari oleh Nora. Memang kelihatan remeh tetapi ia sedikit sebanyak mencacatkan sedikit penceritaan filem ini yang bergerak dengan agak baik sebelum tiba adegan tersebut. Selain itu, babak melibatkan kemalangan yang kelihatan sangat cantik menggunakan drone tetapi susunan props yang berada dekat dengan watak yang dilanggar itu kelihatan tidak nyata. Nampak sangat ia disusun dengan begitu sempurna dan menyebabkan sekali lagi babak-babak penting sebegini yang sepatutnya dinikmati oleh penonton berubah menjadi bahan ketawa hanya disebabkan perkara-perkara remeh sebegini.


Walau bagaimanapun, kami secara peribadi sangat terhibur dengan jalan cerita filem Bu ini. Jadi, pastikan anda memberikan sokongan dengan pergi ke panggung wayang untuk menonton filem Bu di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 11 April 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Akan Diulas Ialah Sebuah Filem Tempatan Yang Cukup Hebat Berjudul Fly By Night. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan