Review Filem Watchman


Filem:
Watchman

Penilaian:
6/10

Pengarah:
A.L. Vijay

Genre:
Drama & Ngeri

Pelakon:
G.V. Prakash Kumar, Samyuktha Hegde, Yogi Babu & Etc.

Tarikh Tayangan:
12 April 2019

Pengedar:
DMY Creation Sdn Bhd

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang lelaki kelas pertengahan bernama Bala yang berhasrat untuk bertunang dengan kekasihnya iaitu Anita. Sebelum itu, dia harus melangsaikan hutangnya kepada Velu. Akibat tidak berjaya mendapatkan wang, Bala terpaksa mengambil keputusan untuk melakukan rompakan di sebuah rumah mewah. Dikhabarkan rumah tersebut tidak berpenghuni kerana keluarganya pergi bercuti. Namun, Bala berhadapan masalah apabila memasuki rumah tersebut kerana terdapat seekor anjing yang bertindak mengawal rumah itu dan cuba menangkap Bala. Tetapi, masalah besar pula timbul apabila sebenarnya rumah tersebut bukan sekadar berpenghuni tetapi mempunyai pelawat tanpa diundang yang cukup menakutkan. Apakah sebenarnya bala yang bakal dihadapi oleh Bala? Saksikan filem yang penuh dengan kejutan ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 12 April 2019 ini untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah kami di portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton filem Watchman yang merupakan sebuah filem Tamil di Amerin Cineplex, Seri Kembangan pada 12 April 2019 yang lepas. Filem yang merupakan arahan pengarah Vijay ini merupakan sebuah filem thriller jenayah yang menggabungkan watak-watak lakonan manusia serta seekor anjing bernama Bruno yang berjaya menyerlah dengan cukup baik di dalam filem yang berdurasi sekitar 2 jam 15 minit ini


Permulaan filem ini untuk tiga puluh minit awal yang dilihat gemar bermain dengan teknik visual imbas kembali dan digabungkan dengan babak situasi semasa adakalanya menarik dan adakalanya agak membosankan. Kami melihat ia satu percubaan yang sebenarnya menarik namun disebabkan pengulangan beberapa babak menjadikan momentum perjalanan filem ini pada awalnya kelihatan seperti tersekat-sekat dan sangat perlahan. Filem ini kemudian kembali berada pada paksi menariknya apabila pertemuan Bala dan anjing bernama Bruno yang mencetuskan pelbagai elemen sama ada humor, kejutan dan juga aksi. Namun, sekali lagi babak pertemuan ini mula membuahkan bibit-bibit kekecewaan disebabkan adegan-adegan ini yang terlalu meleret dan penonton akan disajikan dengan watak Bala yang sering kali terjatuh di dalam percubaannya untuk memecah masuk rumah atau sewaktu melarikan diri daripada dikejar anjing bernama Bruno tersebut.


Namun, naratif penceritaan mula bergerak cemerlang saat Bala berjaya memasuki ruang rumah mewah tersebut dimana hasil kerja kamera dan sinematografi yang cukup cemerlang berjaya membantu memaparkan keindahan di sebalik kegelapan kawasan rumah tersebut. Penonton akan dapat melihat dengan jelas segala butiran yang wujud di dalam rumah tersebut sebelum mula dikejutkan dengan perubahan plot yang pada kami agak cemerlang dimana wujudnya manusia lain di dalam rumah tersebut. Cara bagaimana babak ini dipaparkan juga agak menarik kerana wujudnya elemen seram serta kejutan yang tidak disangka-sangka sebelum teknik imbas kembali mula dimainkan sekali lagi bagi memperkenalkan watak-watak asing yang wujud di dalam filem ini.


Debaran di pertengahan filem berjaya menjadikan karya ini tidak lagi perlu dipandang sepi seperti mana pada separuh masa pertama filem ini berjalan. Kewujudan watak-watak antagonis ini berjaya ditangani dengan baik tanpa perlu skrip yang panjang berjela-jela. Lebih menarik filem ini tidak memaparkan lagu-lagu romantis yang kerap kali mengganggu tontonan apabila babak-babak penting timbul. Kami boleh nyatakan elemen thriller aksi di dalam filem ini berjaya diterjemahkan dengan baik melalui sentuhan aksi yang dipaparkan oleh satu-satunya haiwan di dalam filem ini iaitu anjing bernama Bruno. Terima kasih kepada pihak pelatih anjing ini kerana berjaya mendidik Bruno untuk memberikan persembahan yang sangat mengagumkan melalui urutan aksi yang cukup menghiburkan. Anda akan disajikan dengan aksi Bruno menyelinap masuk, bersembunyi, melompat tinggi dan berlari dari serangan watak-watak antagonis dengan persembahan lakonan yang sangat boleh dipercayai.


Selain kehebatan aksi anjing Bruno serta kecantikan sinematografi, filem ini juga sangat dibantu oleh skor latar belakang muzik yang begitu memainkan peranan yang besar di dalam mewujudkan elemen debaran serta kejutan kepada penonton. Selalunya, filem-filem dari Kollywood gemar bermain dengan skor muzik yang bingit tetapi ia berbeza untuk filem Watchman dimana ada banyak babak di dalam filem ini yang berjaya diberikan peluang untuk menyerlah hidup dengan suasana sunyi tanpa bantuan muzik. Hasilnya ia memberi satu pengalaman menyeronokkan kepada penonton apabila plot cerita dapat berkembang dengan lebih baik dan berjaya menyampaikan suasana cemas dan kejutan tersebut kepada penonton dengan cemerlang.


Namun, harus diakui perjalanan ceritanya pada peringkat pertengahan dan klimaks kelihatan terlalu tergesa-gesa dimana perkembangan watak-watak antagonis di dalam filem ini gagal dikembangkan dengan sebaik mungkin. Filem ini terlalu banyak membazirkan masa kepada watak Bala serta anjing Bruno sewaktu permulaan filem. Kemunculan pak lawak yang cukup dikenali di dalam industri filem Kollywood iaitu pelakon Yogi Babu masih mampu memberi impak walaupun hanya muncul untuk beberapa adegan namun ia berbeza dengan watak-watak antagonis berlima yang berjaya memberikan persembahan lakonan yang baik namun gagal menyerlah kerana jalan cerita filem ini yang gagal memberikan kesempatan buat mereka untuk bersinar seperti mana yang diperoleh oleh watak Bala dan Bruno.  


Filem Watchman sebenarnya membawakan sebuah mesej ringkas tentang jenayah boleh berlaku apabila seseorang individu terlalu terdesak untuk memperoleh wang pada masa yang singkat. Mesej ini berjaya dipaparkan namun ia kelihatan terlalu ringan dan santai. Adakalanya anda akan keliru adakah filem ini cuba mengangkat watak bernama Bala sebagai fokus utamanya atau watak anjing Bruno sebagai wira atau watak lain sebagai penyebab kepada wujudnya filem ini. Namun, secara keseluruhan filem ini masih menghiburkan untuk ditonton. Jadi, selamat menonton filem Watchman dan sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Akan Diulas Ialah Sebuah Filem Kantonis Yang Sangat Menarik Berjudul Still Human. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan