Review Filem Fly By Night


Filem:
Fly By Night

Penilaian:
9/10

Pengarah:
Zahir Omar

Genre:
Jenayah, Drama & Ngeri

Pelakon:
Sunny Pang, Jack Tan, Fabian Loo, Bront Palarae,
Eric Chen, Frederick Lee, Joyce Harn, Iedil Putra & Etc.

Tarikh Tayangan:
11 April 2019

Pengedar:
Skop Production

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan sekumpulan pemandu teksi di Kuala Lumpur yang menjalankan aktiviti jenayah kecil dengan memeras ugut penumpang kaya yang mereka bawa dari lapangan terbang. Namun, ia menjadi sebaliknya apabila seorang pemandu teksi muda mengambil keputusan untuk bekerjasama dengan salah seorang daripada mangsa mereka untuk mengugut kekasihnya yang curang dan menyebabkan semua perkara menjadi kacau bilau. Saksikan filem yang sangat menarik ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 11 April 2019 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada pihak BMW Group Malaysia dan Empire Film Solution untuk menghadiri tayangan premier filem Fly By Night bertempat di MBO Cinemas, Starling Mall pada 4 April 2019 yang lepas. Kami melihat filem thriller jenayah yang penuh aksi mencemaskan ini mempunyai keunikannya yang tersendiri dimana secara zahirnya filem ini merupakan filem pertama arahan Zahir Omar. Namun, apa yang menariknya disini lelaki ini merupakan seorang pengarah Melayu yang berjaya mengarahkan sebuah filem berbahasa Mandarin dengan jayanya sekali. Untuk info tambahan, Zahir Omar sebelum ini merupakan penolong pengarah kepada pengarah filem tersohor di Malaysia iaitu Allahyarham Yasmin Ahmad.


Sebelum kami meneruskan ulasan tentang filem Fly By Night ini, kami ingin berkongsi secara ringkas tentang filem ini buat anda yang sedang membaca. Filem ini mula diperkenalkan di Pesta Filem Antarabangsa Busan 2018 selepas dipilih menjadi salah satu daripada enam filem cerita yang menerima Dana Pasca Penerbitan daripada Dana Filem Asia (Asian Cinema Fund, ACF). Seterusnya filem ini ditayangkan buat pertama kalinya di Amerika Syarikat di Pesta Filem Antarabangsa Santa Barbara 2019 sebelum diikuti kemudiannya di Pesta Filem Asian New York 2019 dan mendapat pujian yang sangat tinggi daripada penonton di sana. Filem ini turut menerima sambutan yang cukup hangat di Macau apabila terpilih untuk ditayangkan semasa edisi ke-3 Pesta & Anugerah Filem Antarabangsa (IFFAM) Macao dalam bahagian saingan baharu untuk filem dalam bahasa Cina. Akhirnya, para penonton di Malaysia kini berpeluang untuk menonton sebuah filem yang mengambil masa selama empat tahun untuk disiapkan ini bermula pada 11 April 2019 yang lepas.


Menonton filem Fly By Night ini mengingatkan kami kepada filem One Two Jaga. Bukannya kerana kedua-kedua karya ini sama dari sudut penceritaannya tetapi persamaan ini datangnya daripada hasil paparan anggota polis yang menjadikan filem ini sebagai filem kedua yang berani dan berjaya menonjolkan perihal wajah anggota polis atas nama karya dan seni. Mungkin jika dilihat perkara ini tidak nampak yang baru apabila membandingkannya dengan filem-filem luar seperti Bollywood mahu pun Hong Kong namun untuk pasaran Malaysia, filem ini turut bertindak sama seperti filem One Two yang menampilkan kisah baru yang unik bagi sebuah karya tempatan untuk ditonton oleh kita semua.

 
Penceritaan filem ini yang menjadikan kehidupan pemandu teksi sebagai teras filem ini adalah satu pilihan yang sangat segar. Ia menjadikan sisi-sisi filem ini seolah-olah satu pengembaraan baru buat para penonton untuk menyelami kehidupan golongan pertengahan yang jarang kita ambil peduli walaupun ada di kalangan kita yang selalu menggunakan perkhidmatan mereka. Kami sangat menyukai pertembungan dua pemikiran berbeza di dalam filem ini yang memaparkan perbezaan ketara yang sangat asli di antara golongan lelaki matang seperti Tai lo (Sunny Pang) serta golongan muda yang bersikap tergesa-gesa seperti Sai Lo (Fabian Loo) dimana perbezaan inilah yang berjaya memacu momentum penceritaan ke satu tahap yang lebih menarik untuk dinikmati. Ini kerana dapat dilihat disini bahawa Tai Lo melakukan jenayah bukannya berniat untuk hidup bermewah-mewah tetapi lebih kepada sekadar cukup untuk menjadikan keluarganya hidup sederhana tetapi bahagia. Ianya berbeza dengan Sailo sebagai seorang pemuda yang ingin hidup lebih mewah sehingga mengambil keputusan untuk bertindak sendiri tanpa berfikir kesan buruk di kemudian hari. 


Filem ini sebenarnya berjaya memaparkan banyak perkara atau mesej yang walaupun secara zahirnya kelihatan tidak sepatutnya dilakukan tetapi inilah realiti yang terjadi di sekeliling kita pada hari ini gara-gara wang dan nafsu. Ianya juga berjaya disampaikan di dalam kotak pandang yang berbeza melalui semua watak yang wujud di dalam filem ini. Jadi, penonton akan merasa dekat dengan semua watak-watak ini tidak kira ianya adalah watak protagonis mahu pun antagonis. Jangan terkejut jika tanpa sedar anda menyokong watak antagonis sewaktu menonton filem ini nanti. Selain itu, dapat dilihat bagaimana filem ini berjaya menyampaikan suara wanita yang walaupun minimum namun berjaya memberi kesan yang sangat maksimum di dalam filem ini terutamanya berkaitan elemen kekeluargaan dan kepercayaan kepada institusi keluarga. 



Kami turut menyukai filem Fly By Night ini disebabkan bagaimana setiap watak-watak ini dicipta, dikembangkan dan kemudian berjaya disatukan dengan cukup cantik bagi menjadikan susur galur penceritaannya kemas dan puas untuk ditonton. Setiap watak tidak kira watak utama hatta sekecil watak sampingan berjaya menyinar dan mencuri perhatian penonton sepanjang filem ini bersiaran di layar perak tempoh hari. Kami sangat menyukai dua watak yang pada kami telah berjaya memberikan kesan positif yang cukup hebat buat filem ini iaitu watak Inspektor Kamal (Bront Palarae) dan Jared (Frederick Lee) yang cukup tenang karakternya sebelum berubah menjadi bertentangan pada pertengahan dan penghujung filem. Bront Palarae berjaya membuktikan bahawa tahun-tahun kebelakangan dan bakal mendatang ini merupakan tahun bertuah baginya kerana berjaya memperoleh watak-watak yang hebat, meyakinkan dan boleh diingati oleh penonton. Lakonannya yang bersahaja di dalam filem ini berjaya menipu penonton pada separuh masa pertama filem ini sebelum penonton bakal dikejutkan dengan pembongkaran kisah sebenar watak Inspektor Kamal. Menyentuh berkenaan lakonan Frederick Lee yang memegang watak Jared iaitu seorang ketua gangster yang sangat psiko, kami boleh nyatakan bahawa pelakon ini wajib diberi pujian yang menggunung disebabkan prestasi serta persembahan lakonannya yang cukup mantap. Bukan sekadar bijak bermain dengan lenggokan suara serta lontaran dialog namun permainan gerak tubuh serta reaksi wajahnya berjaya menjadikan penonton cemas acap kali ketika watak ini muncul untuk menyeksa mangsa-mangsanya yang terpilih. Walaupun filem Fly By Night ini jelas mempamerkan watak-watak lelaki sebagai kuasa dominan di dalam filem ini namun watak-watak wanitanya juga turut tidak ketinggalan untuk sama-sama memberi kesan di dalam filem ini. Pelakon Joyce Harn yang melakonkan watak sebagai Reanne berjaya mengangkat kuasa provokasi kata-kata wanita di dalam mencengkam kehidupan watak Sailo dan Gwailo untuk tunduk kepadanya tanpa mereka sedar. Lebih menarik kemunculan seketika watak ibu kepada Tai Lo dan Sai Lo juga berjaya meninggalkan kesan yang cukup baik buat penonton untuk merasai bagaimana hati seorang ibu yang melihat dan mengetahui tentang perihal anak-anaknya yang melakukan jenayah.


Hasil kerja sinematografi di dalam filem ini juga cukup cantik kerana kami melihat bagaimana dunia serta jiwa sebenar kehidupan di bandaraya Kuala Lumpur berjaya disampaikan melalui visual. Ada beberapa babak tanpa suara watak yang berjaya menyampaikan kisahnya yang tersendiri kepada penonton. Selain itu, kami turut merasa kagum dengan babak-babak aksi pergaduhan atau pun babak kejar mengejar antara pihak polis dan watak-watak utama di sekitar lorong-lorong serta bangunan di kawasan Kuala Lumpur yang pada kami cukup kemas, tersusun dan sangat membantu kepada penceritaan filem ini. Kami melihat babak-babak yang dinyatakan tadi setaraf dengan filem-filem antarabangsa kerana visual tersebut jelas dibuat dengan penuh teliti dan bersungguh-sungguh. Selain itu, teknik solekan yang diguna pakai di dalam filem ini juga boleh dikatakan sangat baik dan membantu menjadikan filem ini kelihatan lebih gore dalam bentuk semula jadi.



Satu perkara terakhir yang membuatkan filem ini sangat istimewa bagi kami ialah pengakhiran kisahnya yang memberi peluang kepada penonton untuk membuat andaian atau kesimpulan sendiri mengikut apa yang anda percaya atau rasakan. Kami sendiri mempunyai teori tersendiri di dalam jawapan kepada penamat cerita filem ini namun kami tinggalkan disini sebagai tanda tanya buat anda semua agar pergi menonton filem hebat ini di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 11 April 2019 ini. Jadi, selamat menonton filem Fly By Night dan sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Akan Diulas Ialah Sebuah Filem Yang Dinanti-Nanti Pada Minggu Ini Iaitu Filem Hellboy. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

3 Ulasan

  1. Akan tonton film ini, TQ Hans. Review Hellboy... bring it ON, heheh

    BalasPadam
  2. Berjaya tonton semlm. Tepat sekali review Hans. Memang menarik, mantap dan harus menerima pujian. Sayang nya, oleh kerana kurang promotion, saya rasa tak ramai mengetahui kewujudan film ni. Saya tahu pon sebab Hans yg rekemen. Satu lagi waktu tayangan yg tak byk. Ni masok minggu kedua dah tinggal satu dua je show, timing pon byk waktu pejabat. Tapi saya usaha jugak tengok tanda sokongan kpd industri film Malaysia. Para pembaca blog ni, mesti tonton film ini sebelom Avengers End Game tiba...

    BalasPadam