Review Filem Still Human


Filem:
Still Human

Penilaian:
8/10

Pengarah:
Oliver Siu Kuen Chan

Genre:
Drama 

Pelakon:
Anthony Wong, Crisel Consunji, Sam Lee, Cecilia Yip & Etc.

Tarikh Tayangan:
18 April 2019

Pengedar:
TGV Pictures

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang lelaki pertengahan usia lumpuh dari dada akibat kemalangan. Dia ditinggalkan oleh isterinya yang berkahwin lain dan membawa bersama anak lelakinya tinggal di Amerika Syarikat. Dia perlu bergantung kepada bantuan daripada pembantu rumah barunya, iaitu seorang wanita Filipina yang bercita-cita mahu menjadi jurugambar. Saksikan filem yang sangat menarik ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 18 April 2019 ini untuk mengetahui kisah selanjutnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah dijemput oleh pihak TGV Pictures untuk menghadiri tayangan media untuk menonton filem Still Human di TGV One Utama pada 8 April 2019 yang lepas. Filem ini dicalonkan di dalam lapan kategori Anugerah Filem Hong Kong termasuk untuk dua kategori utama iaitu untuk anugerah Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik. Jadi, apa yang kami boleh katakan disini ialah filem Still Human merupakan salah sebuah karya terbaik dari Hong Kong yang berjaya diterbitkan pada tahun 2018 disana. 


Kami sebenarnya sangat tertarik dengan filem Still Human ini. Bukan sahaja disebabkan oleh perubahan ketara yang ditampilkan oleh pelakon utamanya Anthony Wong yang lari daripada watak stereotaip lakonannya sebelum ini tetapi juga kerana jalan ceritanya berjaya menampilkan realiti sosial kehidupan antara majikan serta pembantu rumah yang cukup menyentuh jiwa. Ia berjaya disampaikan dengan cukup baik melalui watak majikan bernama Cheong Wing yang lumpuh separuh badan dan memerlukan pertolongan pembantu rumah iaitu Evelyn Santos untuk menguruskan kehidupannya di dalam urusan kerja rumah, mandi sehingga lah pada waktu tidur. Kisahnya pada zahir tampak biasa tetapi bagaimana filem ini membentuk penceritaannya dengan memanfaatkan perbezaan setiap watak yang menjadikan ia sebuah karya yang kelihatan lain daripada kebiasaannya. Penonton pasti akan terhibur melihat bagaimana watak utama Cheong Wing dan Evelyn ini menghadapi masalah di dalam berkomunikasi kerana Cheong Wing tidak mahir bahasa Inggeris manakala Evelyn pula tidak memahami langsung bahasa Kantonis. Jadi, bagaimana perkembangan watak-watak ini dibentuk untuk menyesuaikan diri itu menjadikan jalan ceritanya sangat menarik untuk ditonton dan mudah untuk menyentuh hati para penonton sepanjang filem ini berlangsung.


Filem Still Human berjaya memanfaatkan durasi masanya untuk menyentuh banyak perkara menarik berkaitan kehidupan. Mesej-mesej yang cuba disampaikan di dalam filem ini sebenarnya ringan tetapi sekali lagi disebabkan kebijaksanaan pengolahan cerita menjadikan ianya satu perkara yang cukup luar biasa dan menyentuh jiwa. Tema utama tentang filem ini ialah berkaitan impian dan harapan. Setiap manusia mempunyai impian dan mengharapkan agar impian tersebut menjadi kenyataan. Di dalam filem ini, hal tersebut berjaya disampaikan dengan cukup mudah dan mengubah pandangan kita di dalam banyak perkara. Ia dapat dilihat bagaimana watak Cheong Wing ini yang sebenarnya putus harapan disebabkan kekurangan yang terjadi kepadanya pasca kemalangan berjaya mendapat jiwa baru disebabkan satu perkataan bernama impian. Begitu juga dengan watak Evelyn yang ditampilkan di dalam sisi yang berbeza dimana pada mulanya dia mempercayai perihal impian dan memaksa Cheong Wing untuk menerima hakikat manusia sentiasa boleh berimpian sebelum Evelyn sendiri mengkhianati kepercayaan tersebut apabila membuang impiannya jauh-jauh atas desakan wang. Namun, ironinya apabila watak Cheong Wing tetap mempercayai kejujuran Evelyn dan memberinya satu lagi peluang untuk mencapai cita-citanya melalui sebuah kamera. Perjalanan struktur penceritaan di dalam menguatkan hubungan antara kedua-dua watak ini sememangnya kelihatan sangat ketara berjaya. Elemen kekeluargaan merupakan teras utama kepada filem ini yang memberikan watak Cheong Wing dan Evelyn peluang untuk mengimpikan perkara positif yang mereka dambakan di dalam kehidupan. Ia menarik untuk melihat dari sisi pandang kedua-dua watak ini yang tanpa sedar saling menyokong antara satu sama lain yang menjadikan nilai-nilai kemanusiaan jelas terserlah pada keseluruhan filem ini.


Filem ini juga bijak menyentuh perihal hubungan majikan dan pembantu rumah ini yang memberikan penonton pilihan bagaimana untuk mereka memandang, menerima atau mempercayai sejauh mana ia boleh dibentuk dan diguna pakai melalui sisi pandang banyak watak di dalam filem ini yang mewakili pihak majikan dan pihak tuan rumah. Ia sangat menarik untuk melihat bagaimana sekumpulan pembantu rumah dari Filipina berkumpul dan berbicara tentang perihal layanan tuan rumah, nilai gaji yang diterima serta tujuan sebenar mereka merantau ke Hong Kong untuk bekerja. Disini kami dapat melihat beberapa konflik menarik yang melanda watak Evelyn dimana pertentangan jiwanya dapat dilihat apabila ia sering kali memikirkan tentang kewangan, keluarga serta tanggungjawabnya sebagai manusia kepada manusia lain. Perdebatan rasa tersebut yang membuatkan watak Evelyn kelihatan terlalu dekat dengan jiwa kita sendiri yang turut akan memikirkan perkara yang sama saat bekerja dimana-mana sekali pun dimana apakah tujuan sebenar kita bekerja. Adakah untuk memperoleh wang yang banyak? Adakah untuk kekal hidup secara relevan? Adakah untuk menaik taraf kehidupan? Atau adakah untuk membantu kehidupan majikan kita? Perkara-perkara ini yang menjadi titik tolak kepada watak Evelyn ini untuk berkembang menjadi satu watak yang cukup simbolik buat manusia yang tersepit di dalam membuat pilihan keputusan yang ada di hadapan mata.


Selain daripada kekuatan jalan cerita yang berjaya digarap dengan baik, pemilihan pelakon yang membintangi watak-watak utama di dalam filem ini juga merupakan satu lagi kunci kepada kejayaan besar filem ini. Keserasian yang wujud pada pelakon Anthony Wong dan Crisel Consunji menjadi tunjang utama di dalam menjadikan filem bergenre drama ini berjaya menyampaikan satu emosi sinematik yang sungguh mengusik kalbu. Anda sebagai penonton akan mendapati keseluruhan emosi dapat dirasai melalui watak Cheong Wing dan Evelyn ini  saat menonton sepenuhnya filem Still Human ini. Watak-watak ini adalah jawapan kepada hati dan jiwa manusia yang sebenarnya keliru di dalam pilihan yang mereka ada dalam kehidupan yang sedang mereka lalui dan hadapi.


Filem ini turut dibantu oleh sinematografi yang sungguh menawan dimana ia dipaparkan di dalam kebanyakkan babak filem ini sama ada di ruangan perumahan yang sempit, kawasan pertengahan bangunan perumahan yang unik, hasil-hasil gambar yang ekslusif serta pemandangan latar yang dipenuhi salji kekabu yang sungguh mengasyikkan. Filem Still Human merupakan sebuah filem hebat yang wajar ditonton kerana ia berjaya menyampaikan suara manusia-manusia kelas pertengahan dan bawahan dengan begitu teliti untuk diingati dan dihayati sebaik mungkin. Filem yang penuh dengan nilai-nilai kemanusiaan serta mesej kehidupan yang berjaya dipadatkan dengan elemen humor untuk menjadikan tontonan anda sebuah pengalaman yang cukup berharga dan bukannya sia-sia.


Jadi, selamat menonton filem Still Human dan sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Akan Diulas Ialah Sebuah Filem Seram Indonesia Berjudul DreadOut. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan