Review Filem Redcon-1


Filem:
Redcon-1

Penilaian:
3/10

Pengarah:
Chee Keong Cheung

Genre:
Aksi, Fiksyen Sains & Ngeri

Pelakon:
Oris Erhuero, Katarina Waters, Mark Strange, Carlos Gallardo, Joshua Dickinson & Etc.

Tarikh Tayangan:
18 April 2019

Pengedar:
GSC Movies

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan tentang kisah satu bandar di Britain yang dijadikan zon larangan selama 72 jam gara-gara dipenuhi oleh manusia yang bertukar menjadi zombi tanpa diketahui puncanya. Sebuah pasukan skuad elit tentera dikerahkan di dalam misi berbahaya ini untuk mencari dan menyelamatkan seorang saintis yang dikatakan menjadi punca kepada gejala ini dan disyaki mempunyai penawar yang diingini pasukan tentera. Saksikan filem ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 18 April 2019 ini untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah kami di portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton filem Redcon-1 yang merupakan sebuah filem bertemakan kisah zombie di Amerin Cineplex, Seri Kembangan pada 19 April 2019 yang lepas. Sebagai salah seorang peminat filem-filem bertemakan zombie, kami telah lama menantikan filem ini ditayangkan di Malaysia untuk melihat bagaimana filem berbaget kecil ini mampu memberi kejutan yang cukup hebat kepada kami. Filem ini dilihat terlalu bercita-cita tinggi tetapi perlaksanaan plot jalan ceritanya yang lemah telah menggagalkan impian tersebut dan meninggalkan ia jauh terbelakang.


Walaupun filem Redcon-1 ini cuba menampilkan spesis zombie terbaru yang mampu berevolusi dari segi kecerdasan pemikiran sehinggakan dilihat mampu menggerakkan pasukan tentera dengan cukup hebat menentang orang awam namun perkembangan ceritanya berdasarkan teras utama iaitu zombie itu sendiri sangat berliku-liku, bercanggah antara satu sama lain dan pada akhirnya mengelirukan penonton yang pening memikirkan apa sebenarnya pembaharuan yang cuba disampaikan di dalam kisah zombie di dalam filem ini. 


Walaupun filem Redcon-1 ini penuh dengan adegan gore dan slasher yang kami akui tidak langsung mengecewakan namun struktur ceritanya gagal diperkembangkan dengan sebaik mungkin. Sebaliknya masa-masa keemasan filem ini banyak dibazirkan dengan pergaduhan serta pembunuhan sesama pasukan tentera yang kami lihat terlalu meleret dan tidak menyokong penceritaan watak. Belum lagi ditambah dengan kisah sekumpulan penjenayah yang mengecat wajah mereka dengan lukisan tengkorak yang menimbulkan kelompongan kisah yang sangat besar di dalam penceritaan filem ini. Secara keseluruhannya, plot penceritaan filem ini gagal diolah dengan kemas dimana ia membantutkan perkembangan hampir keseluruhan watak-watak utama di dalam filem ini. 


Apa gunanya kehebatan babak-babak gore yang ngeri di dalam filem ini jikalau plot penceritaan filem ini terlalu kacau bilau dan melilau sana sini tanpa arah tujuan? Tetapi, jika anda meminati filem bertemakan zombie ini semata-mata kerana dahagakan babak-babak ganas yang bermain dengan darah dan menjijikkan tanpa peduli tentang penceritaannya maka filem Redcon-1 ini pasti bersesuaian dengan kehendak anda.


Jadi, selamat menonton filem Redcon-1 di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 18 April 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Akan Diulas Ialah Sebuah Filem Bollywood Yang Memaparkan Kisah Sejarah Yang Cukup Menarik Berjudul Kesari. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan