Review Filem Bumi Itu Bulat


Filem:
Bumi Itu Bulat

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Ron Widodo

Genre:
Komedi, Romantik & Remaja

Pelakon:
Rayn Wijaya, Febby Rastanty, Rania Putrisari, Kenny Austin, Qausar Harta & Etc.

Tarikh Tayangan:
18 April 2019

Pengedar:
Astro Shaw

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan sekumpulan anak muda yang ingin merealisasikan impian mereka dalam bidang nyanyian dengan menubuhkan sebuah kumpulan bernama Rujak Acapella. Anda akan dibawa melihat perjalanan remaja Rahabi, Markus, Syahid dan Tiara yang mengejar impian mereka untuk menjadi penyanyi terkenal melalui Rujak Acapella. Rahabi tekad untuk membuktikan kepada ayahnya bahawa kumpulan nyanyian mereka akan berjaya. Seorang komposer muzik menawarkan mereka kontrak rakaman album dengan syarat iaitu Aishia yang seorang penyanyi yang pernah popular suatu masa dahulu perlu menyertai kumpulan Rujak Acapella. Berjayakan mereka memujuk Aishia untuk kembali menyanyi? Saksikan filem ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 18 April 2019 ini untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah kami di portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton filem Bumi Itu Bulat yang merupakan sebuah filem dari Indonesia di Amerin Cineplex, Seri Kembangan pada 19 April 2019 yang lepas. Bertentangan dengan nama tajuk filem ini, ia bukan sebuah filem bergenre sains fiksyen atau dokumentari. Tetapi, filem ini memberi penekanan kepada soal persahabatan, keluarga serta agama yang digarap dengan cara yang santai bagi memudahkan penerimaan penonton terhadap mesej-mesej berat bersifat sejagat ini.


Filem Bumi Itu Bulat membawakan sebuah latar kisah anak-anak muda Indonesia yang mempunyai keinginan serta punya cita-cita tersendiri di dalam menentukan masa depan mereka. Kekuatan filem ini apabila ia memanfaatkan elemen agama yang berbeza untuk digabungkan di dalam kisah sekumpulan anak muda yang meminati muzik dan menubuhkan sebuah kumpulan yang diberi nama Rujak Acapella. Nama Rujak itu sahaja sudah memadai untuk memberitahu penonton bahawa filem ini cuba menyampaikan satu mesej keamanan melalui konsep beragama dengan memahami serta mentaati seruan agama bagi mewujudkan suasana kehidupan bermasyarakat yang harmoni dan toleransi antara mereka. Nampaknya naskah Bumi Itu Bulat bukan sahaja dilihat sangat relevan dan dekat dengan suasana kehidupan di Indonesia mahu pun Malaysia bahkan juga seantero dunia disebabkan temanya yang bersifat global dan cukup berani ini.


Kami tertarik untuk mengupas tentang keberanian filem ini di dalam bermain dengan isu-isu agama yang sensitif dan ada kalanya bersifat radikal melalui pertentangan kepercayaan dan pendapat antara watak Aisha, Rahabi dan Tiara. Satu babak berani yang kelihatan di dalam filem ini apabila Aisha mempersoalkan kepercayaan dan ketaatan agama buat ahli kumpulan Rujak Acapella apabila salah seorang daripada mereka bukannya beragama Islam melalui petikan makna ayat yang terdapat di dalam Al-Quran sebelum perkara ini dibidas semula oleh watak Tiara dengan petikan makna ayat Al-Quran yang seterusnya. Disini dapat dilihat bagaimana fahaman Islam yang dipegang oleh Aisha yang terlalu radikal tanpa bersumberkan guru yang mempunyai ilmu Islam yang sahih serta Tiara yang lebih bersifat toleransi seperti mana yang diamalkan di dalam ajaran Islam yang sebenar. Hal ini sangat bertepatan dengan tajuk filem ini sendiri iaitu Bumi Itu Bulat dimana kehidupan ini sentiasa akan menemukan sesiapa pun dari seluruh pelusuk dunia yang mempunyai pelbagai fahaman dan kepercayaan. Jadi, kami melihat nilai-nilai kemanusiaan serta isu-isu menarik berkaitan perbezaan agama ini sebagai satu mesej serta jawapan buat penonton supaya sedar dan memahami apa yang dimaksudkan dengan kehidupan bermasyarakat dan saling bersikap hormat dan toleransi antara satu sama lain.


Kami juga turut tertarik dengan elemen kekeluargaan yang cukup kuat dipaparkan di dalam filem Bumi Itu Bulat. Ia sangat menarik apabila filem ini memberi fokus kepada hubungan bapa dan anak yang sememangnya kelihatan begitu egonya disebabkan kedua-duanya ialah manusia bernama lelaki. Disini dapat dilihat bagaimana cara penyampaian melalui bahasa tubuh, dialog serta reaksi wajah kedua-dua watak sangat memainkan peranan di dalam menyampaikan permasalahan yang berlaku di antara hubungan anak dan bapa ini. Disini dapat dilihat bahawa si bapa kekurangan ilmu keibubapaan yang menjadikan si anak merasa keliru dengan layanan serta merasa tidak disayangi. Lebih menarik apabila melihat filem ini gemar bermain dengan ungkapan maaf oleh seorang ayah yang membawa definisi cukup berbeza pada setiap adegan yang memaparkan dialog tersebut.


Kami melihat filem Bumi Itu Bulat sebagai sebuah filem berkaitan kehidupan remaja yang masih santai. Kami sebenarnya mengharapkan filem ini lebih berani di dalam membawakan tentang kisah perbezaan fahaman agama dan bagaimana setiap daripada individunya ini mengaplikasikan perbezaan tersebut di dalam menterjemahkannya ke dalam kehidupan seharian. Secara keseluruhannya, filem ini agak menarik untuk ditonton kerana membawakan satu kisah yang sangat berbeza daripada naskah-naskah filem Indonesia lain yang acap kali muncul di pawagam kita. Jika dilihat pada kelemahan filem ini, apa yang paling ketara dapat dilihat oleh kami ialah jalan ceritanya yang terlalu mudah dan senang diramal serta penggunaan imej janaan komputer (CGI) yang terlalu berlebihan pada akhir filem yang adakalanya agak menganggu suasana asal filem tersebut. Namun, mesej besar yang cuba dibawakan dan disampaikan kepada penonton melalui filem ini adalah satu usaha yang menarik dan wajar diberi pujian.


Jadi, selamat menonton filem Bumi Itu Bulat di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 18 April 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Akan Diulas Ialah Sebuah Filem Zombie Berjudul Redcon-1. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan