Review Filem Kalank


Filem:
Kalank

Penilaian:
4/10

Pengarah:
Abhishek Varman

Genre:
Drama, Sejarah & Romantik

Pelakon:
Madhuri Dixit, Sonakshi Sinha, Alia Bhatt, Varun Dhawan, Aditya Roy Kapur, Sanjay Dutt & Etc.

Tarikh Tayangan:
17 April 2019

Pengedar:
Antenna Entertainments

Sinopsis:
Filem yang berlatarkan tahun 1945 di India ini mengisahkan sebuah keluarga elit di Husnabad, yang tinggal di sebuah pekan India Utara yang majoritinya masyarakat Muslim. Pertembungan di antara Roop Chaudhry yang datang dari keluarga elit Chaudhry itu dan Zafar yang merupakan seorang pemuda yang berani dari Hira Mandi telah membongkar kebenaran yang tersimpan selama ini yang akhirnya mengancam dunia kehidupan mereka. Mereka kini keliru di dalam memilih antara cinta, penghormatan atau kehidupan kerana situasi semasa yang tidak memihak kepada mereka. Saksikan filem ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 17 April 2019 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem Bollywood berjudul Kalank di TGV Cinemas Jaya Centre pada 18 April 2019 yang lepas. Secara jujurnya, kami sangat tertarik dengan trailer filem ini yang memaparkan sinematografi serta koreografer tarian yang sangat cantik dan cukup untuk memukau hati kami untuk pergi menonton filem ini secepat mungkin. Harapan kami terhadap filem ini terlalu tinggi namun rupa-rupanya apa yang menarik di dalam filem ini hanya lah yang kami telah tonton di dalam trailer.


Filem Kalank yang bermaksud kemusnahan ini sememangnya telah mendapat kritikan yang terlalu negatif buat para penonton di negara India. Kami mengakui negara India yang dikenali sebagai salah sebuah negara pengeluar filem sememangnya mempunyai penonton yang terlalu cerewet terhadap penceritaan setiap filem yang ditayangkan disana berbanding dengan penonton kita di Malaysia. Jadi, selepas menonton filem ini memang kami bersetuju bahawa filem ini menampilkan sebuah jalan cerita berkisarkan tentang hubungan cinta, keluarga dan kehidupan yang sememangnya sangat klise seperti mana kebanyakan filem komersial Bollywood yang lain. Filem Kalank ini boleh diletakkan di dalam satu kumpulan filem yang setaraf dengan filem Zero dan Thugs Of Hindostan dimana luarannya nampak gah tetapi keindahan dalamannya tenggelam ke dalam dasar yang sangat dalam. 


Apa yang positif dan hebatnya tentang filem ini ialah sinematografi, set lakonan, kostum para pelakon, solekan serta koreografer tarian yang sangat-sangat cantik, hebat dan membuatkan kami cukup terpesona semasa berada di dalam panggung. Kami cukup menyukai dunia Hira Mandi yang sangat berwarna-warni tetapi mempunyai emosi tersurat dan tersirat di dalam jiwa individu-individu yang berada di kawasan tersebut. Beberapa lagu di dalam filem ini juga memainkan peranan yang besar di dalam memberi nafas segar kepada elemen-elemen tersebut terutamanya ialah runut bunyi atau soundtrack utama filem ini yang berjudul Kalank Nahi Ishq Hai.


Namun, apa yang membuatkan filem Kalank ini kelihatan seperti kosong ialah kerana struktur kronologi penceritaan serta kelemahan skripnya yang sangat lemah. Walaupun filem ini menampilkan bintang-bintang ternama yang bukan calang-calang seperti Madhuri Dixit, Alia Bhatt, Varun Dhawan dan Sanjay Dutt namun kami melihat mereka semua gagal menyinar seperti yang dikehendaki disebabkan plot penceritaannya yang membosankan dan membantutkan perkembangan watak-watak utama ini untuk menguasai pemikiran penonton. Filem ini sebenarnya mempunyai sebuah jalan cerita yang sepatutnya boleh berkembang menjadi gah tetapi disebabkan ia cuba bermain di jalan yang selamat menjadikan penceritaan filem ini kelihatan terlalu malas dan memburukkan keseluruhan jalan cerita. 


Hubungan setiap watak gagal digabungkan dengan baik dan kelihatan terlalu tergesa-gesa sehingga membuatkan watak ini gagal menyentuh emosi penonton walaupun pada hakikatnya filem ini mampu melakukan perkara ini jika garapan kisahnya betul-betul diperhalusi sebaik mungkin. Perkembangan watak Zafar lakonan Varun Dhawan kelihatan begitu mengelirukan dimana watak ini dilihat tidak konsisten dan seolah-olah seperti cuba menjaga perasaan penonton India dan Pakistan yang berbalah tentang soal agama. Lebih menyedihkan babak-babak yang menampilkan tubuh kekar Varun Dhawan yang dibuat tanpa motif yang jelas turut mencacatkan penampilan pelakon tersebut di dalam filem ini. Alia Bhatt yang membawa watak sebagai Roop dilihat sebagai satu penyelamat kepada filem ini pada pandangan rakyat India namun kami melihat sebaliknya. Watak Roop juga kelihatan gagal bermain emosi dengan sebaik mungkin. Kami melihat ia bukannya kerana disebabkan kelemahan pelakon seratus peratus tetapi punca utamanya ialah disebabkan suntingan babak di dalam meneruskan kesinambungan serta kepentingan babak itu yang kelihatan seperti langsung tiada arah tuju yang jelas. Belum lagi dilihat bagaimana filem ini membazirkan kemunculan Madhuri Dixit serta Sanjay Dutt dengan hanya memberi fokus kepada nilai melodrama sahaja berbanding mengembangkan lagi sisi dua-dua watak pelakon ini yang lebih menarik untuk digali.


Mesej-mesej serta perkembangan watak di dalam filem ini boleh kami gambarkan sebagai kacau bilau. Belum lagi dilihat babak laga lembu dan matador ala-ala Sepanyol yang bukan sekadar menampilkan elemen imej janaan komputer yang lemah tetapi kewujudan babak tersebut juga wajar dipersoalkan kerana langsung tidak membantu perkembangan plot. Secara jelasnya, permasalahan besar filem ini ialah tentang kegagalan pihak produksi filem ini di dalam menghasilkan plot penceritaan yang lari daripada sebuah kisah yang klise, stereotaip dan terlalu melodrama. Semua penceritaan watak-watak ini terlalu berada di peringkat dasar yang menyebabkan filem ini hanya menang pada kecantikan luaran namun gagal menambat hati penonton kerana kehodohan isi dalamannya yang sudah basi zaman-berzaman.


Kalank masih merupakan sebuah filem yang boleh anda tonton jika anda gemarkan filem-filem Bollywood yang membawakan kisah yang tidak terlalu berat seperti ini. Cuma nasihat kami buat anda agar tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi buat filem ini kerana takut anda akan kecewa seperti mana kami yang terlalu mengimpikan untuk menonton sebuah filem yang hebat seperti mana yang dipaparkan di dalam trailer filem ini. Jadi, selamat menonton filem Kalank di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 17 April 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Akan Diulas Ialah Sebuah Filem Dari Indonesia Berjudul Bumi Itu Bulat. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan