Review Filem Fighting With My Family


Filem:
Fighting With My Family

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Stephen Merchant

Genre:
Komedi & Drama

Pelakon:
Florence Pugh, Jack Lowden, Nick Frost, Lena Headey, Vince Vaughn, Dwayne Johnson & Etc.

Tarikh Tayangan:
11 April 2019

Pengedar:
United International Pictures

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan keluarga Bevis yang terdiri daripada ahli gusti profesional yang menyara hidup dengan bergusti di tempat-tempat kecil di seluruh negara. Dua orang anak mereka iaitu Saraya dan Zak memasang impian untuk memasuki World Wrestling Entertainment (WWE) yang merupakan impian utama mana-mana ahli gusti di dunia ini. Impian mereka menjadi kenyataan apabila akhirnya kedua-dua mereka diberi peluang untuk hadir ke sesi uji bakat di WWE. Namun masalah mula timbul di dalam keluarga tersebut apabila salah seorang daripada mereka tidak terpilih yang menyebabkan hubungan kekeluargaan mereka mula dilanda masalah. Siapakah yang terpilih antara Saraya dan Zak? Mampukah mereka terpilih menjadi salah seorang ahli gusti profesional di WWE dan dikenali seluruh dunia? Saksikan filem yang cukup menarik ini di pawagam berdekatan anda untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berkesempatan menonton sebuah filem kekeluargaan yang menarik berjudul Fighting With My Family di MMcineplex E Curve pada 15 April 2019 yang lepas. Pada permulaannya, kami menyangkakan filem ini sekadar sebuah filem fiksyen ringan semata-mata kerana pergi menonton tanpa menyelidik sebarang maklumat hatta menonton trailer filem ini sekali pun. Namun, apabila mengetahui bahawa filem ini merupakan sebuah kisah benar yang diadaptasi daripada kisah hidup penggusti wanita terkenal yang mengubah dunia WWE menyebabkan kami berasa begitu bersemangat untuk menonton filem ini.


Dunia gusti World Wrestling Entertainment (WWE) sememangnya agak dekat dengan kehidupan rakyat Malaysia serta kanak-kanak pada era 1990-an dan awal tahun 2000. Jadi, apabila berpeluang untuk menyaksikan kisah Paige yang berjaya mengubah gusti wanita selama-lamanya di dalam dunia WWE sememangnya satu perkara yang sangat mengujakan. Walaupun kisahnya tentang Paige dan dunia WWE namun ia bukan lah bermaksud filem ini dipenuhi dengan adegan gusti seperti tumbuk, lompat dan melakukan penyudah untuk menang pertandingan di atas gelanggang. Filem ini lebih berkisahkan tentang perkembangan watak Paige atau nama sebenarnya ialah Saraya Jade Bevis di dalam perjalanannya daripada langsung tidak meminat gusti sehingga lah akhirnya dikenali oleh seluruh dunia. Kami sangat menyukai bagaimana ketagihan Paige di dalam arena ini disampaikan melalui penceritaan yang ringan dan begitu mudah difahami.


Menariknya filem ini ialah ia bukan sekadar penuh dengan mesej-mesej yang punya elemen kekeluargaan yang tinggi tetapi juga memaparkan ciri-ciri keghairahan manusia daripada pelbagai sudut yang tidak berkesudahan dengan cukup baik. Kami suka melihat bagaimana keinginan ibu bapa Paige yang terlalu cuba mengelak daripada terjerumus ke lembah jenayah semula tetapi tanpa sedar melakukan 'jenayah' kehidupan terhadap anak mereka sendiri walaupun pada akhirnya ia membantu Paige dan keluarga mereka keluar daripada masalah kewangan. Kami juga tertarik melihat bagaimana konflik perhubungan adik beradik yang tercetus antara Paige dan Zak usai keputusan pemilihan calon diumumkan. Penderitaan emosi yang dialami oleh kedua-dua watak ini berjaya diterjemahkan dengan cukup baik oleh pelakon Florence Pugh dan Jack Lowden untuk menjadikan penonton berbelah bahagi untuk memilih watak yang mana sebenarnya yang benar dan sebaliknya. Satu lagi sudut pandang menarik yang dapat dilihat di dalam pada ini ialah tentang sikap prejudis yang berjaya dipaparkan dengan cukup bijak. Watak Paige ini sebenarnya tidak selesa apabila dia sering dipandang sebagai sebuah keluarga yang pelik oleh rakan-rakannya di sekolah namun tanpa sedar watak ini turut terpalit sama di dalam menilai wanita-wanita seksi berambut blonde yang turut menjadi saingannya untuk dipilih sebagai penggusti wanita di WWE. Menarik untuk melihat dua babak yang penuh dengan dialog menarik antara Paige dan tiga orang penggusti wanita lain tentang kisah dan cabaran hidup sebagai wanita. Bagi kami, babak tersebut sangat kuat dan pastinya memberi kesan buat penonton yang menonton filem Fighting With My Family ini.


Filem Fighting With My Family menampilkan sebuah jalan cerita yang sebenarnya mudah diramal dan agak klise. Namun, filem ini berjaya diselamatkan hasil pemilihan adegan-adegan yang kuat dari segi emosi dan tujuannya di dalam penceritaan yang secara tidak langsung menjadikan filem ini sebagai sebuah filem daripada produksi WWE yang boleh dibanggakan. Pemilihan pelakon utamanya di dalam filem ini sangat tepat yang menjadikan kisah Paige @ Saraya ini dapat disampaikan dengan cukup baik. Pelakon wanita Florence Pugh wajar mendapat pujian untuk hasil lakonan serta prestasinya yang cukup bagus di dalam filem ini.


Filem ini walaupun mempunyai beberapa momen-momen keluarga yang bersifat kotor dan nakal namun ia tidak keterlaluan dan bertepatan dengan latar keluarga Paige sendiri yang berasal daripada dunia jenayah. Walaupun filem ini tidak sehebat Instant Family yang lebih berjaya menyentuh perasaan penonton namun kami akui filem Fighting With My Family masih sebuah naskah yang menghiburkan dan membawakan mesej-mesej kekeluargaan yang sangat positif buat para penonton filem ini.


Jadi, selamat menonton filem Fighting With My Family di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 11 April 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Akan Diulas Ialah Sebuah Filem Dari India Berjudul Kalank Yang Mendapat Tumpuan Hangat Peminat Filem Bollywood. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan