Review Filem Neeya 2


Filem:
Neeya 2

Penilaian:
2/10

Pengarah:
L.Suresh

Genre:
Drama & Seram

Pelakon:
Jai, Raai Laxmi, Catherine Tresa, Varalaxmi Sarathkumar & Etc.

Tarikh Tayangan:
24 Mei 2019

Pengedar:
Lotus Five Star

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Sarva yang takut untuk bercinta mahu pun berkahwin lagi kerana kehilangan isterinya akibat kemalangan dimana sami menyatakan ini disebabkan oleh kepercayaan tilikan agama yang menyatakan kedua-dua pasangan ini tidak sesuai untuk berkahwin kerana Sarva mempunyai 'Naga Dosham'. Seorang gadis bernama Divya pula terlalu sukakan Sarva sehingga mengaku bahawa mereka berdua secocok kerana telah disahkan oleh sami bahawa dia turut mempunyai 'Naga Dosham' seperti mana yang ada pada Sarva. Hakikatnya Divya hanya menipu. Perkahwinan mereka kini diuji oleh Malar yang merupakan gadis ular jadian yang percaya Sarva adalah suaminya yang bernama Vikram yang hidup pada kehidupan yang lampau. Malar sanggup melakukan apa sahaja demi mendapatkan Sarva. Mampukah Sarva dan Divya hidup bahagia dan bebas daripada gangguan Malar? Saksikan filem ini di pawagam berhampiran anda bermula 24 Mei 2019 untuk mengetahui keseluruhan kisahnya.

Ulasan:

Alhamdulillah kami di portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton filem Neeya 2 di Amerin Cineplex pada 24 Mei 2019 yang lepas. Tertarik dengan sinopsis filem ini berkaitan ular jadian dan seperti yang semua sedia maklum dimana industri filem Kollywood selalunya jarang mengecewakan penonton apabila memfilem naskah yang berkisarkan tentang hal ini. Namun, kejutan berlaku buat kami apabila filem Neeya 2 ini kelihatan sangat indah khabar daripada rupa. Bukan sahaja kelemahannya dapat dilihat pada perjalanan jalan cerita serta perkembangan wataknya tetapi juga atas sebab-sebab lain yang cukup mengecewakan kami yang menonton filem ini.


Jika anda pernah menonton siri drama Naagin di saluran televisyen TV3, anda pasti akan berasa tertekan menonton filem Neeya 2 ini kerana kualiti visual siri drama tersebut seribu kali lebih baik daripada apa yang anda lihat pada filem Neeya 2 ini. Kami melihat kualiti visual untuk filem ini sangat buruk dan seolah-olah menonton filem lama pada era 80-an. Kami boleh nyatakan kualiti visual karya pengarah Z.Lokman jauh lebih baik daripada filem ini. Kami tidak mengetahui tentang kos pembikinan filem ini tetapi jauh di sudut hati kelemahan filem ini dari segi kualiti visual, gred warna filem dan suntingannya amatlah lemah dan mengecewakan. Sayangnya filem berkenaan manusia ular jadian ini sepatutnya boleh dihasilkan dengan lebih baik daripada apa yang telah kami lihat di pawagam ini. Tetapi, menonton filem ini di tahun 2019 dengan kualiti sebegini merupakan satu peristiwa malang buat kami. 


Satu lagi perkara yang tersangat mengecewakan di dalam filem ini ialah tentang kesan khas CGI yang cukup buruk. Kami menyatakan sedemikian rupa kerana kelemahannya sangat ketara sehinggakan siri drama Naagin jauh lebih cantik hasil cgi ularnya. Kebanyakkan imej ular yang dihasilkan di dalam filem ini rata-ratanya tidak berfungsi dan ia menjadikan babak-babak yang sepatutnya mewujudkan rasa seram atau cemas anda berubah secara drastik menjadi lucu.


Selain itu juga, jalan cerita filem ini dilihat agak lemah di dalam membuatkan penonton terasa dekat dan bersimpati dengan watak-watak yang wujud di dalam penceritaan filem ini. Ini disebabkan kegagalannya di dalam memperkembangkan kisah setiap wataknya dengan baik dan dilihat penceritaan untuk filem ini juga menghadapi masalah kekurangan daya imaginasi yang tinggi. Ia terlalu mudah untuk diramal dan pengakhirannya juga berakhir dengan cara yang langsung tidak memberi sebarang kesan emosi kepada kami yang menonton. Kami melihat filem ini terlalu kacau bilau dan gagal untuk menjadi sebagai sebuah filem yang baik walaupun daripada sudut-sudut yang berbeza. Satu pembaziran yang nyata jika anda inginkan sebuah filem yang menarik kerana Neeya 2 ialah sebuah filem yang sangat mendukacitakan. Apa yang menyelamatkan filem ini hanya sedikit elemen humor serta beberapa perubahan plot yang serba sedikit berjaya menghilangkan kesedihan kami yang terlalu kecewa dengan kualiti filem ini yang sangat buruk.


Jadi, selamat menonton filem Neeya 2 di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 24 Mei 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Selepas Ini Ialah Sebuah Lagi Filem Seram Tamil Berjudul Lisaa. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan