Review Filem Polaroid


Filem:
Polaroid

Penilaian:
5/10

Pengarah:
Lars Klevberg

Genre:
Seram

Pelakon:
Kathryn Prescott, Katie Stevens, Madelaine Petsch & Etc.

Tarikh Tayangan:
23 Mei 2019

Pengedar:
TGV Pictures & Square Box Pictures

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Bird Fitcher yang merupakan seorang pelajar sekolah tinggi biasa yang sering gemar berseorangan. Dia telah dihadiahkan sebuah kamera Polaroid lama oleh rakannya dan kemudian mendapati kamera polaroid tersebut bukannya sekadar sebuah kamera biasa tetapi mempunyai rahsia hitam yang cukup menakutkan dimana sesiapa yang diambil gambar menggunakan kamera tersebut pasti akan mati di dalam keadaan yang sangat dasyat dan menakutkan. Bird cuba menghentikan sumpahan tersebut bersama rakan-rakannya untuk menyelamatkan diri mereka daripada mati. Berjayakah mereka menyelamatkan diri dan menghentikan sumpahan kamera Polaroid tersebut? Saksikan filem seram ini di pawagam berhampiran anda bermula 23 Mei 2019 untuk mengetahui keseluruhan kisahnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah dijemput oleh pihak TGV Pictures untuk menghadiri tayangan filem Polaroid di TGV Sunway Pyramid pada 21 Mei 2019 yang lepas. Filem Polaroid merupakan sebuah lagi filem seram komersial yang cuba menampilkan sebuah objek sebagai bahan mistik untuk menggerakan jalan ceritanya. Bertepatan dengan namanya, kamera Polaroid dipilih sebagai bahan utama yang menjadi punca kepada segala-gala kejadian seram yang wujud di dalam filem Polaroid ini.


Filem Polaroid mengikut jejak langkah yang sama seperti mana filem-filem seram yang lain dimana tiada sebarang pembaharuan yang unik dan boleh diingati walaupun selesai menonton filem ini. Ia tidak lebih sebagai sebuah karya yang berperanan untuk menguji ketakutan para penontonnya melalui penggunaan elemen jump scare yang sederhana di dalam filem ini. Namun, kami akui babak-babak filem Polaroid yang menggunakan teknik jump scare ini berjaya memberikan kejutan yang bagus buat penonton untuk meningkatkan adrenalin masing-masing.


Namun, jalan cerita dan perkembangan setiap watak-watak di dalam filem Polaroid ini boleh dikatakan agak lemah dan kurang meyakinkan. Subjek filem ini iaitu Kamera Polaroid yang tersimpan roh jahatnya di dalamnya juga gagal menampilkan intipati kisah yang meyakinkan untuk membuatkan penontonnya dimanipulasi rasa ketakutan apabila terpandang kamera Polaroid. Apa yang kami boleh katakan filem ini sekadar sebuah filem seram berbentuk komersial yang menghiburkan untuk anda tonton dan uji tahap ketakutan anda. Namun, jika anda mencari lebih daripada itu di dalam filem Polaroid ini maka kebarangkalian besar anda akan kecewa. Filem Polaroid hanya lah sebuah filem seram yang dibikin tanpa memberi anda sebarang penemuan hujung pangkal yang unik atau menakjubkan.   


Jadi, selamat menonton filem Polaroid di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 23 Mei 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Selepas Ini Ialah Sebuah Filem Tamil  Yang Sangat Melucukan Berjudul Monster. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan