Review Filem Monster


Filem:
Monster

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Nelson Venkatesan

Genre:
Komedi, Drama & Keluarga

Pelakon:
S.J. Suryah, Priya Bhavani Shankar, Karunakaran& Etc.

Tarikh Tayangan:
17 Mei 2019

Pengedar:
DMY Creation Sdn Bhd

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang lelaki bernama Anjanam Azhagiya Pillai yang mempunyai prinsip tidak akan membunuh sebarang haiwan kerana mengikut ajaran agama yang dipelajarinya sewaktu kecil. Namun, lelaki ini menghadapi kesukaran untuk mencari pasangan yang sanggup menerimanya. Setiap kali peminangannya pasti akan ditolak oleh gadis disebabkan tidak mempunyai harta seperti rumah walaupun dia sebenarnya bekerja sebagai jurutera. Atas nasihat rakannya, dia membeli sebuah rumah aparment dan tindakannya itu membuahkan hasil apabila pinangannya diterima oleh keluarga gadis yang diatur keluarga. Namun, masalah besar mula berlaku apabila rumah yang dibeli lelaki tersebut mempunyai seekor tikus yang bijak dan sering kali menyusahkan kehidupannya dengan mencuri makan serta merosakkan barangan elektrik dan sebagainya. Adakah lelaki ini akan mengingkari prinsip serta ajaran agama yang dipegangnya untuk membunuh tikus tersebut? Saksikan filem yang sangat menarik dan menghiburkan ini di pawagam berhampiran anda bermula 17 Mei 2019 untuk mengetahui keseluruhan kisahnya.

Ulasan:

Alhamdulillah kami di portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton filem Monster di Amerin Cineplex pada 22 Mei 2019 yang lepas. Siapa sangka filem yang berkos rendah ini sebenarnya menampilkan sebuah jalan cerita yang sangat melucukan dimana kami terhibur menontonnya daripada mula sehingga pengakhiran filem ini. Filem ini sebenarnya memberikan anda satu persoalan menarik mengenai apa yang anda akan lakukan jika anda mendapati di rumah anda terdapat seekor tikus yang sedang bersembunyi dan selalu mencuri makanan atau merosakkan harta benda anda?


Kami yakin majoriti daripada kita semua atau kemungkinan besar keseluruhan daripada kita akan memastikan tikus tersebut keluar dari rumah kita dalam keadaan tidak bernyawa melalui menjeratnya menggunakan perangkap tikus atau mengumpannya dengan makanan yang sebenarnya adalah racun. Tetapi, menariknya tentang filem ini ialah watak utamanya iaitu Anjanam Azhagiya Pillai merupakan seorang manusia yang mempunyai belas kasihan yang terlalu tinggi terhadap haiwan dan tidak akan sesekali membunuh mana-mana haiwan sekali pun. Jadi, plot penceritaan filem ini telah berjaya dibawa ke satu tahap dimana anda akan berasa kasihan, kagum dan terharu dengan watak Anjanam ini yang mencuba pelbagai perkara untuk menghalau tikus tersebut secara baik tanpa mencederakannya. Tetapi, ia berubah menjadi semakin teruk daripada semasa ke semasa terutama apabila Anjanam bertemu dengan kekasihnya menyebabkan prinsip Anjanam yang dipegang selama ini mulai kelihatan goyah. Disini kita akan dapat melihat antara sisi kepercayaan, kemanusiaan serta kebahagiaan yang dicari Anjanam di dalam hidupnya melalui ujian yang disampaikan oleh seekor tikus yang cerdik dan nakal.


Kami melihat kelemahan utama filem ini ialah ia mengambil masa terlampau lama untuk memperkembangkan kisah watak Anjanam terutama pada bahagian pertama filem ini. Ia sedikit meleret untuk membuatkan penonton memahami hubungan antara Anjanam dan tikus serta Anjanam dan kekasihnya iaitu Meghala. Namun, apa yang menyelamatkan filem ini daripada masalah tersebut ialah lakonan S.J. Surya sendiri sebagai pemain watak utama Anjanam yang bukan sahaja bijak bermain dengan ekspresi wajah tetapi berjaya mencipta nilai humor melalui permainan emosi yang cukup baik untuk meyakinkan penonton berkaitan permasalahannya dengan tikus nakal tersebut. Lebih menghiburkan ialah penulisan skrip filem ini berkaitan permasalahan Anjanam dan tikus ini berada di ruang realiti yang masuk akal dan boleh diterima oleh kami sebagai penonton. Ia bukannya sebuah lawak stereotaip tetapi ia sebenarnya adalah kejadian yang mewakili ramai individu di luar sana apabila mereka berhadapan dengan makhluk perosak seperti tikus ini. Apa yang kami boleh nyatakan ialah karya ini memang menampilkan sesuatu yang baru, segar dan berada di dalam zon yang selamat tetapi cukup berjaya sebagai sebuah filem komedi.


Selain jalan cerita serta lakonan para pelakonnya yang menghiburkan, filem Monster ini juga menampilkan sinematografi serta efek visual yang cukup memukau dimana kami sebagai penonton dapat melihat pebagai hasil kerja sudut kamera yang berjaya memaparkan pergerakan tikus nakal tersebut dalam keadaan yang sangat jelas dan kelihatan seakan-akan nyata. Memang ini adalah diluar jangkaan kami yang secara tidak langsung menjadikan filem Monster ini sebuah filem yang sangat menyenangkan untuk anda tonton di pawagam. Kesimpulannya, filem ini berjaya memaparkan nilai-nilai kekeluargaan, impian hidup, kasih sayang serta toleransi di dalam kehidupan dengan kaedah yang santai melalui suntikan elemen komedinya yang membuatkan anda rasa sangat berbaloi membeli tiket untuk menonton filem hebat ini.


Jadi, selamat menonton filem Monster di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 17 Mei 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Selepas Ini Ialah Sebuah Filem Korea Berjudul The Gangster, The Cop, The Devil. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan