4/06/19

Review Filem Pocong The Origin


Filem:
Pocong The Origin

Penilaian:
5/10

Pengarah:
Monty Tiwa

Genre:
Seram

Pelakon:
Samuel Rizal, Nadya Arina, Surya Saputra, Della Dartyan & Etc.

Tarikh Tayangan:
4 Jun 2019

Pengedar:
TGV Pictures

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang pembunuh kejam bernama Ananta yang dihukum bunuh oleh kerajaan negerinya. Selepas kematiannya, anak perempuannya iaitu Sasthi dan seorang pengawal penjara iaitu Yama telah pergi ke kampung halaman Ananta untuk mengebumikan mayatnya. Sepanjang perjalanan, mereka berdua menghadapi pelbagai gangguan dan kejadian aneh yang meyebabkan mereka mengalami kesukaran di dalam memastikan mayat dapat dikebumikan sebelum bulan purnama. Ini kerana Ananta dipercayai mengamalkan ilmu hitam di mana jika pengamalnya tidak dikebumikan di kampung asal selepas kematian, mereka akan dihidupkan semula dan bulan purnama menjadikan mereka lebih kuat. Apakah yang akan berlaku kepada Sasthi dan Yama? Sempatkah mereka mengebumikan mayat Ananta? Saksikan filem seram ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 4 Jun 2019 untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula mendapat jemputan daripada pihak TGV Pictures untuk menghadiri tayangan media filem Pocong The Origin bertempat di TGV One Utama pada 29 Mei 2019 yang lepas. Filem ini merupakan sebuah filem road movie yang digabungkan dengan elemen seram dan hasilnya dapat dilihat yanh naskah ini bukannya terlalu mencuba untuk menakutkan penonton tetapi lebih kepada membuatkan penonton untuk menghayati perjalanan kisahnya yang redup sepanjang waktu. 


Filem Pocong The Origin ini dimulakan dengan pengenalan watak Ananta yang sedang menanti hukuman matinya. Jika dilihat pada barisan wartawan yang menanti dihadapan balai polis untuk mengetahui kesudahan nasib Ananta, apa yang boleh kami andaikan semestinya Ananta ini bukan sekadar penjenayah yang biasa-biasa. Namun, sayangnya untuk perkara ini ia dilihat menimbulkan banyak lompong cerita disebabkan penerangannya yang langsung tidak jelas. Filem ini sebenarnya menimbulkan banyak tanda tanya tentang watak Ananta ini sendiri dimana bagaimana sebenarnya bentuk pembunuhan atau jenayah yang telah dilakukannya sehingga dia begitu dibenci oleh ramai pihak. Penonton hanya berulang-ulang kali dimomokkan dengan dialog watak wartawan wanita yang kerap kali menyatakan tentang rakan dan keluarga rakannya yang dibunuh Ananta serta kelibat hantu yang menyatakan tidak menyukai Ananta. Satu perkara yang menarik tentang filem ini ialah perjalanan dua watak utamanya yang ingin mengebumikan jenazah Ananta dimana setiap perhentian sama ada warung lama, kebun teh, surau dan stesen minyak pastinya akan berjumpa atau berhadapan dengan pelbagai jenis gangguan daripada makhluk halus. Kami agak menyukai beberapa jenis hantu yang dipaparkan di dalam filem ini terutamanya hantu lidah panjang yang agak menyeramkan. Cuma apa yang agak membosankan kami ialah pengulangan suara tangisan wanita yang kerap digunakan berkali-kali sewaktu adegan penampakan makhluk halus menyebabkan adegan seramnya terlalu mudah ditebak dan membuatkan para penonton sudah bersiap sedia untuk mengelakkan diri mereka daripada terkejut ketakutan. 


Antara kekuatan filem ini yang kami dapat nyatakan ialah bagaimana filem ini bijak memanfaatkan penggunaan lagu Di Bawah Sinar Bulan Purnama dan Bumi yang bernada keroncong dimana secara tidak langsung ia berjaya memberikan satu nilai tambah kepada elemen seram terhadap filem Pocong The Origin ini. Satu perkara lagi yang kurang meyakinkan tentang penceritaan filem ini ialah hubungan anak beranak iaitu antara Ananta dan Sasti. Momen-momen emosi antara kedua-dua watak ini kurang diperkembangkan sebaik mungkin dan hanya terlalu bergantung kepada babak mereka berdua bermain dan bergurau sewaktu Sasti masih kecil. Jadi, kami agak sukar untuk menerima kenapa Sasti begitu meyayangi ayahnya kerana tiada langsung momen-momen penting dan kuat yang dapat diterima untuk menyokong hubungan kasih sayang tersebut. 


Selain itu, penjelasan tentang ilmu hitam banaspati juga terlalu ringkas dan sangat minimum sedangkan teras utama filem ini ialah tentang persoalan tersebut. Jadi, kami melihat filem terlalu cuba menakutkan atau mengujakan penonton dengan pelbagai jenis spesis hantu sehingga terlupakan soal yang maha penting buat filem sehingga mengakibatkan Pocong The Origin kehilangan taringnya. Namun, kami melihat elemen humor di dalam filem ini berjaya disampaikan dengan baik dimana ia menjadikan filem ini yang begitu redup sedikit bercahaya. Terima kasih kepada pelakon Samuel Rizal yang membawakan watam Yama kerana berjaya menceriakan penonton dengan lakonannya yang santai dan bersahaja.  


Kami menyukai penggunaan jumpscare yang sangat minimum di dalam filem Pocong The Origin ini. Rasa seram filem ini banyak dibantu oleh sinematografi serta muzik latarnya yang dilihat saling melengkapi antara satu sama lain bagi membantu rasa seram itu sampai kepada penonton. Namun, pemilihan pihak produksi yang gemar bermain dengan pencahayaan yang gelap untuk keseluruhan filem bagi kami telah menghilangkan potensi sepatutnya filem ini yang patut mampu pergi lebih jauh dan mampu untuk memberikan momen yang lebih seram buat penonton. Walaupun rata-rata yang telah menonton kurang menggemari bagaimana filem ini ditamatkan tetapi bagi kami pengakhiran filem Pocong The Origin merupakan salah satu jenis penamat yang kami gemar dan nanti-nantikan. Kesimpulannya, Pocong The Origin bukanlah sebuah filem seram yang buruk namun ia bukannya sebuah karya yang terlampau baik. Ada kekuatan dan ada juga kelemahannya yang menjadikannya sebuah filem seram yang berada di peringkat sederhana. Masih berbaloi untuk ditonton oleh penggemar filem seram.


Jadi, selamat menonton filem Pocong The Origin di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 29 Mei 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Dan Kongsikan Dengan Anda Ialah  Sebuah Filem Animasi Yang Cukup Menarik Iaitu The Secret Life Of Pets 2! Nantikan Ulasannya!

2 ulasan:

  1. Usaha yg bole dikatakan baik, tak setanding Sebelum Iblis Menjemput atau Pengabdian Setan tetapi menghiburkan juga. Tajuk je Pochong... mcm tak sampai 5 minit je antu tu di "tonjolkan"...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Pocong tu ada all the way lah
      hahaha
      cuma gerak dia jer lah hujung-hujung filem

      Padam