Review Filem NGK


Filem:
NGK

Penilaian:
8/10

Pengarah:
Selvaraghavan

Genre:
Aksi & Drama

Pelakon:
Suriya, Sai Pallavi, Rakul Preet Singh & Etc.

Tarikh Tayangan:
31 Mei 2019

Pengedar:
DMY Creation Sdn Bhd

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan tentang seorang lelaki bernama Nandha Gopalan Kumaran (NGK) yang ingin menjadi ahli politik untuk Parti Kakkum Munnetra Kazhagam kerana dia melihat dengan cara ini sahaja dia mampu membantu penduduk kampungnya untuk menyelesaikan masalah mereka yang gagal ditangani oleh pihak pemerintah gara-gara gejala rasuah dan korupsi yang berlaku. Namun, NGK berdepan dengan permainan kotor ahli politik yang ingin menghapuskannya akibat mengganggu kerja-kerja kotor mereka. Berjayakah NGK mencapai cita-citanya? Saksikan filem yang cukup menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 31 Mei 2019 untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem Tamil yang berjudul NGK di TGV Cinemas Jaya Centre pada 1 Jun 2019 yang lepas. NGK ini bermaksud Nandha Gopalan Kumaran iaitu nama susuk tubuh seorang lelaki yang mempunyai keperibadian yang cukup baik dan bersikap sentiasa ingin membantu setiap masyarakat tanpa mengira status mahu pun pangkat. Menariknya disini apabila filem ini memaparkan bahawa kuasa politik merupakan sebuah kuasa tanpa batasan yang merupakan satu-satunya perkara yang boleh membantu NGK untuk memperluaskan bantuannya kepada masyarakat di kampungnya kerana bidang kuasanya yang terhad. Jadi, ia memaparkan bagaimana perjalanan NGK terjun ke dunia politik India yang sangat kotor bermula daripada bawah dan kami kira bagaimana jalan cerita ini dibentuk dan divisualkan adalah satu perkara yang sangat menarik perhatian kami.


Sedikit berbeza berbanding filem-filem Tamil yang bertemakan politik, NGK menampilkan plot penceritaan yang cukup pantas tetapi padat untuk membuatkan penonton berasa lebih dekat dengan watak NGK itu dan dapat melihat bagaimana susur galur kepayahan yang perlu dilalui oleh watak ini sebelum berada di atas puncak kuasa. Kami suka untuk nyatakan filem NGK ini merupakan salah sebuah filem politik Tamil yang cukup hebat dan menawarkan penceritaan yang cukup berbeza dan tidak terlalu klise. Dibantu pula oleh persembahan lakonan, ekspresi serta bahasa tubuh yang cukup baik daripada pelakon utamanya iaitu Suriya, filem ini sememangnya berjaya memberi kepuasan tontonan yang maksimum kepada kami.


Kami melihat bahagian pertama filem ini sememangnya menarik dimana penceritaan watak NGK ini berjaya diperkembangkan dengan cukup teliti. Walaupun pada bahagian kedua, kisah penceritaannya kelihatan sedikit terkejar-kejar dan mudah diramal namun ia masih sebuah naskah yang cukup menghiburkan. Menarik untuk melihat bagaimana NGK berubah daripada seorang yang tegas dengan pendiriannya kepada seorang individu yang terpaksa berlakon seorang yang penyabar dan lurus bendul untuk mengambil hati pemimpin-pemimpin cawangan dan kawasan agar menyukai, menyayangi dan mempercayainya seperti adegan mencuci tandas, memasak dan pelbagai lagi yang kelihatan begitu hidup. Walaupun babak NGK mengambil nasihat daripada seorang veteran yang sebelum ini aktif di dalam politik iaitu Giri boleh dipersoalkan kewajarannya namun ia berjaya memacu jalan cerita ke tahap yang sepatutnya ia berada.


Selain jalan ceritanya yang berani dan menarik, kekuatan utama filem ini sememangnya dimonopoli oleh persembahan lakonan para pelakon utamanya yang cukup hebat terutamanya Suriya dan Rakul Preet Singh. Filem ini dilihat turut mengangkat peranan wanita dengan cukup kuat dimana pelakon Sai Pallavi serta Rakul Preet Singh mendapat cahaya bintang mereka yang tersendiri di dalam filem ini. Momen-momen kemunculan mereka pasti memberikan sesuatu yang segar di dalam filem. Walaupun lakonan Sai Pallavi sebagai isteri NGK dilihat agak berlebihan pada babak-babak kemarahannya yang adakala mengganggu fokus kami kerana lontaran emosinya yang agak mengelirukan namun pada masa yang sama ia dilihat agak membantu konflik filem ini berkembangan dengan agak baik.


Menyentuh tentang aksi di dalam filem NGK ini, setiap babak pergaduhan dan pertempuran berjaya dikoreografi kan dengan cukup baik terutama pada babak pergaduhan di tandas hospital. Namun, babak pergaduhan sewaktu NGK dan isterinya dalam perjalanan ke kawasan kempen politik pula tidak dapat kami saksikan kerana ia telah dipotong untuk tayangan di Malaysia. Ia agak mengecewakan kerana kami tidak dapat menyaksikan apa sebenarnya yang berlaku. Kesan bunyi di dalam filem ini juga menarik namun apabila menyentuh tentang lagu-lagu yang melatari filem ini pula, kami merasakan lagu-lagunya agak merdu tetapi liriknya biasa-biasa sahaja dan kurang membantu kepada plot penceritaan. Secara keseluruhan yang kami boleh nyatakan, filem NGK merupakan sebuah filem Tamil bertemakan politik yang terbaik di tahun 2019 buat masa sekarang.


Jadi, selamat menonton filem NGK di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 1 Jun 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Dan Kongsikan Dengan Anda Ialah  Sebuah Filem Animasi Dari Rusia Yang Berjudul The Big Trip! Nantikan Ulasannya! 

Catat Ulasan

0 Ulasan