Review Filem The Secret Life Of Pets 2


Filem:
The Secret Life Of Pets 2

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Chris Renaud

Genre:
Animasi & Komedi

Pelakon:
Patton Oswalt, Eric Stonestreet, Kevin Hart, Jenny Slate, Ellie Kemper, Lake Bell & Etc.

Tarikh Tayangan:
30 Mei 2019

Pengedar:
United International Pictures

Sinopsis:
Filem animasi ini merupakan kesinambungan daripada "The Secret Life Of Pets", yang mana ia berkisarkan tentang pengembaran sekumpulan haiwan yang tinggal di bandar New York. Saksikan filem animasi yang cukup menghiburkan ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 30 Mei 2019 untuk mengetahui kisah selanjutnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem animasi berjudul The Secret Life Of Pets 2 di TGV Cinemas Jaya Centre pada 30 Mei 2019 yang lepas. Filem sekuel ini kembali menemukan anda dengan watak-watak haiwan yang ceria dan melucukan iaitu anjing, kucing dan juga arnab yang unik. Fokus utama filem ini semestinya terhadap Max yang kini terpaksa menerima hakikat bahawa tuannya iaitu Katie telah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki bernama Liam. Walaupun pada asalnya Max tidak menyukai Liam namun pada akhirnya Max mula menyayangi Liam dan menjadi terlalu taksub untuk melindungi anak tuannya itu dari segala perkara yang boleh mendatangkan bahaya.


Kami melihat filem The Secret Life Of Pets 2 berjaya menampilkan gred warna yang jelas, terang dan semestinya berwarna-warnia yang sesuai dengan jiwa kanak-kanak. Apa yang lebih menarik apabila kami melihat ekspresi setiap watak haiwan di dalam filem ini sangat jelas dan mudah difahami. Filem ini juga dilihat sangat dekat buat para pencinta haiwan yang mempunyai haiwan peliharaan di rumah apabila ia memaparkan banyak adegan-adegan realiti yang menarik dan melucukan seperti pengalaman membawa haiwan peliharaan ke klinik haiwan serta gelagat haiwan-haiwan manja ini saat terjumpa permainan yang menarik perhatian mereka seperti permainan berbunyi yang dapat dilihat pada beberapa adegan di dalam filem ini.


Namun, kami melihat momentum penceritaan filem ini yang tidak konsisten terutama pada bahagian pertama filem ini dimana banyak masa dihabiskan kepada watak Snowball sedangkan kisah penceritaan untuk watak Max adalah lebih berharga. Nasib baik pertemuan anda Max dan Rooster berjaya menjadikan bahagian kedua filem ini lebih padat dan hidup disamping memberi mesej yang baik tentang keyakinan diri serta kepercayaan terhadap satu perkara iaitu setiap manusia perlu mengalami rasa susah atau cabaran untuk menjadi lebih kuat pada usianya yang mendatang. Bagi kami, ini adalah salah satu mesej yang cukup baik dan berjaya disampaikan dengan sempurna dimana perlunya setiap daripada kita untuk mencari titik imbangan terhadap rasa takut dan juga melindungi sesuatu perkara yang kita sayangi.


Secara keseluruhannya, filem The Secret Life Of Pets 2 ini masih menghiburkan dan menarik tetapi tidak cukup kuat untuk menandingi kehebatan filem pertamanya sebelum ini. Sangat sesuai untuk ditonton oleh kanak-kanak serta para dewasa yang lain berikutan nilai-nilai murni yang disampaikan di dalam filem ini cukup baik. Nilai kekeluargaan yang tinggi serta dibantu pula oleh elemen humor sesedap rasa yang pastinya membuatkan anda terhibur sepanjang menonton filem ini di dalam panggung nanti bersama anak-anak atau yang tersayang.



Jadi, selamat menonton filem The Secret Life Of Pets 2 di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 30 Mei 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Dan Kongsikan Dengan Anda Ialah  Sebuah Filem Tamil Yang Cukup Hebat Berjudul NGK! Nantikan Ulasannya! 

Catat Ulasan

0 Ulasan