Review Filem Chandigarh Amritsar Chandigarh


Filem:
Chandigarh Amritsar Chandigarh

Penilaian:
8/10

Pengarah:
Karan R Guliani

Genre:
Komedi & Romantik

Pelakon:
Gippy Grewal, Sargun Mehta, Rajpal Yadav & Etc.

Tarikh Tayangan:
24 Mei 2019

Pengedar:
TGV Pictures

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan seorang gadis Chandigarh tiba di Amritsar untuk menolak lamaran perkahwinan daripada seorang lelaki di sana. Dia sebaliknya bertemu dengan seorang jejaka dan meluangkan harinya bersama dengan jejaka itu. Masa yang diluangkan bersama membuatkan mereka sedar timbul satu keserasian antara mereka biarpun berbeza latar belakang. Saksikan filem yang cukup menghiburkan ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 24 Mei 2019 untuk mengetahui keseluruhan kisahnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem Punjabi berjudul Chandigarh Amritsar Chandigarh di TGV Cinemas Jaya Centre pada 27 Mei 2019 yang lepas. Memandangkan semenjak dua menjak ini filem-filem komedi romantik dari negara India selalunya jarang mengecewakan maka kami tertarik untuk menonton filem dengan genre yang sama. Cuma bezanya kali ini kami menonton sebuah filem Punjabi yang kami langsung tidak tahu menahu tentang siapakah para pelakon serta pengarahnya. Tetapi, kejutan buat kami kerana walaupun ia hanyalah sebuah filem yang memaparkan kisah cinta dalam pertemuan sehari namun ianya sangat menghiburkan dan melucukan. Tiada langsung keraguan bagi pihak kami untuk menyatakan setiap dialog yang diungkapkan oleh pemain watak utamanya iaitu Gippy Grewal dan Sargun Mehta telah ditulis dan dihasilkan dengan cukup baik dan sangat berjaya apabila ialah dipaparkan di layar perak.


Premis filem Chandigarh Amritsar Chandigarh ini sebenarnya sangat mudah. Ia menceritakan tentang seorang gadis bernama Sargun dari Chandigarh yang pergi ke Amritsar untuk berjumpa dengan bakal suami yang tidak dikenalinya atas aturan keluarga untuk menghentikan perkahwinannya. Jadi, sewaktu di Amritsar, Sargun telah bertemu dengan Rajveer yang merupakan lelaki Amritsar yang sungguh kagum dan sayang tentang segala-galanya tentang Amritsar. Disebabkan Sargun tertinggal telefonnya di dalam beca menyebabkan dia terpaksa meminta bantuan Rajveer untuk menjejaki pemilik beca tersebut dan disinilah perjalanan cerita ini bergerak dengan baik dimana kedua-dua mereka menghabiskan masa bersama-sama dan saling bertikam lidah tentang budaya dan kehebatan negeri masing-masing. Sebagai contoh di Malaysia sendiri, kami yakin anda pasti dapat melihat beberapa kejadian atau situasi yang sama terjadi di laman media sosial seperti Facebook terutamanya isu-isu melibatkan negeri Kelantan, Johor, Perlis, Kuala Lumpur, Sarawak dan Sabah dimana pasti ada isu-isu tertentu yang akan dibangkitkan daripada penduduk negeri-negeri lain untuk menyebabkan terjadinya sesuatu perbalahan walaupun ianya hanya perkara kecil. Hal ini juga dapat dilihat di dalam filem ini yang secara tidak langsung menempelak sikap sesetengah masyarakat yang turut melakukan perkara yang sama dimana masing-masing suka untuk melebih-lebihkan negeri kelahiran mereka dan merendah-rendahkan negeri kelahiran individu yang mereka kurang gemari. Cuma apa yang bijaknya di dalam filem ini ialah penulis skrip dan pengarah mengangkat isu ini di dalam bentuk komedi yang agak berani untuk menjadikan kisah di dalam filem ini sangat menyegarkan dan melucukan.


Satu perkara lagi yang unik disini ialah kisah cinta di dalam filem ini lahir bukannya berdasarkan penyudah yang terlalu klise tetapi ia berpunca daripada rasa suka dan benci terhadap elemen kenegerian masing-masing. Jelas dilihat intipati kisahnya berjaya digarap dengan cukup baik untuk menjadikan naskah filem ini sesuatu yang unik dan menjadi. Seperti biasa, untuk penonton yang bukannya bertutur di dalam bahasa Punjabi, kami akui ada beberapa babak yang mencetuskan hilai tawa para penonton yang sukar kami rasai apabila membaca sari kata yang disediakan. Tetapi, secara keseluruhan filem ini sememangnya mempunyai unsur-unsur humor yang sangat baik dan berjaya menggeletek hati kami untuk sentiasa segar menonton filem ini sehingga kepada babak terakhirnya. Pujian seharusnya diberikan kepada dua pelakon utamanya iaitu Gippy Grewal dan Sargun Mehta yang berjaya membuatkan skrip yang biasa menjadi luar biasa. Keserasian yang wujud pada kedua-dua pelakon ini sangat baik dan watak mereka juga berjaya dilakonkan dengan cukup menarik dan tampak hidup. 


Satu perkara yang turut menarik perhatian kami ialah senarai lagu-lagu yang wujud di dalam filem ini mempunyai lirik yang menarik dan irama yang merdu terutamanya melibatkan lagu-lagu bersifat romantik. Sangat menghiburkan sepanjang tontonan kami terhadap filem ini. Cuma, ada beberapa perkara yang mungkin agak merimaskan pada bahagian kedua filem ini dimana ada beberapa babak pergaduhan yang kelihatan terlalu diperbesar-besarkan dan mengelirukan kami sebagai penonton terutama apabila ia membabitkan perubahan emosi yang berlaku secara tiba-tiba dan kurang meyakinkan. Namun, secara keseluruhannya kami boleh nyatakan filem Chandigarh Amritsar Chandigarh adalah sebuah filem yang sangat menghiburkan dan wajib tonton buat anda yang inginkan ketawa yang berpanjangan dan juga menikmati elemen komedi daripada filem Punjabi yang lain daripada yang lain.


Jadi, selamat menonton filem Chandigarh Amritsar Chandigarh di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 24 Mei 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Dan Kongsikan Dengan Anda Ialah Sebuah Filem Seram Dari Indonesia Berjudul Pocong The Origin! Nantikan Ulasannya! 

Catat Ulasan

0 Ulasan