Filem:
Azhaggiye Thee
Penilaian:
6/10
Pengarah:
Logan
Genre:
Drama & Romantik
Pelakon:
Saresh D7, Latha, Gunasegaran, Yuvaraj & Etc.
Tarikh Tayangan:
27 Jun 2019
Pengedar:
ATMovies Sdn. Bhd
Sinopsis:
Sinopsis:
Filem ini diadaptasi daripada sebuah kisah benar yang memaparkan tentang seorang wanita bernama Ananthi yang dikatakan sebagai anak pembawa sial dan malang kepada keluarganya oleh abangnya. Dilahirkan sama waktu dengan anak abangnya menyebabkan dirinya sentiasa dibenci dan dimarahi oleh abangnya yang menyatakan dirinya sebagai beban buat keluarga. Hidup Ananthi bertambah malang apabila ibu bapanya meninggal di dalam satu kemalangan jalan raya yang menyebabkan dirinya terpaksa berhijrah ke Kuala Lumpur. Disana Ananthi bertemu dengan Bala tanpa sengaja dan hidupnya berubah menjadi lebih baik atas bantuan Bala yang memberikannya peluang pekerjaan. Namun, satu peristiwa telah mengubah dan merosakkan hidup Ananthi buat selama-lamanya. Apakah yang telah terjadi kepada gadis malang ini? Saksikan filem menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 27 Jun 2019 untuk mengetahui jawapannya.
Ulasan:
Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem Tamil tempatan berjudul Azhaggiye Thee di MMcineplexes, eCurve Mutiara Damansara pada 29 Jun 2019 yang lepas. Secara jujurnya, tidak terlintas di fikiran kami untuk menonton filem Tamil tempatan ini terutama apabila melihat genre filem ini. Namun, disebabkan kami sudah menonton kesemua filem yang ditayangkan di MMcineplexes kecuali filem ini dan pada masa yang sama perlu menebus tiket percuma sebelum 30 Jun menyebabkan kami terpaksa menonton filem ini tanpa meletakkan sebarang harapan yang tinggi. Namun, sangkaan kami meleset kerana filem Azhaggiye Thee ini menampilkan sebuah karya yang cukup matang daripada produksi filem Tamil di Malaysia yang bijak memilih kisah benar berkaitan masalah keldai dadah untuk diangkat di dalam penceritaan filem ini. Bersyukur kerana kami dapat menonton sebuah filem tempatan yang menarik ini selepas kecewa dengan naskah Satte yang kelihatan seperti sebuah kisah drama di televisyen.
Kami sebenarnya sangat tertarik keseluruhan kisah filem Azhaggiye Thee yang memberikan fokus kepada seorang wanita yang digambarkan sebagai 'manusia pembawa sial' dimana ia bukan sekadar menceritakan tentang bagaimana sindiket pengedaran dadah ini dilakukan dan kesan kepada si pelaku tetapi juga berjaya memasukkan pelbagai isu kemasyarakatan serta realiti sebenar kesusahan hidup yang dialami oleh golongan kaum India terutamanya yang menetap di kawasan estet dan jauh daripada merasai pendidikan yang sempurna serta kemajuan bandar. Jadi, secara tidak langsung perkara ini saling berkait dimana pendidikan yang tidak sempurna serta tiada pendedahan terhadap dunia luar akan menyebabkan beberapa masalah pasti berlaku kepada individu yang lurus jiwanya seperti watak Ananthi di dalam filem ini. Isu-isu seperti kepercayaan taboo masyarakat tempatan tentang kelahiran pada usia lanjut yang memalukan anak-anak, berhutang dengan Ah Long serta kesusahan hidup yang berlanjutan disebabkan tahap pendidikan yang rendah berjaya disampaikan dengan cukup baik di dalam filem ini. Segala-galanya yang disampaikan berjaya digarap dengan jalan penceritaan yang bersifat realistik menjadikan ianya sebuah karya yang bukan sahaja kelihatan universal tetapi dapat diterima dengan baik oleh setiap penonton lain tanpa mengira kaum mahu pun agama.
Salah satu perkara yang kami cukup suka tentang filem Azhaggiye Thee ini ialah bagaimana kisah tentang sindiket keldai dadah ini dikembangkan dan diolah dengan cukup baik untuk kita melihat bagaimana dalangnya beroperasi dengan mengambil kesempatan di atas kenaifan mangsa-mangsanya. Naratif ceritanya disampaikan secara mudah, bersahaja tetapi berjaya memberikan impak yang cukup baik kepada emosi anda saat melihat penderitaan yang dilalui oleh watak Ananthi ini. Filem Tamil tempatan ini juga dilihat berjaya mengisi jiwa penonton dengan pelbagai rasa sama ada dari segi emosi, elemen humor, unsur romantik mahu pun kejutan permainan plotnya yang boleh dikatakan agak meyakinkan. Ia mungkin bukannya perkara terbaru apabila bercerita tentang kisah sindiket keldai dadah ini tetapi filem Azhaggiye Thee berjaya melakukannya dengan cara yang tersendiri.
Memandangkan kami secara jujurnya langsung tidak mengenali para pelakon Tamil tempatan dan ini adalah kali pertama kami menonton lakonan mereka di layar perak. Namun, itu tidak bermakna kami tidak menyukai lakonan mereka kerana pelakon wanitanya Latha berjaya menghidupkan watak gadis 'pembawa sial' dengan penuh emosi yang meyakinkan dan ianya kelihatan sangat hidup dan boleh dipercayai. Begitu juga dengan pelakon lelaki utamanya iaitu Saresh D7 yang bakal membuatkan anda terkejut dengan persembahannya di dalam menghidupkan watak Bala yang penuh misteri dan kejutan. Selain itu, kami juga turut ingin memuji lagu-lagu yang terdapat di dalam filem ini yang merupakan karya Jey Raggaveindra. Walaupun kami tidak memahami maksudnya kerana tidak disertakan dengan sari kata, namun irama lagu-lagunya seperti Yarro Ival Yaaro dan Uruguthu Oru Manam bukan sahaja merdu tetapi berjaya membangkitkan emosi kami saat menonton babak-babak tertentu di dalam filem ini. Secara keseluruhannya, walaupun filem Azhaggiye Thee ini berada di dalam kategori filem sederhana daripada keseluruhan sudutnya namun kami melihat ia sebagai satu langkah kanan buat produksi filem Tamil di Malaysia untuk melangkah lebih jauh lagi yang secara tidak membuka jalan buat produksi filem Tamil lain yang lain untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan filem-filem dari Kollywood. Tahniah kami ucapkan buat keseluruhan pelakon dan produksi filem Azhaggiye Thee ini.
Jadi, selamat menonton filem Azhaggiye Thee di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 27 Jun 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!
P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Dan Kongsikan Dengan Anda Ialah Sebuah Filem Tamil Berjudul Sindhubaadh! Nantikan Ulasannya!
1 Ulasan
Menonton filem ini menjadikan saya cukup nostalgic kerana berkaitan asal-usul tmpt kelahiran yg hampir serupa. Jalan ceritanya bagus dengan menggabungkan unsur flashback agar lebih berkesan utk meberi impak kpd penonton ttg bagaimana kesempitan hidup menjadikan seseoran memilih jalan yg salah untuk mendapatkan wang. Filem yang harus ditonton oleh para remaja
BalasPadam