Review Filem Sindhubaadh


Filem:
Sindhubaadh

Penilaian:
3/10

Pengarah:
Arun Kumar

Genre:
Aksi & Ngeri

Pelakon:
Vijay Sethupathi, Anjali, Vivek Prasanna & Etc.

Tarikh Tayangan:
27 Jun 2019

Pengedar:
Malik Streams Corporation

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Thiru yang disertai oleh budak kecil, Super yang merupakan pencuri kecil di India. Thiru jatuh cinta dengan Venba yang telah kembali ke India untuk bercuti dari Malaysia. Venba juga turut jatuh cinta dengan Thiru dan kedua-duanya berkahwin sebelum Venba kembali ke Malaysia. Namun, konflik mula tercetus apabila Venba menghadapi masalah di tempat kerja dimana dia telah ditipu oleh sindiket pelacuran dan dihantar ke Thailand. Thiru dan Super terus menuju ke Thailand untuk menyelamatkan Venba dimana kedua-duanya terpaksa berhadapan dengan kumpulan gangster Thai yang ganas. Adakah Thiru dan 'Super' berjaya melarikan diri daripada kumpulan gangster dan menyelamatkan Venba? Saksikan filem ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 27 Jun 2019 untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem Tamil yang berjudul Sindhubaadh di TGV Cinemas Jaya Centre pada 29 Jun 2019 yang lepas. Sepatutnya filem ini ditayangkan di pawagam terpilih seminggu lebih awal tetapi apabila dimaklumkan terdapat masalah teknikal daripada pengedar filem ini maka kami meneka mungkin ada beberapa babak yang dipotong kerana filem yang menggabungkan elemen cinta, aksi dan komedi ini dilihat tidak seimbang dan sangat membosankan terutamanya apabila melihatkan jalan ceritanya yang seakan-akan disiapkan dengan kesudahan yang malas.


Kami tidak pasti kenapa filem Tamil ini mendapat penilaian yang cukup tinggi di laman IMDB sedangkan cubaan filem ini untuk dari daripada filem kebiasaan jalan cerita filem Tamil yang lain dilihat berkesudahan dengan kegagalan yang sangat teruk. Cubaan untuk menjadikan beberapa babak tegang kelihatan dramatik juga gagal dengan teruknya dan ia dapat dilihat sama ada pada babak Thiru yang melompat dari sebuah bangunan ke bangunan lain yang sememangnya meloyakan pandangan atau pun sewaktu babak Thiru dan Super yang mengelakkan diri atau berhadapan dengan penjenayah yang dilihat seperti asalkan siap tanpa mempedulikan plot ceritanya yang sebenar. Belum lagi dilihat kepada pengekalan momentum kisah romantis antara watak Thiru dan Venba yang berkesudahan dengan satu hubungan yang kaku, meragukan dan sangat suram.


Filem Sindhubaadh cuba memaparkan sebuah kisah yang kelihatan terlalu ringkas dan pantas tetapi sebenarnya mengakibatkan keseluruhan jalan cerita filem ini kelihatan seperti tergantung, melompat serta tidak teratur. Kami tidak pasti adakah kekurangan ini disebabkan oleh pemotongan babak-babak pada filem ini tetapi yang pasti kami merasakan penceritaan filem ini kelihatan sangat kelam-kabut. Kami sendiri keliru dengan apa yang filem ini cuba sampaikan atau buktikan kepada para penonton. Lebih mendukacitakan apabila filem ini menjadikan operasi sindiket perdagangan kulit sebagai punca utama kepada konflik penceritaan namun penerangannya yang terlalu lemah telah menyebabkan filem ini sekali lagi dilihat terlalu bercita-cita tinggi tetapi gagal daripada segi pelaksanaannya. Kami melihat filem ini mempunyai idea serta momen yang bijak dan menarik namun pelaksanaannya dijalankan dengan keadaan malas dan ini merupakan masalah terbesar filem ini yang gagal konsisten di dalam mengekalkan detik-detik penting tersebut.


Apa yang menyelamatkan filem Sindhubaadh ini ialah hasil kerja sinematografi yang bijak bermain dengan pencahayaan yang menarik disamping disokong oleh hasil kerja teknik kamera yang bijak mengekalkan beberapa babak yang berdurasi panjang di dalam satu rakaman sahaja. Ini sahaja lah yang agak menarik perhatian kami untuk ditonton. Selain daripada itu, segala-gala kelihatan terlalu buruk sama ada dari sudut jalan cerita, perkembangan watak serta konflik-konflik yang melatari filem ini. Kami merasakan tidak berbaloi untuk menonton filem ini. Namun, citarasa dan pilihan terletak di tangan anda!


Jadi, selamat menonton filem Sindhubaadh di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 27 Jun 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Dan Kongsikan Dengan Anda Ialah Sebuah Filem Yang Menjadi Perhatian Ramai Pada Minggu Ini Iaitu Spider-Man: Far From Home! Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan