Review Filem Spider-Man: Far From Home


Filem:
Spider-Man: Far From Home

Penilaian:
8/10

Pengarah:
Jon Watts

Genre:
Aksi, Pengembaraan & Komedi

Pelakon:
Tom Holland, Michael Keaton, Jon Favreau, Zendaya, Marisa Tomei,
Jake Gyllenhaal, Cobie Smulders, Samuel L. Jackson & Etc.

Tarikh Tayangan:
3 Julai 2019

Pengedar:
Sony Pictures Entertainment

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Peter Parker yang menyertai rombongan sekolah dengan rakan-rakan kelasnya ke Eropah. Di sana, Nick Fury meminta Peter untuk menyertai misi yang memerlukannya bekerjasama dengan Quentin Beck yang juga dikenali sebagai Mysterio. Mysterio merupakan seorang pakar muslihat yang mendakwa dirinya dari Bumi `parallel` dalam Multiverse. Mereka perlu bekerjasama melawan manusia-manusia dimensi luar biasa yang dikenali sebagai Elementals. Namun, sesuatu yang diluar jangkaan telah berlaku kepada Peter Parker? Mampukah Peter membetulkan kesalahan yang dilakukannya? Saksikan filem yang cukup menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 3 Julai 2019 untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem yang dinanti-nanti ramai iaitu Spider-Man: Far From Home di GSC One Utama pada 2 Julai 2019 yang lepas. Ramai yang tidak dapat mengjangkakan apa sebenarnya yang bakal dipaparkan di dalam kisah filem ini selepas kebanyakkan adiwira-adiwira lama sebelum ini telah dimatikan wataknya namun ternyata filem Spider-Man terbaru ini mampu berdiri sendiri dan memberi kejutan yang cukup manis sepanjang tontonan kami. Pendekatan yang digunakan di dalam filem lebih ringan dan santai namun ia memberi anda satu petanda bahawa anda sudah boleh lupakan Tony Stark dengan kerelaan hati kerana kini Peter Parker yang akan mengambil alih kesemua itu bermula dengan filem Spider-Man: Far From Home ini.


Kami sangat seronok melihat plot penceritaan filem ini kerana ia memaparkan dilema watak Peter Parker yang terpaksa menggalas tugas berat untuk menjadi seorang adiwira seperti mana mentornya Tony Stark. Ia menjadi lebih menarik kerana ia merungkai jiwa remaja Peter yang masih ingin bergembira dan menghabiskan masa mudanya dengan rakan-rakan seusia disamping mengejar cinta hatinya iaitu MJ. Pada masa yang sama, dapat dilihat juga Peter masih belum matang di dalam membuat sebarang keputusan dimana dia percaya dirinya hanya sebagai seorang adiwira biasa yang tiada keistimewaan yang terlampau besar. Jadi, disini dapat dilihat persoalan serta konflik mula menyatu untuk memberikan satu persoalan buat para penonton dimana adakah kita percaya Peter Parker sudah bersedia untuk mengisi tempat kosong Iron Man yang telah ditinggalkan oleh Peter Parker?


Seperti biasa, filem adiwira ini meneruskan lagi legasi humor dari sudut penceritaannya yang ringan dan kisahnya masih berhubung kait dengan kehidupan remaja serta kisah romantis membabitkan Peter dan MJ. Cuma apa yang membuatkan filem Spider-Man: Far From Home ini lain daripada francais Spider-Man atau filem terdahulu ialah kisah romantis di antara watak Peter dan MJ kali ini yang sangat berlainan dan unik. Kali ini kisah cinta mereka memberi satu impak yang cukup memuaskan hati kami kerana julung kalinya ia memaparkan keberanian kedua-dua watak ini untuk menyatakan pendirian mereka secara berhadapan di dalam keadaan yang cukup menarik dan sangat berani. Ia adalah satu kelainan serta cubaan yang berani untuk filem ini namun bagi kami ia menjadi.


Kami melihat struktur plot cerita untuk filem Spider-Man: Far From Home ini berjaya disusun dan diselaskan dengan cukup baik dimana naratifnya berjaya mengekalkan momentum cerita daripada permulaan sehingga penamat untuk naskah ini. Seperti biasa, elemen humor semestinya sangat membantu untuk menjadikan jalan cerita filem ini kelihatan ringan, santai dan menghiburkan. Lebih menarik kali ini apabila kebolehan Spider-Man yang dipanggil sebagai 'Peter Tingle' atau daya rasa Spider-Man dicanang pada kebanyakkan adegan yang menjadikan urutan setiap babaknya berlangsung dengan cukup ceria.


Antara salah satu lagi faktor yang menarik perhatian kami tentang filem Spider-Man: Far From Home kali ini ialah hubungan di antara Peter dan Mysterio yang sebenarnya cuba membawa kita mengimbau kembali bagaimana hubungan antara Peter dan Tony Stark sebelum ini. Hubungan ini membawa kepada pelbagai perkara yang cukup menarik dimana ia bermain di antara kepercayaan, keyakinan serta keinginan yang dapat dilihat membawa kepada pertembungan perbezaan prinsip antara kedua-dua watak ini. 


Selain itu, antara perkara yang cukup mengagumkan di dalam filem Spider-Man: Far From Home ini ialah penggunaan efek visual serta CGI yang telah dimanfaatkan secara maksimum yang boleh dan hasilnya memberikan anda satu pengalaman tontonan sinema yang sangat memukau. Babak-babak aksi yang melibatkan watak Spider-Man dan Mysterio pada pertengahan filem serta klimaks pastinya akan diingati sebagai salah satu daripada babak-babak aksi terbaik yang pernah anda lihat dalam filem-filem adiwira MCU. Anda pasti kagum melihat betapa cerdiknya babak-babak ini dihasilkan dan bagaimana indahnya ia muncul pada visual layar perak anda nanti. Serius kami sangat terpesona dan begitu menyukai setiap babak-babak tersebut. 


Selain itu, filem Spider-Man: Far From Home kali ini juga boleh dikatakan sangat istimewa kerana kali ini ia akan membuatkan anda teruja untuk kedua-dua bahagian pasca kredit iaitu pada pertengahan dan akhir kredit. Kedua-duanya memberikan bayangan yang sangat menarik untuk membuatkan peminat Spider-Man tidak sabar untuk menyaksikan sambungan kisah seterusnya berkaitan watak ini serta hubung kaitnya dengan fasa keempat filem-filem Marvel yang seterusnya. Secara keseluruhan, filem Spider-Man: Far From Home ini merupakan filem yang terbaik di antara semua francais Spider-Man yang pernah wujud. Lebih penting, pemergian Tony Stark sudah boleh diterima kerana Peter Parker telah berjaya mengisi kekosongan tersebut tanpa ada sebarang bantahan lagi selepas ini.


Jadi, selamat menonton filem Spider-Man: Far From Home di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 3 Julai 2019 ini. Pastikan anda tidak terlepas daripada menonton filem hebat ini kerana ianya merupakan francais filem Spider-Man yang paling terbaik buat masa ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Dan Kongsikan Dengan Anda Ialah  Sebuah Filem Romantik Dari Indonesia Iaitu Dilan 1991! Nantikan Ulasannya! 

Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. Watak Mysterio terlalu cool, tak puas dgn screen time yg diberi. Maaf, character MJ dr Homecoming lagi tidak menyakinkan dan ada pada satu masa tu saya rasa mcm si Peter ni baik cari awek yg lain je la, heheh...

    BalasPadam
    Balasan
    1. mysterio cool sebab nak tunjuk kata dia baik. walaupun hakikatnya dia jahat..hohoh

      Padam