Festival Filem Jepun (JFF) 2019

Buat pertama kalinya, portal filem Rollo De Pelicula telah dijemput oleh pihak GSC Movies dan The Japan Foundation untuk hadir ke majlis pelancaran Festival Filem Jepun (JFF) 2019. Untuk pengetahuan semua, acara tahunan Festival Filem Jepun (JFF) ini sudah memasuki tahun ke-16 penganjurannya. Jadi, kami sememangnya berasa sangat teruja untuk mengetahui bilangan filem serta apakah filem-filem terbaik dari Jepun yang bakal ditayangkan di Malaysia pada Festival Filem Jepun untuk tahun 2019 ini.


Berita baik buat kaki wayang serta peminat filem-filem dari negara matahari terbit tersebut kerana pada penganjuran kali ini, sebanyak 13 filem Jepun merangkumi judul terkini dan tersohor daripada pelbagai genre seperti kekeluargaan, muzik dan komedi terpilih untuk ditayangkan istimewa buat anda semua. Kami pasti filem-filem ini mempunyai keunikan tersendiri di dalam memikat hati dan minda setiap penonton daripada segenap usia yang hadir ke pawagam-pawagam Golden Screen Cinemas terpilih di seluruh negara sewaktu Festival Filem Jepun 2019 ini berlangsung nanti.


Festival Filem Jepun 2019 ini akan dimulakan dengan tayangan perdana filem arahan Imaizumi Rikiya berjudul “Little Nights, Little Love” dimana rakyat Malaysia merupakan penonton terawal yang dapat menyaksikan filem ini pada malam pembukaan di Kuala Lumpur pada 3 September 2019 ini. Ini ialah satu penghormatan yang cukup besar kerana tayangan pembukaan filem ini di Jepun hanya bermula pada 20 September 2019 nanti. Selain itu, tayangan khas filem-filem muzikal seperti “Farewell Song”, “Little Love Song” dan “La La La at Rock Bottom” juga turut menjadi tumpuan pada acara tahunan kali ini.


Lebih menarik apabila Festival Filem Jepun (JFF) 2019 ini ialah sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-30 The Japan Foundation, Kuala Lumpur sejak penubuhannya pada 1989. Untuk makluman para pembaca sekalian, semua filem ini akan ditayangkan dalam Bahasa Jepun dengan sarikata dalam Bahasa Inggeris.


Untuk senarai penuh sinopsis, waktu tayangan dan maklumat am mengenai senarai filem yang bakal ditayangkan sempena Festival Filem Jepun 2019 kali ini, anda boleh layari laman sesawang seperti dibawah: 

Japan Foundation Kuala Lumpur:

Golden Screen Cinemas :

WAKTU TAYANGAN (terbuka kepada orang awam yang membeli tiket)
Lembah Klang
5-11 September

GSC Mid Valley
GSC 1Utama
GSC Pavilion KL
GSC NU Sentral
Pulau Pinang
12-15 September

GSC Gurney Plaza
Johor Bahru
19-22 September

GSC Paradigm Mall JB
Kuching & Kota Kinabalu
3-6 Oktober

GSC CityONE Megamall, Kuching
GSC Suria Sabah, Kota Kinabalu

UPACARA PEMBUKAAN (jemputan sahaja)
Lembah Klang
3 September, 7.00 malam
GSC Pavilion KL
Kuching
2 Oktober, 7.00 malam
GSC CityONE Megamall
TIKET

Tiket untuk JFF 2019 akan dijual pada harga RM9.00.

Tiket untuk semua tayangan boleh dibeli mulai 29 Ogos 2019 ke atas melalui GSC Box Office, Kiosk Tiket GSC, e-pembayaran GSC di gsc.com.my atau aplikasi GSC Mobile.

Catat Ulasan

0 Ulasan