Review Filem Judgementall Hai Kya


Filem:
Judgementall Hai Kya

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Prakash Kovelamudi

Genre:
Komedi, Drama & Thriller

Pelakon:
Kangana Ranaut, Rajkummar Rao, Jimmy Sheirgill, Amyra Dastur & Etc.

Tarikh Tayangan:
25 Julai 2019

Pengedar:
Suraya Filem

Sinopsis:
Filem komedi gelap ini mengisahkan seorang gadis bernama Bobby yang mempunyai perangai pelik dimana kehidupannya berputar di antara realiti dan ilusi. Bobby telah dituduh membunuh seorang gadis dengan membakar gadis tersebut di rumahnya. Pada masa yang sama, Bobby turut menyatakan bukan dia yang membunuh gadis tersebut tetapi suami gadis itu iaitu Keshav. Persoalan ini mula menjadi rumit apabila bukti-bukti menunjukkan memang Bobby yang membunuh gadis tersebut. Adakah benar Bobby bukannya pembunuh? Atau adakah sekali lagi Bobby berada di dalam ilusinya sehingga tidak sedar dirinya menjadi pembunuh? Saksikan filem yang menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 25 Julai 2019 untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem Bollywood yang berjudul Judgementall Hai Kya di TGV Cinemas Jaya Centre pada 31 Julai 2019 yang lepas. Filem ini sebenarnya memaparkan satu kisah yang bagi kami agak menarik apabila ia menceritakan bagaimana seorang gadis bernama Bobby menjalani kehidupan sehariannya selepas berhempas pulas cuba mengatasi trauma yang dialaminya sejak kecil apabila melihat ibu bapanya mati dihadapan matanya. 


Namun, terdapat beberapa kecelaruan terhadap watak Bobby terutamanya berkaitan penyakit mental yang dihadapinya dimana ianya tiada penerangan secara khusus tentang penyakit jenis apa yang dialaminya dan bagaimana tahap penyakit mental yang dimiliki watak ini. Apa yang dipertontonkan pada awal filem hanya lah Bobby sebagai seorang gadis yang seperti tiada apa-apa masalah dimana dia bekerja sebagai salah seorang artis suara atau Voice Over Talent. Namun, selepas satu insiden yang menyebabkan dia memilih untuk dimasukkan ke dalam rumah sakit jiwa berbanding membayar denda yang dikenakan disebabkan mencederakan seorang lelaki yang merupakan ketua di tempat kerjanya. Kemudian, apabila buat pertama kalinya Bobby bertemu dengan pasangan suami isteri iaitu Reema dan Keshav tiba-tiba kelakuannya berubah menjadi terlalu psiko dan ia seakan-akan langsung tidak ada kesinambungan daripada permulaan sehingga kepada babak berkenaan untuk membantu penyokong untuk mengenali watak Bobby ini dengan lebih dekat.


Namun, ada beberapa perkara yang menarik dapat kami temui di dalam filem Judgementall Hai Kya ini. Selain daripada pembuatan origami yang dibuat daripada keratan akhbar yang mengisahkan tentang kisah keganasan rumah tangga, filem ini juga berjaya menampilkan elemen komedi gelap yang pada kami berjaya menyampaikan teguran mahu pun sindiran bijak dengan cukup baik sekali. Seronok untuk melihat bagaimana watak Bobby ini tidak menafikan dirinya mempunyai masalah mental namun pada masa yang sama tetap mempunyai pendiriannya yang tersendiri dan tetap dengan kepercayaan yang dipercayainya. Kemunculan imej lipas yang menandakan tahap psiko Bobby sedikit sebanyak berjaya membantu memberikan sama ada pembayang atau penipuan kepada penonton dan ini menjadikan filem ini lebih menarik kerana penonton sendiri sukar untuk meneka yang mana satu sebenarnya yang benar pada sebahagian besar filem ini sebelum segala-galanya dijawab pada akhir filem.


Pujian selayaknya diberikan kepada dua pelakon utamanya iaitu Kangana Ranaut dan Rajkummar Rao. Kami sangat tertarik dengan pembawakan watak yang dimainkan oleh Kangana Ranaut untuk watak Bobby. Lihat sahaja bagaimana permainan mata pelakon wanita ini disaat dirinya berhadapan dan bercerita tentang kemunculan lipas di merata-rata di bahagian rumahnya dengan pihak polis. Walaupun babak itu kelihatan sangat kelakar namun daripada satu sudut lain, penceritaannya yang penuh emosi itu berjaya membuatkan kami percaya padanya sedangkan kami sedar bahawa itu sebenarnya hanyalah ilusi Bobby yang telah diterangkan pada babak sebelum itu. Rasa empati yang ditimbulkan di dalam watak Bobby ditambah dengan tingkah lakunya yang diluar jangkaan sememangnya merupakan satu persembahan terbaik yang telah diberikan oleh Kangana Ranaut kepada penonton. Begitu juga dengan pelakon Rajkummar Rao yang membawakan watak Keshav yang turut berjaya memanipulas penonton dengan baik melalui pergerakan tubuh, reaksi wajah dan lontaran emosi yang membuatkan penonton kembali hilang arah untuk menentukan adakah watak ini protagonis atau antagonis. Satu kombinasi yang cukup baik untuk melihat kedua-dua pelakon ini disatukan di dalam filem ini.


Kami melihat filem Judgementall Hai Kya ini pada asalnya telah berada di landasan yang betul untuk menjadi sebagai sebuah filem komedi thriller yang berjaya. Namun sayangnya disebabkan beberapa kelompongan pada kisah penceritaannya serta dilihat terlalu mencuba untuk mengelirukan penonton dengan beberapa perubahan plot yang mudah diteka menjadikan pengakhiran filem ini sedikit mengecewakan. Klimaks kisahnya sudah tidak terlalu memberi kesan kerana ianya sangat mudah diramal. Kami melihat filem ini sebenarnya gagal memberi fokus yang tepat terhadap perkara yang sepatutnya dimana kami merasakan subteks filem ini pada awalnya sahaja sudah cukup cemerlang namun ianya mati di pertengahan jalan. Filem ini sendiri seakan-akan tidak pasti kemana dan apa sebenarnya yang ingin diberikan perhatian yang utama. Cuma apa yang menyelamatkan filem ini pada bahagian akhirnya disebabkan komedi gelapnya yang pada kami betul-betul menarik dan menghiburkan. Secara keseluruhan, filem ini menarik untuk ditonton kerana ia masih berjaya membawakan kelainan serta pembaharuan untuk sebuah filem yang berkonsepkan sebegini.


Jadi, selamat menonton filem Judgementall Hai Kya di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 25 Julai 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Dan Kongsikan Dengan Anda Ialah Sebuah Filem Yang Dinanti Ramai Pada Minggu Ini Iaitu Fast & Furious: Hobbs & Shaw. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan