Review Filem Rocketman


Filem:
Rocketman

Penilaian:
5/10

Pengarah:
Dexter Fletcher

Genre:
Biografi, Fantasi & Muzikal

Pelakon:
Taron Egerton, Jamie Bell, Richard Madden, Bryce Dallas Howard & Etc.

Tarikh Tayangan:
25 Julai 2019

Pengedar:
United International Pictures

Sinopsis:
Filem drama muzikal ini mengisahkan tentang kehidupan penyanyi Elton John bermula dari awal kerjayanya sehinggalah dia menjadi seorang penyanyi terkenal yang penuh dengan pelbagai ujian dan pancaroba. Saksikan filem ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 25 Julai 2019 untuk mengetahui keseluruhan ceritanya.

Ulasan:

Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula telah berjaya menonton filem Rocketman bertempat di MBO Starling pada 30 Julai 2019 yang lepas. Filem ini merupakan sebuah filem biografi dimana ia membawa penonton melihat kisah kehidupan seorang lagenda bintang pop terkenal di era 70-an dan 80-an iaitu Elton John. Tajuk filem ini iaitu Rocketman merupakan salah satu lagu terkenal nyanyi Elton yang dipilih untuk dijadikan tajuk filem ini.


Jika sebelum ini, kita telah dihidangkan dengan sebuah filem biografi berjudul Bohemian Rhapsody yang memberi fokus kepada kisah kehidupan vokalis Queen maka untuk Rocketman pula, para penonton akan dipaparkan dengan kisah kehidupan Reginald Dwight atau nama pentasnya Elton John yang sangat meminati lagenda penyanyi Elvis Presley dan muzik Rock N Roll pada waktu keciklnya. Minatnya terhadap muzik akhirnya membuah hasil apabila pada suatu hari, ahli keluarganya telah menyedari kemahirannya bermain alat muzik piano sehingga akhirnya Elton telah menerima biasiswa diraja untuk belajar piano di Royal Academy of Music. Apabila dewasa, Elton sangat berkeinginan untuk menjad seorang penyanyi terkenal dan hal ini membawa dirinya kepada pertemuan dengan seorang penulis lirik hebat iaitu Bernie Taupin yang akhirnya menjadi rakan baik dan juga seorang abang buat dirinya. Akhirnya, persembahan penyanyi itu di Troubadour telah mengubah kehidupan Elton John secara drastik sebagai seorang penyanyi paling berjaya dan menjadi jutawan di usia yang cukup muda.


Namun, filem Rocketman turut memaparkan kisah duka Elton John sejak lagi dimana penonton akan dapat mengetahui dan menyelami perasaan lelaki ini yang dahagakan kasih sayang dan perhatian. Elemen emosi ini sebenarnya agak menarik yang dapat ditemui di dalam filem ini apabila melihat bagaimana keiinginan seorang anak yang ingin bermanja dan dipeluk oleh ayahnya sejak kecil namun tidak pernah merasainya sehingga dewasa. Ditambah lagi dengan rasa sedihnya apabila ibu bapanya menganggap dirinya adalah beban di dalam kehidupan mereka menyebabkan dirinya berasa lebih terasing. Kisah cinta terlarang dan perkahwinannya yang gagal juga menyebab Elton mengalami pelbagai konflik  serta kecelaruan emosi di dalam dirinya sehingga menyebabkan dirinya terjebak ke dalam kancah ketagihan arak, dadah dan seks bebas sehingga menyebabkan Elton pernah berputus asa dan cuba membunuh diri. Ada beberapa perkara yang dapat dilihat sangat menyentuh perasaan kami dan kebanyakkannya apabila ia berkaitan dengan kisah Elton dan ibu bapanya. 


Namun, kami melihat setiap penceritaan tentang sisi hidup Elton John ini hanya sekadar pada peringkat dasar sahaja dimana pihak produksi tidak menggali sedalam-dalam mungkin untuk membuatkan penonton benar-benar mengenali peribadi dan jiwa sebenar Elton John. Disebabkan hal ini lah filem Rocketman kelihatan sekadar sebuah filem biasa yang tidak-tidak mampu menusuk hati penonton atau meninggalkan impak yang jauh lebih besar seperti mana yang telah dilakukan oleh filem Bohemian Rhapsody sebelum ini. Beberapa momen persembahan Elton John juga kelihatan tidak terlalu hidup seperti mana yang berjaya dilakukan di dalam filem Bohemian Rhapsody apabila para penonton berasa kagum dengan hal tersebut. Pada hakikatnya, filem Rocketman mampu memberikan sesuatu yang lebih baik lagi dari segi jalan cerita agar elemen emosi yang cuba dipertaruhkan di dalam filem ini lebih memberi kesan kepada tontonan penonton.


Menyentuh tentang lakonan, tidak dinafikan pelakon Taron Egerton telah berjaya memberikan sehabis baik di dalam menghidupkan watak Elton John dimana dapat dilihat pelakon ini berjaya menggabungkan kesan solekan dan pakaian untuk disatukan dengan jika seorang lelaki bernama Elton John dengan sebaik mungkin. Pelakon-pelakon lain seperti Bryce Dallas Howard, Jamie Bell dan Richard Madden juga pada kami tidak mengecewakan dan berjaya memainkan watak masing-masing dengan penjiwaan yang menarik. Secara keseluruhannya, filem ini menghiburkan untuk ditonton namun ianya mempunyai kelemahan daripada segi jalan ceritanya yang terlalu melebih-lebihkan fantasi berbanding menggali kisah sebenar sedalam mungkin untuk dipaparkan kepada penonton. Namun, kami pasti penonton akan menikmati filem ini yang penuh dengan lagu-lagu hebat dendangan Elton John yang cukup menarik untuk dihayati.


Jadi, selamat menonton filem Rocketman di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 25 Julai 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Apa Pula Yang Akan Kami Kongsikan Ulasannya Dengan Anda Selepas Ini? Nantikan!

Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. Aku tertido dlm 30min jgk kot masa tgk citer ni..hehehe

    BalasPadam
    Balasan
    1. haahahaa
      part mana tertidur tu.
      nasib tak tidur

      Padam