30/07/19

Review Filem Anna


Filem:
Anna

Penilaian:
8/10

Pengarah:
Luc Besson

Genre:
Aksi & Ngeri

Pelakon:
Sasha Luss, Luke Evans, Cillian Murphy, Helen Mirren & Etc.

Tarikh Tayangan:
25 Julai 2019

Pengedar:
GSC Movies

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Anna Poliatova yang merupakan seorang gadis dan memiliki rupa paras jelita. Namun di sebalik wajah cantiknya itu, tersimpan satu rahsia tentang kekuatan dirinya yang tidak tertanding serta kebolehan untuk menjadi salah seorang pembunuh upahan kerajaan yang paling digeruni di dunia. Saksikan filem aksi yang cukup menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 25 Julai 2019 untuk mengetahui keseluruhan ceritanya.

Ulasan:

Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula telah berjaya menonton filem Anna bertempat di Amerin Cineplex, Seri Kembangan pada 28 Julai 2019 yang lepas. Pengarah filem ini iaitu Luc Besson sebelum ini sudah dikenali ramai dengan hasil-hasil karyanya seperti Léon: The Professional (1994), The Fifth Element (1997) dan Lucy (2014) yang telah membawa fenomena kepada dunia perfilemen sebelum ini. Jadi, kali ini beliau mempertaruhkan filem Anna yang merupakan sebuah filem aksi yang mengguna pakai elemen perisik sebagai terasa utamanya yang mengingatkan kami kepada filem John Wick. Watak Anna di dalam filem ini sememangnya seperti John Wick versi wanita namun yang menjadikan filem ini berlainan berbanding filem-filem berkonsep sama ialah disebabkan ianya mempunyai pelaksanaan cerita yang unik, tersusun dan tersendiri.


Filem Anna bijak menggunakan teknik imbas kembali dan ke depan dengan cukup kreatif sehingga berjaya mengelirukan ramai penonton tentang situasi sebenar serta keperibadian setiap watak-wataknya sehingga lah anda selesai menontonnya pada penghujung filem. Dimulakan dengan kisah hidup watak utamanya iaitu Anna yang sebenarnya hidup dalam keadaan tertindas dek kerana lelaki selepas berhenti daripada menjadi seorang tentera. Permohonannya di talian internet untuk menjadi seorang tentera laut telah menarik perhatian seorang ejen perisikan Rusia yang menawarkan peluang untuk dirinya merubah kehidupan serta nasib buruk yang sedang dilaluinya pada waktu tersebut. Kejadian inilah yang akhirnya mengubah hidup Anna tetapi pada masa yang sama telah memenjarakan Anna daripada mengecapi kebebasan yang diidam-idamkannya selama ini.


Filem ini bukan sekadar kelihatan kuat disebabkan ianya berbicara tentang kebebasan atau kuasa patriaki dan hak seorang wanita. Tetapi, apa yang menjadikan filem ini mampu mengekalkan momentum penceritaannya adalah disebabkan perubahan dan permainan plot yang sentiasa berjaya dihasilkan dengan cukup baik. Setiap kali plot twist berlaku maka acap kali kami akan berasa begitu teruja kerana kebanyakkan tekaan yang dilakukan selalunya jarang mengena. Apa yang menarik perhatian ialah permainan perubahan plot ini sentiasa menjadi walaupun pada ketika ia diceritakan pada kejadian imbas kembali atau kejadian yang terhadapan. Bagi kami, inilah yang memberikan satu daya tarikan tersendiri buat kami yang menonton untuk merasakan filem ini cukup istimewa dan bukannya sekadar sebuah filem aksi biasa.


Hal ini juga menyebabkan kami tidak langsung berasa bosan menonton filem ini kerana selain plot penceritaan yang menarik serta penuh dengan aksi, kami turut akui lakonan yang diberikan oleh setiap pelakon di dalam filem ini adalah sangat menakjubkan. Kami melihat pelakon Sasha Luss berjaya membawakan watak serta perwatakan Anna dengan cukup baik sekali. Dapat dilihat disini bahawa Sasha telah berjaya memanfaatkan kekuatan serta latar belakang wataknya dan tugas Sasha untuk menyuntik elemen emosi di dalam jiwa watak Anna ini dapat dilihat begitu berkesan dan progresif. Dibantu oleh dengan gabungan yang cukup serasi daripada pelakon lain seperti Luke Evans, Cillian Murphy dan Helen Mirren akan membuatkan anda sentiasa teruja, cemas dan bersemangat pada waktu yang sama.


Kesimpulannya, filem Anna berjaya menarik perhatian kami disebabkan empat perkara iaitu plot penceritaannya yang tidak klise, aksi-aksi ngeri dan gore yang menghiburkan, mesej-mesej tentang wanita, kebebasan dan penghormatan yang kuat serta sesuai dengan jalan cerita dan akhir sekali penggunaan elemen-elemen kejutan dan dramatik yang langsung tidak membosankan daripada awal sehingga akhir filem. Filem Anna merupakan sebuah filem aksi ngeri yang wajib anda tonton pada bulan ini dan kami yakin anda pasti tidak menyesal melaburkan wang anda untuk membeli tiket filem yang berkualiti sebegini.


Jadi, selamat menonton filem Anna di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 25 Julai 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Apa Pula Yang Akan Kami Kongsikan Ulasannya Dengan Anda Selepas Ini? Nantikan!

6 ulasan:

  1. Tak sangka Hans berjaya tonton Anna dahulu sebelom film Rocketman. Seperti biasa, saya amat setuju dgn ulasan Hans. Saya yg mengelak melihat trailer nya amat teruja menonton film ini sehingga end credits. Penceritaan dan aksi amat menarik dan kita tak sangka kesudahan nya. TQ Hans di atas ulasan...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Hehehehe
      sebab tebus tiket free sempena hari lahir tetapi memang tak sangka filem Anna nih best
      ingat suam-suam kuku jer
      sekali tengok terus celik mata sampai ke akhir
      hahaha

      Padam
  2. Agreed.

    Aku puas hati sebab ada banyak plot twist yang di luar jangkaan tu.

    Rasa macam Jason Bourne versi wanita pun ada jugak sikit-sikit walaupun tak sama..

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehehehe
      plot twist dia berjaya mengena dan menipu penonton
      tu yang best tu

      Padam
  3. Betoi Encik H, plot twist nya menang tak dijangka, lepas satu2 dia bagi kita, bijak sungguh

    Double Yes... saya amat setuju, Anna ni memang Jason Bourne versi wanita, tidak gentar dgn pihak lawan serta brutal

    Rase nak repeat, heheh... TQ TQ

    BalasPadam