Review Filem Once Upon A Time In Hollywood


Filem:
Once Upon A Time In Hollywood

Penilaian:
8/10

Pengarah:
Quentin Tarantino

Genre:
Drama & Komedi

Pelakon:
Leonardo DiCaprio, Brad Pitt, Margot Robbie, Dakota Fanning, 
James Marsden, Timothy Olyphant, Emile Hirsch, Damian Lewis & Etc.

Tarikh Tayangan:
15 Ogos 2019

Pengedar:
Sony Pictures Entertainment

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Rick Dalton yang merupakan seorang bintang TV Hollywood dan rakan baiknya Cliff Booth yang merupakan pelakon aksi ngeri yang menggantikannya untuk adegan-adegan berbahaya. Kedua-dua mereka bergelut untuk mencapai kejayaan dalam era Hollywood Baru. Jiran Rick iaitu Sharon Tate pula merupakan seorang pelakon baru meningkat naik. Saksikan bagaimana Rick Dalton berusaha mempertahankan kejayaan dan populariti yang dimilikinya dengan melalui pelbagai cabaran yang menarik di pawagam berhampiran anda bermula pada 15 Ogos 2019 untuk mengetahui keseluruhan kisahnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem yang dinanti-nanti oleh ramai peminat pengarah Quentin Tarantino berjudul Once Upon A Time In Hollywood di Amerin Cineplex, Seri Kembangan pada 15 Ogos 2019 yang lepas. Menampilkan para pelakon yang hebat dan popular, para peminat dan pemuja Quentin Tarantino pastinya sudah masak benar dengan idea dan cara beliau di dalam mengarahkan mana-mana filem. Walaupun filem kali ini menampilkan sesuatu yang berbeza namun ianya masih menarik buat kami yang menonton kisah yang dipaparkan di dalam karya terbarunya ini. 


Kami agak tertarik dengan kisah yang melibatkan watak utama di dalam filem ini iaitu Rick Dalton dan Cliff Booth dimana bagaimana mereka menjalani kehidupan sebagai seorang bintang seni profesional yang mulai berada di dalam fasa kejatuhan tetapi cuba berusaha untuk terus kekal relevan di dalam industri Hollywood pada akhir era 60-an. Memandangkan kami sendiri mempunyai pengalaman bekerja di dalam industri seni maka kisah Rick Dalton ini sememangnya amat dekat dengan diri kami dan setiap penghayatan serta apa yang cuba disampaikan oleh watak ini kepada kami sebagai penonton begitu mudah difahami dan dirasai. 


Filem ini terasa lebih santai dimana ia memberikan lebih banyak masa kepada setiap watak yang terdapat di dalam filem ini untuk membuatkan anda memahami dan terasa lebih dekat dengan mereka. Menariknya disini ialah plot penceritaannya kelihatan seperti tidak berhubungan pada awalnya sehinggalah pada bahagian kedua baru anda akan melihat ianya mulai ada kaitan antara satu sama lain. Walaupun prosesnya perlahan namun impaknya mencengkam pada penghujung cerita. 


Kami secara peribadi sememangnya menanti untuk melihat keserasian gandingan kali pertama antara Leonardo DiCaprio dan Brad Pitt. Hasilnya, ia adalah pelaburan yang sangat berbaloi kerana terdapat banyak adegan yang cukup menarik dan menakjubkan yang melibatkan mereka berdua. Antara yang kami sangat suka ialah tekanan yang dihadapi oleh Rick Dalton sewaktu ianya melepaskan kemarahan di dalam bilik rehat dan persalinannya. Begitu juga adegan yang melibatkan Cliff Booth seperti pertemuan dengan Bruce Lee, ke kawasan perumahan Spahn Movie Ranch dan juga sewaktu serangan menggila budak Hippi yang menjadikan filem ini penuh dengan unsur kejutan yang menghiburkan. 


Kami juga sangat mengagumi hasil kerja yang cukup hebat oleh pihak produksi di dalam menghasillan dan mengembalikan zaman 60-an Hollywood dimana ianya dilakukan dengan cukup teliti dan terperinci. Serius kami sangat menyukai visual penghujung 60-an yang ada di dalam filem ini. 


Secara keseluruhannya, filem Once Upon A Time In Hollywood ini mempunyai pesonanya yang tersendiri dimana dimana kami melihat ia mempunayi daya penarik untuk membawa penonton melihat dan merasai kisah yang dialami oleh setiap wataknya yang dikembangkan secara perlahan tetapi berhasil untuk dihayati pada pengakhirannya. Berbaloi buat anda yang menggemari filem sebegini untuk menontonnya di pawagam. 


Jadi, selamat menonton filem Once Upon A Time In Hollywood di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 15 Ogos 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!


P/S : Apa Pula Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Selepas Ini? Nantikan!

Catat Ulasan

0 Ulasan