16/08/19

Review Filem Stuber


Filem:
Stuber

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Michael Dowse

Genre:
Aksi & Komedi

Pelakon:
Kumail Nanjiani, Dave Bautista, Iko Uwais, Mira Sorvino & Etc.

Tarikh Tayangan:
15 Ogos 2019

Pengedar:
Walt Disney Pictures

Sinopsis:
Filem aksi komedi ini mengisahkan seorang pemandu Uber bernama Stu yang secara tiba-tiba terlibat dengan situasi huru-hara selepas mengambil seorang detektif sebagai penumpang. Detektif itu sedang memburu seorang pengganas dan Stu kini perlu memastikan dirinya selamat sambil membantu penumpangnya. Saksikan filem yang sangat menghiburkan ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 15 Ogos 2019 untuk mengetahui keseluruhan kisahnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem aksi komedi berjudul Stuber di MMcineplexes, eCurve Mutiara Damansara pada 15 Ogos 2019 yang lepas. Dengan bayaran harga tiket cuma RM6, kami sememangnya merasa puas menonton filem yang bertemakan 'persahabatan segera' ini dimana elemen komedi yang dipaparkan terasa lebih hidup kerana kedua-dua pelakon utamanya iaitu Kumail Nanjiani dan Dave Bautista mempunyai keserasian yang ideal dan mantap. Filem ini dilihat berbeza dan meninggalkan filem Fast & Furious: Hobbs & Shaw jauh ke belakang jika dinilai daripada aspek tersebut.


Filem Stuber ini hanya menampilkan sebuah jalan cerita yang ringkas dimana setiap plot penceritaanya sudah boleh diramal dan agak klise. Ia sebenarnya memberi fokus kepada watak Stu yang merupakan seorang pemandu Uber yang cuba mengejar penilaian 5 bintang daripada para pelanggannya agar dirinya tidak dipecat oleh syarikat Uber. Seperti biasa, filem-filem sebegini akan menemukan dua watak utama yang pada asalnya tidak langsung mengenali antara satu sama lain sebelum konflik mula diwujudkan melalui perbalahan atau pergaduhan mulut disebabkan perbezaan pendapat, pegangan mahu pun kepercayaan dan pada akhirnya kedua-dua watak akan mencapai kata sepakat untuk menewaskan musuh atau watak antagonis filem ini. Hal ini jelas menunjukkan filem Stuber tetap mengikut jejak langkah filem komersial lain yang genre serta konsepnya adalah sama dengan mengambil jalan mudah demi menarik perhatian penonton. Apa yang kami boleh nyatakan, kelebihan serta kekuatan filem Stuber ini sememangnya terletak pada elemen komedi serta aksinya yang menarik dan menghiburkan sepanjang masa.


Filem Stuber menampilkan pelakon terkenal dan hebat Indonesia iaitu Iko Uwais sebagai watak antagonis dengan memainkan peranan sebagai Tedjo iaitu seorang ketua pengedar dadah. Aksi-aksi pertarungan yang melibatkan Iko dan Bautista sememangnya sangat menarik tetapi kepuasannya agak terhad kerana kemunculan Iko di dalam filem tidak lah terlalu lama. Selain itu, watak Iko sebagai antagonis utama juga tidak diberi terlalu banyak masa untuk bersinar memandangkan filem Stuber ini lebih memberi tumpuan kepada pertemuan serta pengalaman perjalanan antara Stu dan Vic. Jadi, kami merasakan adalah satu kerugian yang agak besar buat filem ini kerana tidak memanfaatkan sebaik mungkin kelebihan yang ada pada Iko Uwais untuk memperkembangkan lagi wataknya menjadi lebih kejam dan hitam.


Secara ironinya, filem Stuber sememangnya memberikan fokus utama kepada konflik yang terjadi antara dua watak utama ini iaitu Stu dan Vic sepanjang pengembaraan mereka yang penuh dengan perbalahan dan persengketaan terutama di dalam kereta. Filem ini kelihatan seakan-akan mengambil jalan mudah kerana mengetahui bahawa keserasian yang wujud antara kedua-dua watak utama ini sememangnya merupakan kekuatan utama di dalam menyelamatkan filem ini daripada dilihat terlalu bersifat biasa. Pujian harus diberikan kepada pemilihan konflik yang dicetuskan di dalam filem ini kerana hasilnya memang menjadi. Terdapat juga beberapa mesej ringan berkaitan kekeluargaan dan percintaan yang berjaya disampaikan secara santai dan kena dengan adegan-adegan yang terdapat di dalam filem ini.


Terdapat beberapa babak aksi di dalam filem Stuber ini yang agak menarik perhatian dimana salah satunya ialah adegan tembak menembak yang berlaku di hospital veterinar yang kelihatan 'cool' dan ada gaya tersendiri. Selain elemen komedi dan aksi, filem Stuber tiada sebarang keunikan lain yang mampu ditawarkan buat anda sebagai penonton. Namun, secara jujurnya kami sangat terhibur menonton keletah kedua-dua watak ini dan kami yakin filem Stuber pasti menepati selera buat penggemar filem-filem sebegini.


Jadi, selamat menonton filem Stuber di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 15 Ogos 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Dan Kongsikan Dengan Anda Ialah Sebuah Filem Berjudul Once Upon A Time In Hollywood. Nantikan Ulasannya!

4 ulasan:

  1. dan juga filem Makmum Hans... tolong ulas sekali ye, TQ

    BalasPadam
  2. Iko uwais jadi penjahat yg tak banyak dialog.. Asyik sibuk berlawan je.. Huhu.. Cerita dia biasa2 je.. Bolehla nak gelak2..

    BalasPadam
    Balasan
    1. yups
      filem dia biasa jer tetapi kelakar
      memang seronok kalau nak enjoy
      hahaha

      Padam