Review Filem Batla House


Filem:
Batla House

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Nikhil Advani

Genre:
Drama

Pelakon:
John Abraham, Mrunal Thakur, Ravi Kishan & Etc.

Tarikh Tayangan:
15 Ogos 2019

Pengedar:
Suraya Filem

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan diinspirasi daripada Operasi Batla House yang berlaku pada 19 September 2008 di mana anggota polis Delhi telah menembak mati dua orang individu yang didakwa ahli kumpulan pengganas Mujahideen India. Mereka dituduh terlibat dengan siri pengeboman yang berlaku di Jaipur, Bangalore, Ahmedabad dan Delhi pada awal tahun itu. Dua individu lagi telah ditahan sementara seorang lagi terlepas dan berjaya ditangkap pada Februari 2018. Namun selepas 11 tahun, kebenaran sebenar di sebalik kes itu mula terungkai. Saksikan filem menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 15 Ogos 2019 untuk mengetahui keseluruhan kisahnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem Bollywood yang berdasarkan kisah benar yang berlaku di India iaitu Batla House bertempat di GSC Quill City Mall pada 17 Ogos 2019 yang lepas. Sebagai info tambahan buat para pembaca sekalian, kejadian ini berlaku pada 13 September 2008 dimana kejadian letupan bersiri telah menggemparkan bandaraya Delhi dan menyebabkan 26 orang terbunuh manakala lebih 100 orang cedera. Seminggu selepas kejadian tersebut, sebuah kawasan kecil di Jamia Nagar yang terletak di Delhi pula dikejutkan dengan bunyi tembakan di sekitar kawasan flat yang dikenali sebagai Rumah Batla. Kejadian ini merupakan salah sebuah kejadian yang paling kontroversi melibatkan pasukan polis di Delhi. 


Filem Batla House cuba membawa para penonton melihat persepsi serta pandangan tentang kejadian ini daripada pihak polis sendiri melalui watak utamanya, DCP Sanjeev Kumar Yadav yang dilakonkan oleh John Abraham. Penonton akan ditunjukkan sisi-sisi derita yang perlu dilalui oleh watak ini yang terpaksa mengambil tanggungjawab terhadap segala yang terjadi walaupun ia diluar bidang kawalannya sendiri. Rasa bersalah akibat kematian rakan sepasukan serta kesan trauma yang kerap kalo terjadi terutama melalui halusinasi bukan sahaja mengganggu kehidupan serta pekerjaannya tetapi juga menyebabkan rumah tangganya mula berhadapan dengan pelbagai masalah serta kegagalan. Menarik untuk melihat bagaimana kisah pegawai polis ini  yang mampu berhadapan dengan segala macam tekanan dari luar serta trauma dalam masa dua tahun lebih tanpa meminta nasihat atau bantuan pakar untuk memulihkan masalah tersebut. Sehingga pada satu tahap anda akan berasa begitu simpatu dengan kesedihan yang dialaminya terutamanya apabila menonton babak dirinya sudah berputus asa dan menyerahkan senjata apinya kepada si isteri tanda dia sudah tidak mampu mengawal dirinya lagi. 



Namun, sayangnya filem Batla House ini sepatutnya mampu memberikan sesuatu yang lebih menarik lagi memandangkan ia adalah berdasarkan sebuah kisah yang sebenar. Namun, segala-galanya dilihat kurang dieksploitasi dengan sebaik mungkin. Kami dapat lihat tentang unsur-unsur nasionalisma yang cuba diterapkan di dalam watak utamanya namun ia kelihatan separuh jalan. Kami nampak tentang unsur agama serta perbezaan dan ketegangan yang berlaku pada kisah Batla House ini namun ianya tidak digali sedalam-dalam mungkin. Begitu juga dengan babak-babak perdebatan di mahkamah yang berlaku tanpa unsur dramatik yang sepatutnya. Setiap urutan penceritaan filem ini dilihat seperti gagal bergabung dengan baik untuk memberi impak sepatutnya seperti yang diharapkan. Inilah masalah utama filem Batla House yang memberi kesan kepada tontonan kami. 


Filem ini kelihatan agak bercelaru sehingga pada satu tahap, kami yang menonton sendiri tidak memahami kemana hala tuju sebenar filem ini ingin capai. Urutan-urutan genrenya yang pelbagai sama ada sejarah, drama, aksi mahu pun aksi dilihat gagal menyerlah dan bersatu dengan baik disebabkan naratif penceritaannya yang agak caca marba dan adakala diisi dengan adegan-adegan yang tidak perlu atau membantu. Agak menyedihkan kerana kami yakin filem Batla House ini sebenarnya boleh menjadi lebih baik daripada apa yang ditonton ini. 


Dari segi lakonan, kami merasakan John Abraham telah berjaya memberikan sesuatu yang baik bersesuaian dengan peranan yang digalasnya sebagai DCP Sanjeev Kumar Yadav. Lakonannya membuatkan kami percaya bahawa watak tersebut sedangan berhadapan dengan satu rasa yang berkecamuk di dalam jiwanya sehingga membuatkan diri lelaki sasa tersebut tampak begitu kusut dari sudut dalamannya. Begitu juga watak isterinya yang dilakon oleh Mrunal Thakur yang pada kami agak menarik cuma sayang watak ini tidak mempunyai terlalu banyak masa serta peluang untuk menyerlah. Secara keseluruhannya, filem Batla House masih menarik untuk ditonton cuma kelemahan ketara dari segi momentum penceritaannya yang tidak sekata dan membuatkan kami yang menonton adakalanya terasa sedikit bosan. Namun, kami percaya filem ini sebenarnya mempunyai potensi yang jauh lebih besar cuma sayangnya hasilnya tidak seperti yang kami harapkan. 


Jadi, selamat menonton filem Batla House di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 15 Ogos 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!


P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Selepas Ini Ialah Sebuah Filem Seram Dari Indonesia Berjudul Makmum. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan