Filem:
Chhichhore
Penilaian:
10/10
Pengarah:
Nitesh Tiwari
Genre:
Drama & Romantik
Pelakon:
Sushant Singh Rajput, Shraddha Kapoor, Varun Sharma, Siddharth, Prateik Babbar & Etc.
Tarikh Tayangan:
6 September 2019
Pengedar:
Antenna Entertainments
Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang lelaki bernama Anni yang membesarkan anak lelakinya selepas penceraiannya dengan isteri, Maya yang dikenalinya sewaktu mereka belajar lagi. Namun, Anni menghadapi masalah besar apabila anak lelakinya mengambil keputusan untuk membunuh diri disebabkan kekecewaan apabila gagal di dalam ujian untuk memasuki kolej. Sewaktu anaknya dalam keadaan koma, Anni telah menceritakan tentang sejarah lampaunya bersama rakan-rakannya yang dikenali sebagai kumpulan losers kepada anaknya. Apakah yang berlaku seterusnya? Saksikan filem yang sangat menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 6 September 2019 untuk mengetahui keseluruhan kisahnya.
Ulasan:
Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem Bollywood yang sangat menarik dan penuh inspirasi berjudul Chhichhore di MMcineplexes, eCurve Mutiara Damansara pada 6 September 2019 yang lepas. Setakat bulan September untuk tahun 2019 ini, kami boleh nyatakan filem Chhichhore yang membawa maksud murah, tidak sopan dan kesat ini merupakan filem terbaik Bollywood yang ditayangkan di pawagam Malaysia untuk tahun ini.
Filem Chhichhore telah dimulakan dengan adegan imbas kembali watak utama filem ini iaitu Anni sebelum latar filem berubah kepada watak Anni yang telah dewasa dimana dia kini sedang berhadapan dengan anak lelakinya yang terdesak untuk mencapai kejayaan demi membanggakan kedua orang ibu bapanya. Kami sangat sukakan mesej disini yang memaparkan tekanan seorang anak yang berhadapan dengan kekecewaan yang sangat besar pada pandangan diri seorang remaja mentah dan mengambil keputusan mudah dengan cubaan membunuh diri. Dari satu sudut, watak Anni mahu pun isterinya dilihat tidak pernah mendesak atau memaksa anak mereka untuk mewajibkan si anak lulus di dalam ujian penting tersebut. Namun, si anak yang mentah hanya memahami satu perkara iaitu dia perlu lulus ujian dimana jika dia lulus maka dia akan memperoleh kejayaan. Jadi, disini ada satu perkara menarik dan kami sangat tertarik dengan salah sebuah dialog Anni dimana dia menyatakan perihal ibu bapa yang sebenarnya hanya memberi petunjuk tentang laluan kejayaan serta apa yang bakal anak-anak mereka kecapi apabila berjaya memasuki laluan tersebut namun ibu bapa terlupa untuk memberitahu anak tentang laluan kegagalan dan apa yang menanti mereka di laluan tersebut. Pada kami, perkara ini sangat menyentuh hati dan sebenarnya merupakan satu mesej kiasan yang sangat tinggi nilainya untuk difahami dan diselami sendiri oleh ibu bapa masa kini.
Filem Chhichhore ini juga turut berjaya bermain dengan konsep nostalgia yang mana keseluruhan kisahnya membuatkan kami terimbau kembali kenangan semasa belajar dan tinggal di asrama sama ada pada zaman sekolah menengah mahu pun sewaktu mencari ilmu di universiti. Nilai-nilai nostalgia ini telah diperkukuhkan lagi dengan elemen persahabatan dan kekeluargaan yang berjaya dicipta, diadun dan disampaikan dengan cukup berkesan di dalam keseluruhan kisah filem ini untuk menjadikan filem ini begitu bernilai harganya dari sudut tersebut. Kami sangat sukakan bagaimana filem ini mempotretkan kaedah suai kenal antara pelajar senior dan junior dalam konteks induksi yang sebenar-benarnya perlu dicontohi oleh pelajar-pelajar mentah seluruh Malaysia yang tinggal di asrama mahu pun hostel universiti. Kami sukakan kaedah yang dipaparkan di dalam filem ini yang lebih menepati maksud suai kenal tersebut dimana ia bukannya kaedah buli yang diamalkan dan ianya disalah ertikan oleh sebahagian besar pelajar sebagai aktiviti suai kenal dan bermesra-mesra antara pelajar yang tua dan pelajar yang baru. Ini adalah salah satu perkara menarik yang kami lihat ada di dalam filem ini.
Keistimewaan seterusnya yang wujud di dalam filem Chhichhore ini ialah kepelbagaian perwatakan setiap wataknya tidak kira watak utama, pembantu mahu pun sampingan yang sememangnya berjaya dibina dengan baik dan memberi kesan yang luar biasa kepada kami yang menonton filem ini. Kami menyukai diversiti watak yang wujud di dalam filem ini dimana masing-masing berjaya bersinar dengan baik dan berdiri dengan kukuh antara satu sama lain untuk membuatkan filem ini benar-benar menghiburkan. Setiap watak ini mempunyai kisah tersendiri dimana ianya berjaya disampaikan dengan cara yang sangat mudah buat penonton untuk memahami dan mengenali mereka dengan lebih dekat. Lebih menarik filem ini tidak langsung mencuba untuk memaksa penonton untuk memahami setiap watak tersebut sama ada ianya watak protagonis mahu pun antagonis. Kami sangat menyukai setiap perwatakan serta ciri-ciri watak yang diisi di dalam penceritaan filem ini kerana sememangnya semua karakter ini wujud di dalam kehidupan asrama atau kampus pelajar lelaki khususnya. Watak-watak yang dicipta di dalam filem seperti watak yang sukakan perkara lucah, bersifat baran, seorang anak mak dan banyak lagi berjaya mencerminkan situasi sebenar tentang kehidupan pelajar yang tinggal di asrama dengan baik sekali dan secara tidak langsung berjaya mencetuskan unsur komedi secara konsisten.
Filem Chhichhore ini pada kami sangat cemerlang dari sudut plot penceritaannya dimana walaupun filem ini sebenarnya merungkai kisah banyak wataknya sama ada pada waktu semasa atau pun pada babak imbas kembali namun ia sama sekali tidak pernah melupakan salah satu satu daripadanya dan kepentingan kedua-dua latar ini berjaya disatukan dengan sempurna. Filem ini sangat bijak menghubungkan adegan anak Anni yang sedang bertarung dengan masalah kecederaan yang serius di bahagian otak dengan kisah Anni sendiri sewaktu zamannya di kolej. Jadi, setiap plot cerita ini berjaya ditulis, diolah dan digarap dengan baik untuk memaparkan setiap elemen-elemen penting di dalam filem ini berkaitan emosi, percintaan, persahabatan dan falsafah hidup dengan cukup kemas. Bayangkan watak-watak pembantu juga turut diberi kisah mereka yang tersendiri dan percayalah kisah-kisah ini juga turut mampu memberi impak kepada penceritaan filem ini dan menjadi salah satu sumber inspirasi buat anda yang menonton. Lebih menarik filem ini bukan sekadar bijak bermain dengan teknik permainan plot atau plot twist sahaja, namun ia juga berjaya mengejutkan anda dengan nilai humor yang sukar untuk anda jangka dimana ianya akan bermula. Serius kami sangat kagum dengan apa yang telah dipersembahkan oleh karya hebat berjudul Chhichhore ini.
Filem Chhichhore ini akan membuatkan anda memahami pengertian tentang makna sebenar keluarga melalui kaca mata watak Anni dan sahaba-sahabatnya. Pada kami hal ini sangat menyentuh perasaan kerana kisah ini memberi anda satu peringatan untuk anda kembali mengingati siapa rakan-rakan baik anda ketika belajar dahulu dan bagaimana perbezaan dari segi hubungan anda pada zaman belajar dan pada ketika ini. Selain itu, elemen percintaan yang diwujudkan di dalam filem ini juga pada kami dihasilkan di dalam cara tersendiri dimana ia adalah salah satu kisah cinta yang tidak klise dan punya keunikan yang tersendiri. Elemen-elemen kenakalan remaja lelaki juga yang melatari filem ini juga berjaya disampaikan melalui kaedah logik filem serta realiti yang pada kami sangat meyakinkan dengan realiti sebenar. Selain itu, filem ini juga diperkuatkan dengan frasa dialog serta falsafahnya yang membawa makna tersirat yang mendalam dan memberi kesan buat anda jika anda cuba menggali dan memahaminya. Kesimpulannya, filem ini sememangnya cukup segala rempah ratusnya, tepat masa perapannya dan berjaya dihasilkan dengan jayanya. Kami sangat menyukai filem ini dan pada kami, filem Chhichhore merupakan sebuah filem Bollywood yang anda wajib tonton di pawagam pada tahun 2019 ini.
Jadi, selamat menonton filem Chhichhore di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 6 September 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!
P/S : Ulasan Filem Seterusnya Yang Kami Akan Kongsikan Ialah Nantikan Ulasannya!
2 Ulasan
FILEM YANG MEMBERIKAN SUMBER INSPIRASI SEKIRANYA PERNAH KALAH ATAU GAGAL
BalasPadamhehehe
Padambest gila kan
tengok dekat mana tu?