Review Filem The Bravest


Filem:
The Bravest

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Tony Chan

Genre:
Aksi

Pelakon:
Huang Xiaoming, Du Jiang, Tan Zhuo, Oho Ou Hao, Yang Zi & Etc.

Tarikh Tayangan:
5 September 2019

Pengedar:
Sony Pictures Entertainment

Sinopsis:
Filem ini berdasarkan kisah benar mengenai kebakaran yang berlaku di sebuah pelabuhan di Dalian akibat letupan saluran paip minyak. Ia berkisar mengenai misi berbahaya sekumpulan bomba yang cuba memadamkan kebakaran tersebut. Saksikan filem yang yang penuh dengan aksi menarik dan mendebarkan ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 5 September 2019 untuk mengetahui keseluruhan kisahnya.

Ulasan:

Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem di China berjudul The Bravest bertempat di Amerin Cineplex, Seri Kembangan pada 5 September 2019 yang lepas. Filem ini memaparkan kisah benar the entang sebuah pasukan bomba yang bertanggungjawab untuk memadamkan kebakaran besar yang mampu memusnahkan keseluruhan bandar jika kebakaran tersebut tidak dibendung. Melihat kepada genre filem ini iaitu aksi, anda sudah tidak perlu khuatir kerana boleh dikatakan 80 peratus adegan filem ini adalah melibatkan aksi dan ianya bertaraf dunia. 


Apa yang menjadikan wajah filem The Bravest ini berkelas dunia dan setanding Hollywood apabila kos pembuatan untuk filem ini berjaya dimanfaatkan dan diterjemahkan dengan cukup baik melalui hasil kesan visual (VFX) serta imej janaan komputer (cgi) yang pada kami sangat menarik dan sempurna untuk sebuah filem dari Asia. Jadi, apabila hampir 90 peratus filem ini melibatkan latar tempat atau suasana kebakaran yang memaparkan kemarakan api, percikan serta letupan maka ianya dapat dipaparkan di dalam visual yang begitu meyakinkan, sangat realistik dan memberikan satu rasa puas buat kami yang menonton setiap adegan tersebut di skrin layar perak yang besar. Dibantu pula dengan penyediaan set serta props di lokasi yang kelihatan lengkap membuatkan kami melihat  ini adalah kekuatan utama filem ini pada pandangan kami. 


Dari sudut hubungan serta kekuatan karakter, ia mempunyai kelebihan pada sesetengah watak tetapi pada masa yang sama ada sebahagian watak yang lemah dari sudut perkembangan kisah mereka. Kami menyukai bagaimana penonton ditunjukkan keberanian, kesanggupan serta komitmen setiap ahli bomba di dalam filem ini yang lebih mementingkan nyawa orang lain daripada nyawa mereka sendiri. Elemen-elemen dramatik serta emosi yang digunakan berjaya membuatkan kami sebagai penonton merasa sangat dekat dengan ahli bomba dan pada masa yang sama mempunyai perasaan yang bercampur baur antara kagum, sedih, terharu dan percaya bahawa inilah kehidupan dan cabaran yang perlu dilalui oleh seorang anggota bomba dimana ramai pihak yang sebenarnya tidak nampak tentang cabaran dan usaha ahli bomba ini di dalam kehidupan seharian mereka. Namun ada beberapa watak yang dilihat seperti tidak penting atau kurang memberi impak seperti adegan isteri dan anak kepada salah seorang watak utama filem ini dimana dilihat perkembangan serta kebergantungan dua watak ini dengan cerita sangat lemah dan tidak menyatu dengan baik. Kami melihat babak-babak ibu dan anak ini lebih kepada cubaan untuk memberikan nilai tambahan emosi kepada penonton tetapi ianya tidak berkesan kepada kami. Namun, ada beberapa adegan emosi yang menarik dan sampai tepat ke hati kami terutama pada babak-babak klimaks. 


Namun satu perkara yang menarik tentang filem ini ialah ia sememangnya memberi fokus kepada nilai aksi dan walaupun elemen-elemen dramanya sedikit tetapi ianya berjaya digunakan sehabis mungkin untuk memberikan satu nilai emosi buat penonton tanpa menjejaskan elemen aksid tersebut. Dimana pada akhirnya kami sememangnya terhibur dengan filem ini kerana aksi-aksi yang dipaparkan sangat mantap dan ianya bersulam dengan baik melalui mesej-mesej yang cuba dipaparkan di dalam filem ini sama ada dari sudut amanah, tanggungjawab, kekeluargaan serta mesej tentang alam sekitar sendiri


Secara keseluruhannya, kami bersetuju untuk menyatakan bahawa filem The Bravest sememangnya sebuah filem yang penuh dengan aksi yang sentiasa konsisten dan berbaloi untuk anda yang ingin menonton sebuah filem aksi yang padu seperti ini di pawagam. Kepada pihak produksi Malaysia yang berminat untuk menerbitkan filem aksi berkaitan bomba atau pasukan beruniform yang lain, anda boleh merujuk filem ini untuk memahami kehendak penonton apabila anda menyatakan filem anda ialah filem aksi kerana The Bravest ini adalah sebuah filem yang sememangnya penuh dengan aksi-aksi yang menarik tanpa terlalu bergantung kepada elemen drama. 


Jadi, selamat menonton filem The Bravest di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 5 September 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Ulasan Filem Seterusnya Yang Kami Akan Kongsikan Ialah  Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan