Review Filem Scary Stories To Tell In The Dark


Filem:
Scary Stories To Tell In The Dark

Penilaian:
5/10

Pengarah:
André Øvredal

Genre:
Seram

Pelakon:
Zoe Colletti, Michael Garza, Austin Abrams, Gabriel Rush & Etc.

Tarikh Tayangan:
19 September 2019

Pengedar:
MM2 Entertainment Sdn Bhd

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan sebuah bandar kecil bernama Mill Valley yang berada dalam bayang-bayang keluarga Bellows selama beberapa generasi. Sebuah rumah agam milik keluarga itu yang terletak di hujung bandar pernah didiami seorang gadis bernama Sarah. Dia menyimpan seribu satu rahsia mengerikan dan menulis sebuah buku yang penuh dengan kisah-kisah seram berdasarkan hidupnya yang terseksa. Pada tahun 1968 di Amerika, sekumpulan remaja mendapati semua kisah tersebut menjadi realiti selepas menemui rumah agam menakutkan itu. Saksikan filem seram ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 19 September 2019 untuk mengetahui keseluruhan kisahnya.

Ulasan:


Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula telah mendapat jemputan daripada pihak MM2 Entertainment Sdn Bhd untuk menghadiri tayangan filem Scary Stories To Tell In The Dark bertempat di MMcineplexes, eCurve Mutiara Damansara pada 11 Jun 2019 yang lepas. Kisah filem seram yang berlatar belakang era tahun 1968 ini diangkat daripada sebuah buku dengan judul sama yang merupakan hasil karya Alvin Schwartz.


Pada pandangan kami, filem Scary Stories To Tell In The Dark ini sama sahaja seperti filem-filem seram tipikal lain yang boleh anda tonton sepanjang tahun 2019 ini. Kisah penceritaannya ringan dan tidak kompleks. Anda yang menonton pasti mudah untuk memahami setiap susur galur kisah watak-watak yang terdapat di dalam filem ini. Cuma keistimewaan yang kami lihat wujud pada filem ini ialah ianya masih menampakkan sentuhan Guillermo Del Toro terutama melibatkan kemunculan watak-watak mistik di dalam filem ini. 


Watak-watak mistik ini yang ada pada filem Scary Stories To Tell In The Dark ini walaupun tidak berwajah seram pada penilaian kami namun ia masih mampu memanfaatkan makhluk-makhluk misteri ini dengan memasukkan elemen kejutan melalui permainan kamera, suntingan adegan secara laju serta penggunaan teknik jump scare yang minima. Walaupun pada kami ia tidak terlalu berkesan namun filem ini juga bukannya sebuah filem yang gagal. Filem ini berada pada zon pertengahan dimana ianya sesuai sekadar hiburan dan tidak terlalu berjaya menguji ketakutan penonton dewasa. Pada hemat kami, kanak-kanak mempunyai peratusan yang lebih tinggi untuk merasai ketakutan yang cuba disampaikan melalui penceritaan filem ini berbanding golongan dewasa. 


Kami juga merasakan perkembangan beberapa watak utama atau subjek yang diberi fokus utama untuk penceritaan filem Scary Stories To Tell In The Dark ini juga agak lemah serta lompong. Ia boleh dilihat pada perkembangan watak Sarah Bellows itu sendiri yang tidak memberikan jawapan yang lebih jitu kepada penonton terutama berkaitan bagaimana dirinya akhirnya menjadi sebegitu di dalam filem ini kerana pembayang-pembayang yang diberikan seolah-olah tidak ada kesinambungan dengan apa yang terjadi kepada watak ini untuk sepanjang cerita. Pelakon-pelakon pembantu juga tidak berjaya memberi sentuhan rasa kepada penonton untuk bersimpati dengan nasib mereka kerana masa yang diperuntukkan untuk watak-watak ini berada di dalam penceritaan agak singkat dan mereka juga tidak dapat bersinar dengan sebaik mungkin. Secara keseluruhan, kami masih terhibur menonton filem ini namun pada kami elemen seram yang ada cuma berada di paras yang sederhana serta jalan penceritaannya juga terlampau mudah dan kebanyakkan perubahan plotnya sudah boleh diramal. Berkemungkinan untuk filem ini mempunyai sekuel keduanya jika dilihat pada penghujung cerita. Jika ianya menjadi kenyataan, kami sangat mengharapkan filem ini mampu memberikan yang lebih baik terutama dari sudut plot penceritaannya. 


Jadi, selamat menonton filem Scary Stories To Tell In The Dark di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 19 September 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Apa Pula Yang Bakal Kami Tonton Selepas Ini? Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

2 Ulasan