Review Filem Section 375


Filem:
Section 375

Penilaian:
9/10

Pengarah:
Ajay Bahl

Genre:
Drama & Ngeri

Pelakon:
Akshaye Khanna, Richa Chadda, Rahul Bhat, Meera Chopra & Etc.

Tarikh Tayangan:
13 September 2019

Pengedar:
Suraya Filem

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan berkenaan undang-undang kes rogol di India yang mengetengahkan Seksyen 375 dalam Kod Panel India. Seorang pembikin filem berdepan perbicaraan mahkamah selepas pembantu kostum yang terlibat dengan projek filemnya telah membuat tuduhan bahawa dirinya telah dirogol oleh pembikin filem tersebut. Kes tersebut menarik perhatian seorang peguam terkenal untuk mewakili pembikin filem tersebut untuk membelanya agar terlepas daripada hukuman. Ironinya, peguam tersebut akan menentang anak muridnya yang buat pertama kalinya terlibat di dalam kes berprofil tinggi. Jadi, siapakah antara mereka yang dapat membuktikan anak guam mereka adalah benar? Saksikan filem menarik ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 13 September 2019 ini untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem Bollywood yang sangat menarik berjudul Section 375 di TGV Cinemas Jaya Centre pada 13 September 2019 yang lepas. Filem ini sebenarnya mengupas tentang apakah makna serta hukuman yang terdapat di bawah Seksyen 375 Kanun Keseksaan Negara India dimana ia telah menyatakan berkaitan jenayah rogol yang diberi pengertian khusus iaitu hubungan seks dengan seorang wanita sama ada atas kehendak, tanpa persetujuan, paksaan, penipuan, mabuk, ditipu dan tidak mempunyai masalah kesihatan mental serta apapun keadaan.


Filem Section 375 ini membawa penonton melihat sebuah kes yang melibatkan watak Rohan Khurana iaitu seorang pengarah filem yang dituduh merogol seorang pereka pakaian junior bernama Anjali Dangle dan didapati bersalah pada peringkat awalnya dengan dihukum penjara selama 10 tahun mengikut Seksyen 375. Kemudian, plot penceritaan filem ini berkembang menjadi lebih menarik apabila isteri Rohan mendapatkan khidmat peguam terkenal dengan kejayaannya iaitu Tarun Saluja untuk cuba membuktikan bahawa lelakinya tidak bersalah. Selain penonton akan sentiasa tertanya-tanya dan cuba meneka pihak mana yang sebenarnya benar dan yang mana pula sebenarnya salah, filem ini juga bijak di dalam memilih watak-watak penting yang perlu diletakkan di dalam cerita dimana peguam Tarun Saluja sebagai seorang yang senior dan cukup berpengalaman perlu berdebat, berhujah dan berlawan dengan anak didiknya yang merupakan peguam junior iaitu Hiral Gandhi yang mewakili Anjali Dangle. Jadi, dengan segala konflik ini maka ia berjaya menjadikan jalan cerita filem Section 375 ini sentiasa memberikan kejutan yang sangat menarik sepanjang tontonan kami sebentar tadi.


Latar filem Section 375 ini banyak bermain di ruang perbicaraan mahkamah dan memaparkan kepada penonton bagaimana peguam ini berhujah di dalam memastikan anak guam masing-masing sama ada benar atau salah berjaya memenangi kes tersebut. Kami sendiri mempunyai kenalan yang pernah bekerja sebagai peguam. Menurut beliau, personalitinya sewaktu berada di dalam mahkamah dan di luar adalah sangat berbeza bagai langit dan bumi. Rakan kami ini pernah menyatakan bahawa jika kami melihatnya di dalam mahkamah sedang berhujah maka kami pasti akan membenci dan menyumpahnya. Jadi, apabila menonton filem ini barulah kami dapat menangkap dan memahami maksud sebenarnya yang dinyatakan dimana karakter serta perwatakan peguam Tarun Saluja lakonan Akshaye Khanna yang sering kali akan membuatkan anda berasa geram atau mengjengkelkan. Perkara ini disokong lagi dengan ayat-ayat menarik yang menjadi pegangan watak Tarun Saluja ini dimana watak ini menyatakan beberapa ayat yang menarik seperti 'Keadilan Adalah Abstrak' dan 'Undang-Undang Adalah Fakta'. Dua ayat ini sentiasa diulang dan menariknya ianya sangat bersangkut paut dengan jalan cerita sehingga anda akhirnya memahami maksudnya pada akhir kisah filem ini. Namun, filem ini juga memberikan anda jawapan berkaitan dengan apa yang dimaksudkan dengan profesionalisme di dalam bekerja. Ini juga menarik untuk dilihat bagaimana Tarun Saluja serta anak muridnya Hiral Gandhi yang bertempur di medan perbicaraan mahkamah bagaikan musuh sejati namun di luar mahkamah mereka boleh berbicara, menghormati antara satu sama lain dan berkelakuan seperti biasa dimana perkara ini pada kami adalah sesuatu yang cantik untuk sebuah filem yang bergenre jenayah seperti ini.


Filem Section 375 ini menjadi lebih menarik apabila ia mengambil langkah awal dengan mempotretkan watak peguam Tarun Saluja sebagai seorang yang tidak memandang atau kisah perihal 'kebenaran' dan mementingkan wang serta mengisi watak Hiral Gandhi sebagai seorang peguam junior yang lebih memandang kepada sudut kebenaran dan menegakkan undang-undang berbanding bersikap materialistik. Jadi, hal ini yang membuatkan setiap detik filem ini terutama apabila melibatkan babak-babak di mahkamah kelihatan cukup kuat kerana pesona ungkapan dialog watak-watak utamanya yang saling bertikam lidah dengan pelbagai ayat sinis. Dan ayat-ayat sinis ini bukan sekadar ayat biasa kerana ia bertindak seperti serampang dua mata dimana ia melangkau jauh kepada sudut pelaksanaan undang-undang itu sendiri. Seperti mana Malaysia pernah kecoh dengan isu berkaitan drama Nur 2 yang melibatkan isu lelaki dirogol wanita, filem ini juga dilihat turut sama cuba membawa penonton untuk melihat bagaimana undang-undang serta hukuman yang wujud di dalam Seksyen 375 tersebut adalah undang-undang berat sebelah yang terlalu memihak kepada wanita.


Filem Section 375 ini juga dilihat berjaya di dalam membina setiap watak yang wujud di dalam filem ini dan tidak lupa untuk menangkap kemarahan para pelakon tambahan yang bertindak sebagai barisan orang awam yang mengadakan perhimpunan ganas dan mendesak agar watak Rohan Khurana dijatuhkan hukuman. Jadi, setiap watak-watak ini sebenarnya saling berkait rapat dimana ianya akan menampilkan pelbagai permainan plot yang cukup menarik dan cemerlang. Kami yakin anda yang menonton nanti pasti akan berjaya dikelirukan kerana filem ini sangat bijak bermain dengan permainan plot yang menguji kesabaran anda. Namun, kami berani memberi jaminan bahawa anda akan berpuas hati dan terkejut dengan keseluruhan jalan ceritanya yang memaparkan gabungan realiti sebenar penguatkuasaan undang-undang, tugas sebagai peguam dan hakim serta desakan daripada masyarakat awam yang pada akhirnya membentuk keputusan akhir kepada nasib watak-watak utama dan pembantu di dalam filem ini.


Jika disebut tentang lakonan para pelakon yang membintangi filem Section 375 ini, pujian seharusnya diberikan kepada pelakon Akshaye Khanna yang memberikan sepenuh jiwanya di dalam membina perwatakan serta emosi watak peguam Tarun Saluja. Segala-galanya tentang watak ini serba menjadi dan memberi impak kepada kami yang menonton kerana kelicikannya sebagai peguam di dalam bermain dengan fakta serta senyuman sinisnya yang walaupun sekejap tetapi mampu membuatkan kemarahan anda meluap-luap gara-gara tidak sependapat dengan watak ini. Namun, sekali lagi kami tegaskan bahawa pengakhiran filem ini sememangnya penuh dengan kejutan menarik yang bakal membuatkan anda berubah fikiran 360 darjah. Untuk faham maksud kami, anda disarankan untuk menonton filem hebat ini di pawagam berdekatan.


Filem Section 375 ini juga disokong kuat oleh sinematografi yang cemerlang untuk membuatkan babak-babak imbas kembalinya kelihatan jelas dan menarik untuk dilihat. Walau bagaimanapun, kami merasakan peranan Meera Chopra yang memegang watak sebagai seorang mangsa bernama Anjali Dangle kelihatan agak lemah kerana kami melihat watak ini sahaja yang gagal untuk membuatkan kami untuk berasa terlalu simpati dengan apa yang terjadi kepada gadis malang ini. Namun, secara keseluruhan filem ini sememangnya sebuah filem berkualiti yang punya cerita yang cukup memukau. Selain berbicara tentang keadilan menggunakan pelbagai kata-kata serta ayat-ayat kiasan yang menarik, kami yakin anda pasti akan menyukai jalan ceritanya yang sentiasa memberikan anda kejutan setiap masa dan relevan dengan logik filem yang diinginkan.


Jadi, selamat menonton filem Section 375 di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 13 September 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Ulasan Filem Seterusnya Yang Kami Akan Kongsikan Ialah Sebuah Lagi Filem Bollywood Yang Cukup Melucukan Iaitu Dream Girl. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan