Review Filem Sivappu Manjal Pachai


Filem:
Sivappu Manjal Pachai

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Sasi

Genre:
Aksi & Drama

Pelakon:
Siddharth, G.V. Prakash Kumar, Kashmira Pardeshi, Lijomol Jose & Etc.

Tarikh Tayangan:
13 September 2019

Pengedar:
DMY Creation Sdn Bhd

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Madhan yang merupakan seorang pelumba haram jalanan di Chennai. Selain berlumba, dia juga sering mencari gaduh dengan kumpulan gengster tempatan dan membantu kakaknya Raji dalam melakukan kerja harian. Suatu hari, satu kemalangan telah menemukan dia dengan seorang polis trafik bernama Rajasekar dimana Rajasekar telah menyebabkannya malu besar dan dia mula berniat untuk membalas dendam. Dia kemudiannya terkejut apabila mendapat tahu Rajasekar telah dijodohkan dengan Raji oleh keluarganya. Bagaimana kisah selanjutnya? Saksikan filem menarik ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 13 September 2019 ini untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem tamil yang agak menarik berjudul Sivappu Manjal Pachai di TGV Cinemas Jaya Centre pada 14 September 2019 yang lepas. Filem yang menggabungkan elemen drama kekeluargaan dan jenayah ini telah berjaya membawa penonton untuk menyelami dunia ego lelaki yang sebenar. Dua watak lelaki utama di dalam filem ini iaitu Madhan dan Rajasekar berjaya menyampaikannya dengan cukup berkesan sekali walaupun adakalanya ia terlalu terganggu dengan unsur melodrama yang dilihat sedikit berlebihan terutama pada bahagian kedua filem ini.


Filem Sivappu Manjal Pachai juga turut tidak terkecuali untuk memaparkan bagaimana ego lelaki yang besar ini mendominasi kuasa dan peranan seorang wanita dengan berselindung di sebalik hubungan cinta mahu pun kekeluargaan. Ia dapat dilihat kepada watak Rajasekar sebagai seorang pegawai polis yang jujur dan tegas dimana ia cuba mengawal Raji, isterinya yang juga kakak kepada Madhan untuk sentiasa mematuhi perintahnya disamping dapat juga dilihat pada satu adegan dimana dia menyimpan data nombor dan meletakan nama isterinya sebagai Bilik Kawalan. Begitu juga Madhan yang terlalu ego sehingga menganggap dirinya sehingga besar sebagai seorang bapa kepada haknya dan merasakan dirinya lebih berhak menentukan dan memilih kehidupan yang sepatutnya dilalui oleh kakaknya. Kemudian kedua-dua ego ini mulai tercabar dan mencabar antara satu sama lain susulan isu Rajasekar memalukan dan menjatuhkan maruah Madhan sewaktu berjaya menangkapnya ketika berlumba haram dan memakaikan pakaian wanita serta merakam dan memuat naik video tersebut ke dalam laman Youtube. Jadi, dapat dilihat bahagian pertama filem ini berjalan dengan cukup baik, matang dan meyakinkan apabila melihat kedua-dua watak ini bersaing dan berhadapan dengan konflik serta ego masing-masing untuk menarik perhatian seorang wanita yang bertindak sebagai isteri dan kakak dimana perkara ini telah memacu momentum penceritaan ke arah yang lebih positif.


Filem Sivappu Manjal Pachai sudah berjaya menterjemahkan konflik Madhan, Raji dan Rajasekar dengan cukup menarik. Simbolik yang ada di dalam filem ini juga berjaya menjentik emosi untuk anda merasai apa yang dirasakan Raji dimana salah satu adegan yang menarik perhatian kami tentang gabungan baju Madhan dan Rajasekar yang disidai dan dikepit bersama dimana ia memberi satu sentuhan sinematik yang sangat menarik. Kekuatan dialog juga memainkan peranan di dalam filem ini dimana ianya boleh dilihat pada adegan ibu Rajasekar yang berjaya memberi kesedaran kepada anaknya itu tentang apa yang dirasakan anaknya betul tetapi hakikatnya tidak pada orang lain. Ia juga satu perkara yang menarik yang wujud di dalam filem ini. Walaupun dapat dilihat babak-babak klimaks kelihatan sedikit menyesakkan kerana ia diberi sentuhan melodramatik yang terlalu berlebihan namun kami mengakui elemen kekeluargaan yang ada di dalam filem ini sangat kuat dan memberi impak yang tersendiri. Namun, satu masalah filem ini yang pada kami agak ketara ialah apabila filem ini terlalu bergantung kepada adegan-adegan konflik yang melibatkan Madhan dan Rajasekar sehingga akhirnya menenggelamkan kelibat antagonis serta peranan watak jahat di dalam filem ini yang dilihat tidak ada kesinambungan yang kuat dengan kisah watak-watak utamanya. Pembinaan kisah watak antagonis di dalam filem ini pada kami hanya sekadar untuk mewujudkan babak-babak aksi semata tetapi ia langsung tidak menyatu dengan plot penceritaan dengan baik. Sayang sebenarnya kerana hal ini sedikit sebanyak mengganggu penceritaan yang asalnya sudah berjalan dengan baik pada bahagian pertama.


Filem Sivappu Manjal Pachai juga dilihat banyak memaparkan adegan-adegan perlumbaan motosikal di atas jalan tetapi faktor ini juga telah menyerlahkan lagi sisi kelemahan filem ini terutama dari sudut VFX yang dilihat bukan sahaja tidak berkualiti tetapi juga menjadikan penceritaan untuk urutan lumba tersebut kelihatan terlalu malas. Lebih menyedihkan apabila adegan melibatkan kucing pun turut menggunakan teknik CGI yang pada kami sangat lemah dan sedikit mencacatkan pemandangan filem ini. Secara keseluruhannya, filem Sivappu Manjal Pachai ini sebenarnya boleh berdiri sendiri sebagai sebuah filem kekeluargaan yang menarik jika ia benar-benar memberi fokus utama kepada hal ini. Namun, elemen jenayah yang membawakan watak antagonis di dalam plot cerita dilihat benar-benar telah merosakkan sebahagian besar untuk bahagian kedua filem ini terutama untuk bahagian klimaks akhir filem. Walau bagaimanapun, ia masih sebuah filem yang menarik untuk ditonton. Kami yakin ianya berbaloi dan menghiburkan untuk anda membeli tiket wayang bagi menonton filem ini di pawagam nanti.


Jadi, selamat menonton filem Sivappu Manjal Pachai di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 13 September 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Apa Pula Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas? Nantikan!

Catat Ulasan

0 Ulasan